4
Demak
Height, Demak (1 Mac 2013)
Ellysa membelek-belek dirinya di
hadapan cermin. Cantik! Dia berpuas hati dengan penampilannya. Baju kurung
moden berwarna putih yang membaluti tubuh langsingnya itu memang sepadan dengan
Ellysa. Ini bukan kali pertama dia berbaju kurung walaupun baju kurung
merupakan pakaian kebangsaan orang Melayu. Kali ini lebih istimewa. Baju itu
akan menjadi saksi satu lafaz yang akan mengubah hidupnya.
Jafni berpesan supaya memakai
tudung. Ellysa mengangkat tudung bawal crown
di tangan kanan manakala selendang satin di tangan kiri. Kedua-duanya baru
dibeli kelmarin. ‘Nak pakai yang mana satu?’ Fikir Ellysa. Walaupun selalu
mengenakan baju kurung, namun dia tidak pernah bertudung. Kalau pakai tudung
bawal, leceh. Tapi Ellysa tidak pula pandai melilit selendang.
‘Tidak mengapalah. Pakai
selendang macam mak datin pun okey!’ Ellysa terus menyilangkan kedua-dua hujung
selendang itu di dadanya. Sisipan selendang itu dikemaskan dengan keronsang berbunga
besar yang bersinar indah. Sekali lagi Ellysa memerhati penampilannya dari
hujung rambut hingga ke hujung kaki. Perfect!
Dia keluar dari bilik dengan langkah yang yakin. Jafni sudah menunggu di ruang
tamu sambil berbual dengan Datuk Joseph. Jafni memang sudah akrab dengan
keluarga Ellysa kerana sudah berkali-kali berkunjung ke banglo mewah itu.
“Cantiknya anak papa. Macam nak
pergi nikah,” tegur Datuk Joseph. Mana tidaknya. Baju kurung chiffon yang dihias indah dengan taburan
manik dan labuci sangat menyerlahkan penampilan anaknya yang sudah sedia cantik
itu. “Dengan selendang berkilat ni, papa rasa kalau Ellysa dan Jafni nikah
sekarang pun tak ada masalah,” usik Datuk Joseph lagi.
“Belum lagi, uncle. Banyak yang
perlu diuruskan,” pintas Jafni.
‘Fuhh, kalau benar-benar Datuk
Joseph suruh nikah sekarang, matilah aku. Seumur hiduplah aku tak dapat balik
kampung.’ Jafni mula membayangkan dia dikejar ayahnya dengan parang setiap kali
memijak tangga rumah orang tuanya. Belum hilang lagi rasa terkilan orang tua
itu dengan berita penceraiaannya, Jafni tidak mahu mengejutkan Encik Jaafar
dengan hasrat menikahi wanita berlainan bangsa pula. Dia perlu tunggu masa yang
sesuai.
“Papa, kami pergi dulu. Come, dear,” Ellysa mencuit bahu Jafni. Jafni
bergerak mendekati Datuk Joseph. Menyalami tangan lelaki itu dengan mesra lalu
beriringan dengan Ellysa keluar dari banglo itu.
“Kenapa pakai tudung macam ini?
Pakailah elok-elok,” Jafni memberi komen setelah keretanya bergerak keluar dari
kawasan perumahan elit Demak Height.
Ellysa menoleh ke kanan. Menatap
tajam wajah selamba Jafni yang sedang memandu. “Tak cantikkah I pakai macam
ni?”
“Bukan tak cantik. You pakai apa
pun cantik tapi bila dah pakai tudung, biarlah tutup aurat terus. Buat apa you
nak keluarkan jambul you tu?”
“Nak pakai macam mana lagi, dear? Pakai selendang macam ni pun
setengah jam I terkial-kial nak belit!” Ellysa mengeraskan suara. Dia tidak
suka komen negatif keluar dari mulut Jafni. Ellysa membayangkan Jafni
menyuruhnya memakai tudung macam bekas isterinya. No way! Nampak kampungan sangat.
