Wednesday, 5 February 2014

Cintailah Kekuranganku (cinta dan jodoh)

sebuah cerpen berkisar tentang hakikat cinta dan jodoh. kita boleh jatuh cinta tetapi tidak semestinya cinta itu merupakan jodoh kita.

Hari ini merupakan hari bahagia bagi Muslihah. Zohor nanti Muslihah akan diijabqabulkan dengan tunangannya setelah enam bulan mengikat janji. Lelaki itu, seorang doktor bernama Al-Hussain bin Abdullah.

‘Nama sebenar Ibnu Sina, tokoh perubatan Islam,’ bisik hati Fakhir tatkala melihat nama mempelai yang tercetak di atas kad jemputan walimatul urus yang diterima sebulan yang lalu.

Satu keluhan dilepaskan. Fakhir tersandar di sisi katil. Semenjak selesai menunaikan solat subuh tadi dia termangu di atas sejadah. Mencari kekuatan untuk berhadapan dengan kenyataan bahawa Muslihah akan menjadi suri hati Doktor Al-Hussain. Tanpa sedar, bibir meratip nama Muslihah sementara jari-jemarinya menggerakkan butir-butir tasbih satu per satu.

Astaghfirullah al’azim! Fakhir menghentikan perbuatan yang sia-sia itu. Perlahan-lahan dia bangkit dari duduk iftirasy (duduk seperti tahiyat awal). Baharu terasa kakinya kebas sedangkan hampir sejam dia mengelamun. Tubuh yang tidak bertenaga itu rebah di atas katil. Mata terpejam dengan tangan di dahi. Fakhir mengeluh lagi!

*****

            Kunjungan daripada Encik Karim bersama-sama isterinya sudah dijangka oleh Fakhir. Tetapi dia belum bersedia lantas dia menguncikan diri di dalam bilik. Dari sebalik pintu kayu itu, Fakhir mengintai perbualan tetamu-tetamu itu dengan abinya yang sedang duduk di ruang tamu.

            “Abang Haji, saya minta maaf bagi pihak Muslihah dan keluarga saya, kami terpaksa memutuskan janji antara kita. Kami pulangkan cincin ini kerana Muslihah tidak lagi berhak untuk memakainya.”

            “Karim, tidak perlulah sampai hendak pulangkan cincin. Kami sudah memberi dengan ikhlas, tidak elok pula kalau kami ambil semula. Simpanlah. Kalau Muslihah tidak mahu memakainya, Siti pakailah,” ujar Tuan Haji Mokhsin, merujuk kepada isteri Encik Karim.

            Encik Karim menarik semula bekas cincin yang dihulurnya.

            Tuan Haji Mokhsin menyambung; “Soal putus tunang, saya sedikit pun tidak menyalahkan keluarga Karim. Kalau saya berada di tempat Karim, pasti saya juga akan melakukan hal yang sama. Saya kesal, Karim. Dia yang saya didik dengan ilmu agama, sanggup melakukan hal itu.”

            “Budak-budak, Abang Haji. Selalu menurut kata hati. Lebih-lebih lagi dalam alam pertunangan. Darah manis kata orang. Fakhir itu bukan tidak baik. Tetapi, itulah… semakin baik seseorang itu, semakin kuatlah syaitan menggodanya. Tersilap langkah, masuk perangkap syaitan. Abang Haji nasihatkanlah dia supaya bertaubat. Insya ALLAH, dosanya akan diampunkan. Kami pun tidak menyimpan dendam. Dalam hal ini, Muslihah turut bersalah.”

            Tuan Haji Mokhsin mengangguk. Dikerling seketika bilik anak terunanya. Bukannya dia tidak tahu yang Fakhir mendengar perbualan mereka. Dia perlukan masa untuk mengampunkan dosa anaknya. Hati tuanya yang terluka belum mampu terubat hanya dengan lafaz maaf daripada Fakhir.

