10
Kampung
Melango Lama, Saratok (22 Mac 2013)
Acara bermukun masih lagi rancak
walaupun malam sudah larut. Kelihatan beberapa orang pemuda kampung turut serta
menari di atas pentas. Acara tradisional itu ternyata masih mendapat tempat di
hati para belia. Suriya yang sedari tadi hanya menjadi penonton persembahan
gendang dan mukun itu tersenyum nipis.
Dengarnya tadi, pihak pengantin
lelaki memang menjemput khas tukang gendang
dari Miri untuk memeriahkan majlis pada malam ini setelah pengantin
selamat dinikahkan siang tadi. Keluarga isteri Hazian yang berasal dari Pulau
Pinang itu pasti kagum dengan budaya orang Sarawak ini. Golongan lelaki menari
dengan pasangan lelaki juga. Masing-masing mengenakan sepasang baju Melayu yang
lengkap bersamping. Malam jadi meriah dengan sesi berbalas pantun antara penari
dengan tukang gendang. Pantun itu pula dilafaz secara spontan. Penari yang
telah kalah berbalas pantun perlu memberi peluang kepada penari lain pula.
Apa
takut mandik di gua,
Mandik
di gua ayer terejun;
Apalah
takut berbini tua,
Lambatlah
mati kuberik racun.
Ruang laman rumah keluarga Hazian
jadi hingar-bingar dengan suara penonton setelah seorang pemuda yang menari di
atas pentas menjawab pantun dengan kata-kata yang nakal. ‘Ada-ada aje,’ Suriya
berbisik sendiri. Dia pun tidak mampu menahan senyuman walaupun pantun itu tadi
agak kurang sopan.
“Apalah nasib bini budak tu…”
“Hah!” Suriya menoleh ke belakang.
Dada diurut untuk meredakan rasa terkejutnya. Siapa yang tak terkejut kalau
tiba-tiba saja ada suara yang datang dari arah belakang sedangkan tadi Suriya
berdiri betul-betul membelangkan rumah Mak Su Leha yang kosong.
“Khusyuk sangat sampai tak perasan
Abang Az dah lama berdiri dekat belakang Sue.” Melihat wajah terkejut Suriya,
Azmeer tahu sepupunya itu memang tak sedar akan kehadirannya.
Dengan selamba, Azmeer menyeluk
bungkusan kuaci dalam genggaman Suriya. Dia ni kalau soal makan memang langsung
tak malu. Lebih-lebih lagi dengan sepupu yang dah rapat sejak kecil lagi.
“Ingatkan Abang Az dah balik tadi.
Sue cari dalam rumah Eyan tadi tak ada pun.” Suriya menghulur terus bungkusan
kuaci pada Azmeer. “Ingat nak ajak Abang Az sekali tengok orang bertandak.*”
“Malas. Tak minat.” Itu saja jawapan
Azmeer.
Suriya menggeleng. Tak sayang budaya
betullah lelaki ini. Sepatutnya pemuda seperti Azmeerlah yang perlu memelihara
budaya dan adat agar tidak ditelan zaman. Lagipun, apa yang susah sangat kalau
setakat jadi penonton. Bukannya Suriya suruh Azmeer bertandak dan berbalas
pantun di atas pentas itu.
“Habis tu, kenapa datang sini?”
Suriya tak puas hati. Ni mesti Azmeer nak mengorat anak mami yang datang
bersama rombongan keluarga mertua Hazian. Kalau betul apa yang Suriya rasa,
Azmeer memang nak kena sekeh. Lupakah dia pada si buah hati di Sibu?
“Tu mesti fikir negatif saja. Abang
Az tahulah Abang Az ni jahat, bukan budak harapan bangsa…” Azmeer pura-pura
merajuk.
Suriya rapatkan kedua belah tapak
tangan. Konon-konon nak meminta ampun daripada Azmeer. Sebenarnya tak perlu pun
nak minta maaf. Azmeer memang selalu okey saja kalau yang sedang lawan bicara
dengannya itu seorang yang bernama Suriya.
Suriya itu sepupunya yang sudah
dianggap macam adik sendiri. Sama macam Munirah juga. Dia yang menjadi perlindung
kepada kedua-dua sepupunya itu walaupun mereka ada abang kandung. Farizan yang
sejak zaman sekolah lagi sudah menjadi anak rantau jarang ada di rumah. Sebab
itu Suriya dan Munirah lebih rapat dengan Azmeer berbanding Farizan.