“You buka balik selendang tu. I
ajar you, okey? Senang sahaja. Dalam kereta pun boleh pakai,” Jafni mula
memberi arahan kepada Ellysa. Mahu tidak mahu Ellysa terpaksa ikut. Dia harus
sentiasa menjaga hati Jafni.
“You ada pin tak?” soal Jafni
sebelum memulakan tutorialnya. Soalan Jafni dibalas Ellysa dengan anggukan
sahaja.
“Mula-mula letakkan selendang tu
kat atas kepala, tapi biar hujungnya sebelah panjang dan sebelah lagi pendek,”
arah Jafni dengan lembut.
“Yang panjang tu sebelah kanan
atau kiri?” tanya Ellysa yang sudah mula berminat.
“Mana-mana pun boleh. Asalkan
you rasa selesa. Lepas tu, bawa hujung yang pendek tu ke bawah dagu dan pinkan dekat
telinga yang sebelah lagi,” Jafni menoleh seketika. Dia terangguk-angguk. Nampaknya
Ellysa cepat belajar.
“Bila dah ketat, you tarik pula
hujung yang panjang tu ke belakang. Pinkan dekat atas sanggul you,” terang
jafni lagi. Sekilas hatinya terkenang kepada seseorang yang pernah menggayakan
selendang di hadapannya. Sempat juga dia memerhati langkah-langkah untuk
membelit selendang daripada orang itu. Siapa lagi kalau bukan Munirah!
“You memang ada ciri-ciri consultant yang baik,” usik Ellysa
dengan senyuman. “Mudah saja nak faham arahan you.”
Ellysa seronok membetul-betulkan
kedudukan selendang yang baru dipakai dengan sempurna. Menutup seluruh
rambutnya. Tidak susah rupanya nak lilitkan selendang. Ellysa tersenyum puas
hati. Matanya menjeling side mirror.
Kalah Yuna!
Restoran
Sugarbun, Satok (1 Mac 2013)
Tarmizi tidak tahu bagaimana
lagi mahu memujuk. Silap besar dia hari ini. Ingatkan hendak gembirakan Munirah.
Malam tadi dia menghubungi Munirah, mengajak Munirah dan anaknya makan tengah
hari di restoran makanan segera Sugarbun. Restoran yang terletak berhadapan
dengan bangunan Mahkamah Syariah Kuching itu baru sahaja memulakan perniagaan.
“Janganlah buat spekulasi.
Takkanlah dia kahwin tak bagitahu Moon,” pujuk Tarmizi.
“Kalau tak kahwin, buat apa dia
di sini?” Munirah membentak.
Pujukan Tarmizi tidak berkesan! Munirah
masih menangis. Zarith Sofia yang berbaring di pangkuan Tarmizi terpinga-pinga.
Mungkin si kecil itu pun tidak faham mengapa ibunya menangis. Lapar susu
seperti dia juga ke?
“Sudahlah. Apa yang nak di
tangiskan? Jafni pun bukan suami Moon lagi jadi tak salah kalau dia kahwin.
Buat apa nak bazirkan air mata untuk dia?” Tarmizi memprovok Munirah. Mana tahu
cara ini berkesan setelah dari tadi asyik kata-kata pujukan sahaja yang dia
gunakan.
“Abang Miji tak faham. Walaupun
kami dah bercerai, Moon masih sayangkan dia. Sampai hati Jafni buat Moon macam
ini. Baru empat bulan kami berpisah,” tangisan Munirah semakin menggila.
“Cuba tanya Farizan. Dia, kan
diari bergerak Jafni. Apa-apa hal mesti dia beritahu pada Farizan.”
“Ish, tak nak lah. Nanti Abang Ijan
marah Moon,” Munirah tidak bersetuju dengan cadangan Tarmizi. Tak pasal-pasal
dia kena dengar ceramah percuma daripada abangnya pula. Munirah tidak sanggup.