            “Ikutkan hati, sudah saya sebat si Fakhir itu seratus kali!” getus Tuan Haji Mokhsin.

            Encik Karim tergamam sesaat. Dia kemudiannya tersenyum nipis. Tangan Tuan Haji Mokhsin dipegang. “Fakhir tidak perlu disebat, Abang Haji. Mereka berdua belum sampai ke tahap berzina seperti perumpamaan celak yang masuk ke dalam bekasnya. Kalau menurut pendapat saya, elok sahaja mereka disatukan tetapi Muslihah yang beria-ia mahu memutuskan pertunangan ini. Dia tidak dapat menerima Fakhir lagi katanya. Sebagai orang tua, saya mahukan yang terbaik untuk anak-anak kita. Malu juga sebenarnya hendak menghadap Abang Haji untuk menyampaikan hasrat Muslihah ini.”

            Badan Tuan Haji Mokhsin terhinggut-hinggut. Dia menangis!

            “Muslihah sudah saya anggap macam anak sendiri. Saya memasang angan-angan untuk melihat Fakhir bersatu dengan Muslihah dengan ikatan yang sah. Saya mengimpikan kehadiran Muslihah ke dalam rumah ini akan membawa seri setelah ummi Fakhir tiada lagi. Fakhir… Fakhir…”

            Encik Karim mendekati Tuan Haji Mokhsin yang tertunduk di hadapannya. Dengan mesra, tubuh lelaki itu ditariknya ke dalam pelukan.

            “Insya ALLAH, tidak akan putus ukhuwah kita hanya disebabkan kesilapan Fakhir ini. Abang Haji jangan risau. Muslihah tetap menganggap Abang Haji sebagai abinya.”

            Puan Siti Aisyah menyampuk; “Perempuan, Abang Haji… sedikit sahaja silap lelaki pun kami boleh mengamuk dan berdendam, inikan pula kesalahan besar seperti yang telah Fakhir lakukan. Sudah saya suruh dia fikir masak-masak, buat solat istkhiharah, akhirnya… inilah keputusan dia. Saya sendiri terkilan kerana saya yang mengenali Fakhir terlebih dahulu sebelum dia datang untuk bertaaruf (berkenalan) dengan Muslihah. Fakhir anak murid saya, saya tahu benar perangai Fakhir. Hendak buat macam mana, hati dan perasaan tidak boleh dipaksa. Anggaplah ini ujian dan pengajaran buat kita semua, terutamanya untuk Fakhir.”

            Air mata yang sekian lama bergenang, perlahan-lahan menuruni pipi Fakhir. Sebak mencengkam jiwa namun esakan hanya dilepaskan di dalam hati. Semua ini berlaku kerana silapnya yang mendahului nafsu.

‘Ampunkan saya, Muslihah,’ pinta Fakhir dengan kesal.

*****

            Air mata yang mengalir di alam lamunan Fakhir turut mengalir di alam realiti. Basah matanya mengenangkan peristiwa dua tahun yang lalu. Fakhir menarik nafas panjang sambil menyeru fikirannya yang masih terlekat di sudut yang dia ingin lupakan sedaya-upaya.

            Fakhir duduk di birai katil, cuba mengingati apa yang membuatkan dia tersedar dari lamunan tadi. Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu biliknya. ‘Oh, mungkin ketukan itu yang membuatkan aku tersedar!’

            “Ya, abi!” laung Fakhir dari dalam bilik. Dia yakin Tuan Haji Mokhsin yang mengetuk pintu bilik itu. Siapa lagi kalau bukan abinya?

            “Kamu sudah bersiapkah? Ayah Karim kamu minta kita sampai awal di masjid. Sebagai wakil menyambut rombongan pihak lelaki. Lekaslah! Abi tunggu kamu di luar.”

            Fakhir menyahut dengan lemah; “Baiklah, abi.”

