![]() |
Tarmizi |
2
Restoran Papadome, Matang (7 Februari 2013)
Senak perut Tarmizi menahan
gelak. Sambung belajar? Dia tersalah dengarkah? Rasa lucu dipendamkan sahaja.
Dia tidak sampai hati mahu ketawa lebih-lebih lagi apabila melihat wajah di
hadapannya yang bertambah serius. Muncung sedepa!
“Moon tahu Abang Miji nak
ketawakan Moon. So just let it out!”
bentak Munirah tidak puas hati.
Apa yang lucu sangat? Seingatnya
tadi dia tidak pun membuat sebarang persembahan lawak minggu ini. ‘Abang Miji
sudah gila,’ rumus Munirah. Agaknya Tarmizi berasa lucu mengenangkan hasrat Munirah
untuk menyambung pelajaran peringkat diploma di sebuah kolej swasta. Apa
salahnya?
“Abang Miji bukan nak ketawakan Moon.
Impian Moon memang baik. Memang bagus. Tapi Abang Miji rasa pelik, mengapa
sekarang? Mengapa tidak dari dulu lagi? Umur Moon sekarang dah dua puluh tiga
tahun, kan? Dah ada anak pun. Tak menyusahkan ke? Moon kena bekerja, jaga anak
dan sekarang Moon perlu bahagikan masa untuk belajar,” suara pujukan Tarmizi
tidak diendahkan Munirah.
Sebenarnya Munirah lebih suka
masanya diisi dengan pelbagai aktiviti. Kalau banyak masa terluang, banyak
ruang untuk dia kembali mengingati memori yang sedaya upaya dia lupakan.
Sekurang-kurangnya, tumpuan terhadap tugas sebagai seorang pembantu tadbir,
seorang ibu dan pelajar akan melekakannya dari mengingati kenangan pahit itu.
Dan lebih penting dari itu, dia sebenarnya ingin melanjutkan pelajaran ke
peringkat yang lebih tinggi. CGPA yang diperolehi di peringkat STPM dahulu
tidak cukup untuk melayakkan Munirah memasuki mana-mana IPTA. Disebabkan hal
itulah Munirah mahu menjalani peperiksaan semula. Kali ini dia nekad untuk
belajar bersungguh-sungguh.
Munirah memandang lurus ke
hadapan. Tidak mahu menatap wajah Tarmizi yang masih dengan sisa-sisa senyuman
yang ditahan-tahan sejak tadi. Makan malam yang sepatutnya berlangsung dalam
suasana yang mesra tiba-tiba menjadi suram. Munirah sudah merajuk. Dia
pura-pura mengacah anaknya, Zarith Sofia yang berada dalam pangkuan.
Tiba-tiba Munirah terpegun. Di
hujung restoran itu ada seorang lelaki bersama seorang wanita yang saling
berbalas renungan. Wanita yang mengandung itu meyakinkan Munirah bahawa pasangan
tersebut merupakan suami isteri. Hatinya dipagut rasa cemburu. Alangkah
beruntungnya wanita itu!
“Mengapa diam? Merajuk?” Tanya
Tarmizi setelah Munirah lama mendiamkan diri. “Abang Miji bukan nak halang Moon,
Abang Miji cuma risau Moon tak mampu. Siang Moon bekerja, malam Moon belajar.
Abang kasihankan Moon dan Sofia. Kalau siang memang ada yang jaga Sofia, bila
malam macam mana?” pujuk Tarmizi lagi. Tarmizi tahu, tiada guna menghalang
keputusan Munirah. Dia seorang yang tegas. Sekali-kali tidak akan mengubah
keputusan sekalipun tindakan itu akan melukakan hatinya sendiri dan insan-insan
yang menyayanginya.
Sama seperti keputusan yang
dibuat tiga tahun dahulu. Mahu menerima pinangan keluarga Jafni, seorang playboy, kasanova! Semua ahli keluarga
dan rakan-rakan meminta Munirah fikirkan keputusannya masak-masak. Berlainan
pula tanggapan Munirah. Jafni bukan playboy,
dia cuma pencinta wanita. Hendak kata apa lagi? Tengoklah sekarang, apa sudah
jadi? Dirinya ditinggalkan setelah melahirkan Zarith Sofia. Dasar keras kepala!