“Mak Wa suruh teman Sue ambil Moon
di simpang,” terang Azmeer akhirnya. Malas nak konar-konar lagi. Baik terus
beritahu tujuan dia menjejak Suriya di situ.
“Kalau mak tak suruh Abang Az teman
Sue, Abang Az takkan teman?” Suriya sengaja menduga.
Azmeer memandang tepat wajah Suriya.
“Memang pun. Abang Az nak tidur saja tadi. Penat sangat hari ni. Tak apalah,
Sue pergilah seorang. Abang Az balik dulu.”
Suriya pantas menyambar lengan
Azmeer.
“Tanya macam itu pun merajuk. Kata
nak kahwin. Habislah Adilah tu terpaksa pujuk Abang Az hari-hari.” Suriya tanpa
rasa bersalah terus gelakkan Azmeer.
“Kalau dah jadi isteri senang saja
nak pujuk Abang Az. Abang Az sua pipi saja kat dia, pandai-pandailah dia nak
pujuk macam mana.” Azmeer ketawa bahagia. Dia sudah mula berangan sedangkan
sampai ke hari ini dia belum berjaya mendapatkan cinta Adilah.
Suriya menahan gelora rasa melihat
wajah ceria Azmeer. Jauh di sudut hati, dia mendoakan kebahagiaan Azmeer. Walau
dengan sesiapapun, kalau nanti jodohnya bukan dengan Adilah. Suriya dah
berusaha melobi Azmeer pada Adilah tapi Adilah buat-buat bodoh. Nak kata dia
sudah ada orang lain, Suriya tak pernah nampak pun dia keluar dengan mana-mana
lelaki atau bermain sms sambil tersengih. Mungkin juga Adilah ada teman
istimewa tapi tak mahu ceritakan pada dia.
“Pukul berapa Moon sampai?” soal
Azmeer.
“Huh?”
“Mengelamun lagi. Selalu saja tak
sedar. Ni kalau orang nak culik Sue, senang-senang saja dah dapat.” Sempat juga
Azmeer membebel.
“Abang
Az tanya, Moon sampai pukul berapa?” dia ulang soalannya tadi.
“Pukul
dua belas. Paling lambat pun pukul satu,” jawab Suriya.
“Dah
tu, Sue nak tunggu sini sampai tengah malam? Abang Az dah boring ni. Jom lepak kat Wadira,” ajak Azmeer. Wadira Court itu
gerai makan yang terletak di R&R simpang Saratok.
“Nak
pergi sekarang ke? Sue nak tengok orang berbalas pantun ni. Masih buka lagi ke
Wadira tu?” Suriya keberatan. Lebih baik dia tunggu Munirah telefon bagitahu
bas sudah sampai di Jelukong baru dia bergerak. Taklah lama sangat tunggu di
simpang itu.
“Acara
ni abang Eyan dah rakam. Nanti Sue mintalah rakaman tu. Dah, jom pergi
sekarang.”
Suriya
menurut sahaja langkah Azmeer. Sempat juga dia menoleh ke arah pentas di laman
rumah Hazian. Pemuda yang sedang berpantun tadi melambai pada Suriya. Suriya
malu! Mesti lelaki itu perasan yang Suriya leka memandang padanya ketika dia
menari dan berbalas pantun tadi.
Bergendang ada bermukun tidak,
Lalang bersemat si batang padi;
Berpandang ada bertegur tidak,
Rasa kiamat di dalam hati.
Suriya
segera memalingkan muka semula. Dia dapat merasakan pantun yang baru dilafazkan
pemuda itu ditujukan kepadanya. ‘Esok nak tanya Eyan siapa lelaki itu.’ Suriya
meluahkan tekad dalam hati.
22
Mac 2013
ADA
APA DENGAN SMS?
Salam
semua!
Agak
meragukan tak tajuk entry Abg Tom tu? Abaikan aje lah. Bukan boleh buat duit
pun. Abg Tom nak tanya koranglah kan... Asyik Abg Tom aje yang kena jawab
soalan cintan-cintun korang tu kan. Ini giliran Abg Tom pula nak tanya.
Pentingkah
sebuah (betul ke penjodoh bilangan ni?) sms bagi korang? Lebih-lebih lagi dari
orang yang korang anggap istimewa?