            Fakhir melangkah ke arah almari pakaiannya. Baju Melayu yang sudah diseterika malam tadi diambil. Tangannya membelai baju Melayu yang diperbuat daripada kain satin berwarna putih itu. Dia sengaja memilih baju itu untuk menghadiri hari istimewa Muslihah. Kain itu sepatutnya menjadi persalinan saat dia dinikahkan. Sekarang, semuanya sudah hancur!

            ‘Allahumma yassir wala tu'assir. Rabbi tammim bilkhoir. Birohmatika Ya Arhamarrohimin. Ya Allah, permudahkanlah. Jangan dipersulitankan dan Kau akhirkanlah dengan kebaikan.’

*****

            “Kamu nekad, Muslihah? Tidak mahu memberi peluang kepada Fakhir?”

            Muslihah menggeleng. “Dia bukan hanya sakitkan hati Muslihah. Perbuatan dia itu mengundang murka ALLAH. Muslihah tidak boleh terima lelaki macam itu.”

            “Fakhir cintakan Muslihah dan ibu yakin Muslihah juga cintakan Fakhir. Fikir baik-baik, nak. Ibu tahu, kesilapan Fakhir itu sangat besar tetapi ALLAH itu Maha Pengampun. Tidakkah Muslihah rasa Fakhir berhak mendapat keampunan daripada Muslihah?” Puan Siti Aisyah cuba memujuk.

            Sebagai seorang ibu, dia tahu getar rasa cinta yang dirasakan anaknya terhadap Fakhir. Dia tidak mahu anaknya membuat keputusan terburu-buru angkara amarah. Namun dia juga sedar, siapa yang tidak marah andai maruah diri yang dipelihara cuba diragut oleh insan tercinta? Puan Siti Aisyah faham… tetapi dia cuba merasionalkan fikiran anak gadisnya. Kadang-kadang kerana cinta, manusia memang mudah menurut hawa nafsu.

            “Ibu, seorang lelaki yang mencintai seorang gadis harus menjadi pelindung kepada gadis itu. Bahkan, lelaki punya tanggungjawab untuk melindungi setiap wanita waima seseorang yang tidak dikenali sekalipun. Muslihah tunang Fakhir, ibu. Hanya tinggal dua bulan sebelum pernikahan kami, mengapa dia tidak boleh bersabar?”

            “Sudah puas ibu memujuk Muslihah. Nampaknya Muslihah memang betul-betul mahu memutuskan pertunangan ini. Muslihah tidak kesian kepada abi? Dia sayangkan Muslihah seperti anak sendiri. Ibu serba salah.”

            “Maaf, ibu… Mujahid menyampuk,” tukas Mujahid yang sedari tadi hanya menjadi penonton. “Mujahid sokong keputusan adik. Fakhir sudah tunjukkan yang dia tidak layak untuk menjaga adik. Ibu mahu serahkan adik ke tangan lelaki yang tidak bertanggungjawab itu?”

            “Mujahid… ibu bukan hendak menyokong tindakan Fakhir. Tidak sama sekali. Salah tetap salah. Cuma ibu minta, bersikap adillah terhadap dia. Selama ini, Fakhir yang kita kenal sangat menjaga akhlaknya. Solatnya terpelihara, urusan duniawinya tidak sedikit pun mengganggu urusan keagamaannya. Dia seorang anak yang baik, terjaga tingkah lakunya dengan orang tua, lembut tutur katanya. Mengapa kita menghakimi dia hanya disebabkan satu kesilapan yang telah dia lakukan? Semua kebaikan dia terhakis oleh satu kesilapan? Itu yang kamu belajar di universiti?” Puan Siti Aisyah masih mempertahankan pendapatnya.

            Muslihah menoleh abangnya, menghantar isyarat supaya abangnya berdiam diri. Perbincangan yang berlangsung itu mengenai masa hadapannya, biarlah dia sahaja yang meyakinkan ibu mereka.