“Abang Miji jangan risau. Moon
dah bincang dengan mak. Dia janji akan tolong Moon jaga Sofia. Buat sementara
waktu ini, ayah dan mak akan tinggal bersama Moon di Kuching. Bukannya lama,
tiga tahun sahaja,” Munirah menerangkan rancangannya kepada Tarmizi. Wajah
kemelayuan teman lelaki kakaknya itu ditatap. Walaupun ibunya berketurunan
cina, wajah Tarmizi sedikit pun tidak mewarisi kecerahan kulit bangsa itu. Cuma
matanya yang sepet itu membuktikan dia bukanlah Melayu tulen. “Moon takkan
susahkan Abang Miji. Moon tahu Abang Miji dah buat macam-macam untuk Moon. Kali
ini, biarkan Moon berdikari.”
Tarmizi menggeleng. Bukan itu
yang dirisaukannya. Dia tidak pernah rasa terbeban membantu Munirah. Wanita
cekal itu sudah dianggap seperti adiknya sendiri. Walaupun suatu ketika dahulu
hatinya pernah terusik dengan kehadiran Munirah. Perkara itu biarlah menjadi rahsia
dan hanya dia dan ALLAH sahaja yang tahu.
“Abang Miji tak nak Moon fikir
macam itu. Kalau Moon sudah nekad, Abang Miji akan bantu Moon capai cita-cita Moon.
Jangan aggap Abang Miji macam orang lain. Kita dah lama kenal. Dah macam
keluarga.”
“Terima kasih Abang Miji. Abang
Miji baik sangat terhadap Moon. Tak terbalas rasanya budi Abang Miji. Moon
doakan Abang Miji cepat-cepat kahwin dengan Kak Suriya supaya ada orang yang boleh
jaga Abang Miji pula,” ucap Munirah bersungguh-sungguh. Doa itu benar-benar
lahir dari hatinya. Sudah tiba saatnya Abang Miji berumah tangga. Dia pun bukannya
muda lagi.
“Kenapa nak kahwin cepat-cepat?
Kalau Abang Miji tak kahwin dengan Suriya, Moon tak boleh jaga Abang Miji?”
Tarmizi menjongket kening sambil melemparkan senyuman penuh makna.
Munirah tertunduk.
“Oh, ya! Jafni ada datang jumpa
Moon tak lepas bercerai ni?” Tarmizi cepat-cepat menukar topik perbualan. Dia
tidak mahu Munirah perasan rahsia hatinya.
“Jumpa Moon nak buat apa? Moon
bukan isteri Jafni lagi,” jelas Munirah bernada sayu. Namun hatinya tidak
seirama dengan bibir yang berbicara. Menyebut nama Jafni menyebabkan rasa sakit
tetapi rasa sakit itu terasa indah di hati. Seolah-olah dengan hanya menyebut
nama, seluruh rasa rindunya terlerai.
“Maksud Abang Miji, ada tak dia
jumpa anak dia ini? Memanglah tanggungjawab dia pada Moon berakhir sejak tempoh
iddah habis tapi dia masih ada tanggungjawab pada Zarith Sofia,” Tarmizi
menegaskan suara. Baginya Munirah terlalu berlembut.
“Dia bank in duit setiap bulan. Cukuplah, Abang Miji. Sofia pun memang
tak pernah kenal dia. Biar sampai bila-bila Sofia tak tahu siapa ayah dia. Itu mungkin
yang terbaik untuk Sofia,” air mata Munirah menuruni pipinya. Cinta yang
mendalam terhadap Jafni menguburkan segala kebencian.
‘Jafni, rindukah kau padaku?’
anak dalam pangkuan didakap erat. Mengalirkan rasa kasih seorang ibu yang telah
ditinggalkan.
No comments:
Post a Comment