Ada
seorang kawan Abg Tom ni. Dia minat sangat dengan sorang minah ni…dia salulah
komen2 dkt pesbuk, borak2 dekat skype..dia pernah terus-terang kat minah ni,
dia nak jadi special pada dia. Tapi minah ni tak nak. Dia nak stay kawan macam
tu aje. Kawan Abg Tom mintak no fon pun dia tak bagi.
Tup
tup…dengar cerita, kawan kepada kawan Abg Tom ni pulak yang dok bersms,
berwatsapp dengan minah yang dia syok tu. Mana tak hangin mamat tu! Dia
ngadulah pada Abg Tom. Kekonon Abg Tom ni Doktor Cinta lah kan…
Abg
Tom selamba aje suruh dia rilek...macam lagu rilek brader tu…rilek
brader…brader rilek…bagi Abg Tom, minah tu still balas lagi komen kat pesbuk,
masih layan pm, skype semua tu, okeylah kan? Tapi kawan Abg Tom cakap tak
cukup. Dia nak nombor fon minah tu jugak sebab nak sms. Dari sini Abg Tom mula
tertanya-tanya; ‘Ada apa dengan sms?’
Agak-agak
korang boleh jawab tak soalan Abg Tom ni? Mana-mana jawapan yang best akan Abg
Tom bagi something special. Apa benda yang nak bagi tu, buat masa ni Abg Tom
rahsiakan dulu. Tapi memang special lah. Komen aje kat posting ni. Senang
cerita!
Stay
tuned!
Lebuhraya
Kuching-Serian (Tengah Malam 22 Mac 2013)
Jafni
baru memulakan perjalanan untuk balik ke kampung. Tadi, berkali-kali dia
menghubungi Ellysa namun tidak berjawab. Begitu juga dengan emaknya. Nasib baik
panggilan yang dibuat menerusi telefon rumah di kampung itu dijawab oleh
ayahnya yang kebetulan baru balik dari rumah pengantin. Encik Hamzah sempat
menyampaikan pesan agar Jafni memandu berhati-hati. Walaupun hati masih sakit
dengan tindakan anak tunggalnya itu, namun kasih sayang tetap melimpah buat Jafni.
Menghampiri
Serian, Jafni mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia cuba menghubungi Munirah
pula. Setelah nama Munirah ditekan pada skrin sentuh itu, panggilan terus
bersambung. Jafni menunggu Munirah menjawab panggilannya.
“Ermm…”
suara Munirah menggumam menampan telinga Jafni.
“Moon…tidur
ke?” soal Jafni.
“A’ah…nasib
baik abang call. Kalau tak mesti Moon
tak sedar.” Bicara Munirah terhenti akibat menguap. “Abang baru gerak ke?”
dalam mamai sempat juga Munirah bertanya pada Jafni.
“Abang
dah nak sampai Serian ni. Moon dah sampai mana? Siapa ambil Moon kat simpang
nanti?” Jafni dilanda kerisauan. Selama Munirah menjadi isterinya, Jafni memang
tahu perangai Munirah. Asal dalam perjalanan jauh saja mesti Munirah tidur
dengan nyenyak. Ini kali pertama Munirah balik ke kampung dengan menaiki bas
sejak bercerai dengannya. Mahu Jafni tak risau. Kalau jadi apa-apa pada mereka
bertiga, Jafni juga yang akan dipersalahkan.
“Bas
baru berhenti kat Jelukong ni. Lepas ni Moon call Kak Sue. Dia dah janji nak ambil Moon,” terang Munirah.
Di
keheningan malam, suara tegas Jafni di hujung sana kedengaran begitu gemersik.
Munirah terbuai lagi. Lafaz cerai Jafni tak mampu membuatkan dia membenci Jafni.
Bahkan cinta yang ada buat Jafni itu masih tersimpan kukuh di hatinya. Mana
tahu suatu hari nanti Jafni kembali dalam hidupnya? Siapa tahu, kan? Dan
Munirah tak pernah berhenti berdoa.
“Okeylah.
Jangan lupa call Sue. Lepas ni jangan
sambung tidur pula. Tengok-tengok Sofia dengan Kak Mah tu,” pesan Jafni seraya
memutuskan talian. Dia tak mahu berborak panjang-panjang dengan Munirah. Dia
call Munirah sekejap saja itupun dia dah menyesal. Heyyy…apa-apa sajalah… Jafni
sendiri bingung dengan perasaannya sendiri.
*bertandak
– tarian tradisional Melayu Sarawak semasa bergendang
*mukun
– acara bergendang dan menari digelar sebagai ‘mukun’
No comments:
Post a Comment