            “Ibu tidak mahu Muslihah menyesal…” Puan Siti Aisyah tidak mampu menyambung ayatnya. Tangisan pilu tiba-tiba tercetus. Lantas, tangannya ditekup ke wajah. Menyembunyikan esakan.

            Muslihah meluru mendapatkan Puan Siti Aisyah. Tubuh ibunya dipeluk dengan erat. Berserta rasa berdosa yang menebal, Muslihah turut menangis di bahu Puan Siti Aisyah. Jika keputusannya itu membuatkan ibu menangis, dia rela kehilangan jiwa dan raga asalkan ibu bahagia. Muslihah sedar betapa besar dosa menjatuhkan air mata ibu. Redha ALLAH itu terletak pada redha ibunya. Melihat air mata itu, dia sendiri jadi keliru; siapa yang lebih berdosa? Dia atau Fakhir?

            “Muslihah terima Fakhir, ibu.”

            “Jangan!”

            Hampir serentak, Mujahid, Muslihah dan Puan Siti Aisyah menoleh ke arah suara itu. Encik Karim sedang berdiri di ambang pintu dengan wajah yang serius.

            “Muslihah, jangan salah faham nasihat ibu. Ibu mahu Muslihah fikirkan baik-baik, dengan tenang, bukan membuat keputusan melulu begini,” terang Encik Karim sambil menyentuh bahu anaknya.

            Di sebalik ketegasan yang dia  tunjukkan di hadapan anak-anaknya, jauh di sudut hati, dia sangat sayangkan mereka. Muslihah anaknya yang bongsu; degil, keras kepala dan berperangai sedikit gila-gila. Entah kenapa, saat mengenali Fakhir melalui taaruf yang direncanakan oleh Puan Siti Aisyah, Muslihah berubah menjadi gadis yang anggun dan sopan. ‘Setiap kejadian pasti ada hikmahnya.’

            “Ayah tidak bersetuju jika Muslihah menerima Fakhir semula kerana desakan ibu. Hati seorang ibu, Muslihah… apabila dia sudah sayang, dia akan sayang sungguh-sungguh. Ayah tiada masalah sama ada Muslihah mahu menerima Fakhir kembali atau tidak. Tetapi, sayang… dengarlah nasihat ayah ini. ALLAH berfirman; “Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) ALLAH. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.” Sikap pemaaf perlu melekat dalam diri Muslim dan menjadi akhlak karimahnya sebagai buah iman, taqwa dan ibadahnya kepada ALLAH. Dengan sikap pemaaf, seorang Muslim dicintai ALAH dan disenangi manusia. Dalam bahasa Arab, maaf diungkapkan dengan kata al-‘afwu. Kata al-‘afwu bererti terhapus atau menghapus. Jadi, memaafkan mengandung pengertian menghapus luka atau bekas-bekas luka yang terdapat dalam hati.”

            Muslihah membetulkan duduknya di antara Puan Siti Aisyah dengan Encik Karim. Dia kesal kerana dia sedar segala pergolakan yang berlaku dalam keluarganya ketika itu adalah disebabkan kesilapan dirinya dan juga tunang tercinta. Akalnya mencari jalan untuk merungkai kekusutan umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak terputus dan tepung tidak berselerak.

            “Ayah, ingatkah ayah pada riwayat Nabi Adam a.s? Nabi Adam a.s tewas untuk patuh pada arahan ALLAH agar tidak menghampiri sebatang pohon kurdi yang ada di dalam syurga. Arahan itu akhirnya diingkari hanya kerana dihasut oleh iblis agar memakan buah dari pohon tersebut. Baginda dihalau daripada syurga bersama-sama Hawa. Syukur, ALLAH itu Maha Pengampun, Dia mengampunkan dosa Nabi Adam a.s namun baginda tetap dihukum dan turut diberi amaran; Allah berfirman dalam surah Al-A'raf  ayat 24 : “Turunlah kamu sekalian, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan (tempat mencari kehidupan) di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan.”  Ketahuilah, ayah, ibu, abang… dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, Muslihah maafkan kesalahan Fakhir. Dan anggaplah keputusan Muslihah untuk memutuskan pertunangan kami sebagai suatu hukuman kepada Fakhir.”