“Moon, kalau Moon tak tanya
macam mana nak tahu? Okeylah, kalau Moon tak nak call Farizan, cuba call
Azmeer. Mungkin dia tahu,” saran Tarmizi lagi. Azmeer pun kawan karib Jafni.
Pasti Azmeer tahu tentang perkara ini.
‘Eh, sikit-sikit nak menangis,
macam mana boleh jadi mak orang?’ rungut Tarmizi dalam hati.
Munirah mengesatkan air matanya
dengan tisu. Tangannya pantas mencari nombor telefon Azmeer dalam list kenalan di telefon bimbitnya. ‘Harap-harap Abang Az kata tidak. Tidak,
Jafni tidak kahwin lagi!’ doa Munirah di dalam hati.
“Abang Az tak tahulah, Moon. Dia
tak cakap apa-apa pada Abang Az. Moon sabar, ya. Nanti Abang Az tanyakan pada Jafni,”
jawab Azmeer setelah Munirah menceritakan apa yang dilihatnya sebentar tadi. Jafni
keluar dari Mahkamah Syariah bersama seorang wanita yang berbaju kurung putih. Hari
Jumaat pula tu. Hati siapa yang tidak hancur?!
“Pok*, betul ke kau dah nikah?”
Azmeer terus menerjah dengan soalan itu setelah panggilannya dijawab.
“Wah, hebatnya kau! Mak aku pun
tak tahu apa-apa, kau yang jauh di Sibu pula dapat berita ni. Dari mana kau
tahu gosip ini?” Jafni pula yang menyoal. Soalan Azmeer tadi dibiar tidak
berjawab. Bila masa pula dia kahwin dan siapa yang menyebar berita?
“Munirah called aku. Dia cakap dia nampak kau dengan seorang perempuan kat
Mahkamah Syariah. Kuching tu tak sebesar manalah. Kau cakap betul-betul, kau
dah kahwin ke?”
‘Munirah! Dia intip aku ke?’ “Aku belum kahwin lagilah. Tadi aku temankan Ellysa
masuk Islam. Dia baru lafaz syahadah tadi. Kau bagitahu informer kau itu, kalau aku kahwin, dia orang pertama yang aku akan
bagi kad jemputan!” Jafni membalas kejam. Siap gelak jahat lagi! Kah kah kah…
Ellysa sudah masuk Islam.
Bermakna tidak lama lagi mereka tetap akan kahwin juga. Azmeer tidak menyangka
secepat itu Jafni mahu mencari pengganti Munirah. Tapi Azmeer sedikit pun tidak
hairan. Siapa lagi yang lebih kenal inside
out Jafni kalau bukan dia?
“ALHAMDULILLAH. Bertambah
seorang saudara kita. Kau pun janganlah cepat sangat nak kahwin. Kesian Munirah,”
tukas Azmeer. Kalau boleh dia tidak mahu kedua-duanya terluka. Seorang sepupu,
seorang lagi sahabat. Sakit mereka, sakit jualah Azmeer.
“Kalau Moon call kau lagi, beritahu dia jangan sibuk pasal aku. Kami dah tak
ada apa-apa hubungan lagi. So, jangan
nak jaga tepi kain aku,” pesan Jafni. Azmeer tergelak kecil. Jaga tepi kain
konon. Kau pakai seluarlah!
“Kau kena hati-hati juga, Jafni.
Kat Kuching tu siapa tak kenal kau? Entah-entah esok muka kau terpampang kat
muka depan akhbar. Orang kalau nak manipulasikan cerita, macam-macam boleh
dibuat. Kau baru saja bercerai, tambah sensasilah cerita kau,” kata-kata Azmeer
bagai angin lalu sahaja di telinga Jafni. Dia tidak peduli. Lantaklah!
*Pok - istilah orang Melayu
Sarawak untuk ‘bro’ atau ‘dude’
No comments:
Post a Comment