            “Hal ini juga harus Muslihah ambil iktibar. Jangan sesekali membenarkan lelaki bukan mahram masuk ke rumah ketika ayah, ibu dan abang tiada di rumah. Walau sebaik mana pun lelaki itu, ingatlah, ALLAH melarang mendekati zina dan perbuatan Muslihah membenarkan Fakhir masuk ke rumah itu sudah melanggar larangan ALLAH. Dia masih manusia biasa, bukannya malaikat!”

*****

            Lengannya dicubit. Muslihah mengaduh kesakitan lantas menoleh ke kiri, memandang ‘si ketam’ yang telah mencubitnya seketika tadi. Matanya dijegilkan dengan garang sekali. Si ketam itu tersengih-sengih selamba.

            “Saudari ada masalah apa dengan lengan saya?” soal Muslihah sambil tangan kanannya sibuk menggosok lengan kiri yang menjadi mangsa cubitan.

            Sahabat baik Muslihah yang berkongsi nama dengan srikandi Islam, Rabi’atul Adawiyah itu terus sahaja tersengih-sengih.

            “Saya perhatikan sejak setengah jam yang lepas, saudari asyik mengelamun. Entah apa yang saudari fikirkan. Saya yang malu sendiri apabila semakin banyak lensa kamera dihalakan ke arah kita sedangkan saudari tidak perasan. Ini tidak adil. Jadi saya menghukum saudari dengan cubitan itu.”

            Wajah Muslihah tiba-tiba panas. Baharulah dia perasan ruang di dalam Masjid Ar-Rahman itu sudah mula dipenuhi dengan ahli keluarga yang ingin menyaksikan saat dia dinikahkan dengan tunangnya. Dia membetulkan duduk agar lebih selesa. Sebentar lagi masanya akan tiba. Muslihah berdebar.

            “Saudari ada nampak Fakhir?” bisik Muslihah di telinga Rabi’atul Adawiyah.

            Rabi’atul Adawiyah tersentak. Dengan perlahan dia bertanya; “Mengapa saudari bertanyakan tentang Fakhir pada waktu ini? Doktor Hussain sudah duduk di hadapan ayah saudari. Siap sedia hendak melafazkan akad. Fakhirkah yang mengganggu fikiran saudari sebentar tadi?”

            Muslihah menggeleng. “Saya kasihan. Tadi saya nampak Fakhir menyambut rombongan pihak lelaki. Dia pakai baju Melayu yang saya jahit sendiri untuk majlis kami. Selepas dia mempersilakan semua jemputan untuk masuk, dia keluar dan tidak masuk lagi sampai sekarang.”

            “Sudahlah. Mungkin dia mahu ambil angin di luar. Jangan fikir sangat, ya. Fokus pada pernikahan saudari.”

            Suasana hening seketika. Masing-masing memasang telinga mendengar tazkirah pernikahan yang disampaikan oleh Tuan Haji Mokhsin. Sesekali mata Muslihah bertentangan dengan mata Tuan Haji Mokhsin. Dalam serba salah sempat jua Muslihah menghadiahkan senyuman tipis. Suara Tuan Haji Mokhsin yang kedengaran sendu itu membasahkan hati Muslihah. Saat dia diingatkan supaya menjadi isteri solehah, Muslihah menanam tekad di dalam hati bahawa dia akan berusaha untuk membahagiakan suaminya.

            “Wahai Al-Hussain bin Abdullah, aku nikahkan dikau dengan puteriku, Muslihah binti Karim dengan maharnya bacaan hafazan surah Ar-Rahman.”

            “Aku terima nikahnya dengan mahar yang tersebut.”

            “Sah?”

            “Sah!”

            “Sah!”

            “Sah!”

            “Alhamdulillah…” Encik Karim meraup wajahnya dengan penuh kesyukuran.

*****

            Rabi’atul Adawiyah mendekati Muslihah. Ada satu persolan yang sedang berlegar-legar di kepalanya ketika itu.

            “Muslihah, boleh saya bertanya sesuatu?”

            “Silakan…”

            Sebelum mula bertanya, Rabi’atul Adawiyah menarik nafas dalam-dalam.

            “Tadi, selepas kita selesai solat Maghrib, saya mendengar Doktor Hussain membaca Al-Quran. Sebelum itu, saya mohon maaf andai soalan saya ini mengecilkan hati saudari. Tadi saya dapati bacaan Doktor Hussain banyak yang silap. Tajwidnya terabai, makhrajnya tidak tepat. Patutlah tadi dia tidak menjadi imam solat kita. Saya hendak tahu, siapa suami saudari itu? Saya tidak mahu berburuk sangka sebab itu saya bertanya sendiri kepada saudari. Sebagai seorang guru agama, layakkan saudari berdamping dengan suami yang masih merangkak  membaca Al-Quran? Saya jadi ragu-ragu.”

            “Dia hanya seorang lelaki mukallaf yang biasa-biasa sahaja tetapi kekurangannya itulah yang menyebabkan saya jatuh cinta,” terang Muslihah dengan tenang.

            “Saya tidak faham. Boleh saudari terangkan? Apa yang saya faham, sebuah perkahwinan tidak terbina hanya dengan cinta. Yakin sungguhkah saudari dengan pilihan saudari ini? Maaf cakap, saya rasa Fakhir jauh lebih hebat dari segi agama. Saya tidak berniat hendak membandingkan mereka cuma saya mahukan yang terbaik untuk sahabat saya.”

            Muslihah menggenggam tangan Rabi’atul Adawiyah. Matanya mencari sinar keikhlasan dalam mata sahabatnya itu; yang sentiasa di sisinya saat susah dan senang. Sehingga saat ini, setelah dia bergelar seorang isteri, Rabi’atul Adawiyah masih menemaninya malam ini atas permintaan Muslihah sendiri.

            “Ingat lagi semasa Fakh… eh, semasa saya terhantuk kerusi hingga kepala saya terpaksa dijahit dua tahun lepas?” Muslihah berdehem membetulkan suara. Dalam hati, dia mengecapkan kesyukuran kerana tidak tersasul memberitahu Rabi’atul Adawiyah yang kejadian terhantuk di kerusi itu adalah akibat perbuatan Fakhir. Muslihah tidak sanggup membuka aib Fakhir. Sehingga kini rahsia kejadian itu tersimpan kemas dalam kalangan keluarganya sahaja.

            “Ya, saya masih ingat.”

            “Abang Mujahid membawa saya ke klinik Doktor Hussain. Ketika itu sudah jauh malam, klinik pun sunyi. Abang Mujahid terus meluru ke dalam bilik Doktor Hussain. Alhamdulillah, dia tidak marah bahkan dia yang terburu-buru mendapatkan saya dan mengarahkan abang membaringkan saya di atas katil rawatan. Saudari tahu, pada ketika itu sebenarnya Doktor Hussain sedang membaca buku Iqra’ jilid keempat. Dia sedang belajar mengaji.”

            Jeda seketika. Rabi’atul Adawiyah masih khusyuk mendengar cerita Muslihah.

            “Selesai melakukan jahitan di kepala saya, dia menghulur sehelai tuala untuk menutup rambut saya. Lima saat, hanya lima saat, saya memandang wajahnya dan tiba-tiba hati saya jadi sayu. Semasa dia sedang menulis perskripsi untuk saya, Abang Mujahid sempat melirik tanda namanya di atas meja. Al-Hussain bin Abdullah. Abang bertanya adakah dia seorang muallaf? Saya pun sebenarnya ingin tahu sebab saya sempat melihat dia membaca Iqra’ semasa masuk ke biliknya. Rupa-rupanya, dia memang dilahirkan sebagai seorang Islam. Dia mengaku yang selama ini dia leka, dia pernah belajar mengaji tetapi pada zaman kanak-kanaknya sahaja. Dan sekarang, dia sedang bertatih untuk membaca Al-Quran.”

            “Jadi, saudari jatuh cinta kerana kesungguhannya itu?” celah Rabi’atul Adawiyah.

            “Bukan. Saya jatuh cinta kerana tiba-tiba sahaja dia ada di hati saya. Ya, begitu sahaja. Dan di saat dia datang ke rumah dengan beraninya untuk menyunting saya, baharulah saya faham isyarat yang saya nampak sewaktu melakukan istikharah sebelum membuat keputusan memutuskan pertunangan saya dengan Fakhir dahulu.”

            Rabi’atul Adawiyah menitiskan air mata. Sekarang dia mengerti, cinta dan jodoh itu bukan perkara yang sama. Selama ini dia mendengar cerita cinta sahabatnya dengan Fakhir, dan malam ini sesungguhnya matanya telah terbuka untuk mengerti hakikat jodoh.

            “Muslihah, tolong doakan saya semoga beroleh jodoh yang terbaik juga.”
*****

           Senyuman yang terlakar di wajah Muslihah mengelirukan Al-Hussain. Senyum itu merupakan senyuman bahagia, senyuman manis yang ikhlas tetapi kenapa matanya bergenang air jernih yang bernama air mata?

            “Muslihah,” seru A-Hussain.

            “Ya, abang.”

            Al-Hussain tersenyum. “Awak senyum tetapi mata awak nampak sayu. Riak wajah awak ini mengingatkan saya pada hari pernikahan kita. Wajah beginilah uyang ditunjukkan oleh Fakhir. Dan hari ini, awak menunjukkan reaksi yang sama semasa menyaksikan pernikahan Fakhir. Apa yang sebenarnya berlaku antara kalian?”

            Air jernih yang bergenang tadi perlahan-lahan menuruni pipi mulus Muslihah.

            “Tiada apa-apa yang berlaku antara kami. Kami berdua sahabat. Senyuman ini terukir kerana kami saling merasa bahagia dengan kebahagiaan sahabat kami. Dan air mata ini pula merupakan cetusan rasa syukur kerana kami tahu sahabat kami telah bertemu jodoh. Fakhir hanya seorang sahabat, yang telah banyak mengajar saya makna kehidupan. Janganlah abang mewujudkan ruang untuk syaitan meletakkan rasa curiga di hati abang terhadp cinta saya.”

            “Insya ALLAH, abang akan jaga cinta kita. Maaf kerana abang telah tersalah anggap hubungan awak dengan Fakhir.”

*****

            Isterinya sudah tidur. Senyap-senyap, Fakhir mengeluarkan kad yang dihulur oleh Muslihah dalam walimah siang tadi.

Sahabatku,

Kita boleh memilih sesiapa sahaja untuk dicintai,

Pejuang agama, doktor, novelis… sesiapa sahaja…

Dahulu saya mengagumi Fakhir kerana kesempurnaan

yang Fakhir miliki hingga saya lupa,

Fakhir hanya manusia biasa yang tidak layak untuk dipuja.
tatkala Fakhir melakukan kesilapan,
saya tidak dapat menerimanya kerana
selama ini yang saya kagumi adalah kesempurnaan Fakhir. 

Rupanya cinta itu adalah cinta sebenar

andai kita mencintai kekurangan seseorang itu.

Soal jodoh kita pula hanya ALLAH yang akan memilih.

Dan yakinlah bahawa pilihanNya merupakan pilihan paling tepat.

Barakallahulakuma wabaraka alaikuma
Wajama’a bainakuma fil khair…
Jodoh itu cinta,
muslihah

No comments:

Post a Comment