1
Samariang Aman, Petra Jaya
(1 Februari 2013)
Hujan mencurah lagi. Agaknya
memang lumrah apabila menjelang Tahun Baharu Cina, hujan akan turun hampir
setiap hari. Jafni gelisah di atas katil. Lenanya terganggu. Jafni bangkit dari
pembaringan lalu menuju ke arah jendela. Angin dingin berhembus lembut tatkala
jendela dibuka luas. Gelap dan sunyi. Hanya bunyi katak bersahutan. Agaknya
bunyi katak itu yang mengganggu tidurnya. Nyanyian katak yang sumbang itu agak
nyaring juga. Besar juga peti suara seekor katak hingga suaranya boleh sampai
ke bilik Jafni di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu.
Jafni menutup semula jendela.
Tempias hujan di luar sudah mula masuk ke dalam bilik. Dia kesejukan. Perlahan-lahan
menghampiri katil, Jafni kembali berbaring di atas tilamnya yang empuk.
Berbaring berbantalkan lengan. ‘Bukan bunyi katak yang mengganggu,’ fikir Jafni.
Selama ini dia tetap lena didodoi irama katak-katak yang mungkin sedang mencari
pasangan. Lantas, kerana apa maka malam ini sukar sekali melelapkan mata? Jafni
menjeling jam di dinding. Sudah pukul empat pagi.
Dia teringat sesuatu. Oh, tidak!
Bukan sesuatu tapi dia teringat seseorang! ‘Mengapa harus ada kesal?’ Hati Jafni
merintih lagi. Entah untuk kali yang keberapa. ‘Aku tak cintakan dia. Jadi aku
tak rugi apa-apa!’ tegas Jafni di
dalam hati.
Sudah tiga bulan Jafni bersendirian
tanpa isteri di sisi. Munirah, isteri yang setia diceraikannya dengan talak
satu. Dengan alasan tidak mahu terus menyeksa Munirah, talak dilafazkan di
mahkamah syariah, disaksikan kedua ibu bapa mereka. Bukan main marah lagi ibu
bapa Jafni dengan keputusan itu. Mereka sayangkan Munirah seperti anak sendiri.
Kala berselisih semasa keluar dari mahkamah, dengan wajah lembut Puan Asmah dan
Encik Dahlan menyapa. Mereka malu dengan keluhuran hati ibu bapa Munirah. Tidak
marah atau kecewa sedikit pun dengan tindak-tanduk anak mereka. Patutlah Munirah
pun boleh bertenang. Anak-beranak itu memang berhati mulia! Jafni sahaja yang
menolak tuah.
Jafni meraup wajahnya. Cuba
menenangkan perasaannya sendiri. Sebak sungguh mengenangkan kemarahan Puan Rosni.
Sebagai anak tunggal yang selama ini dimanjakan oleh Puan Rosni, sehari tak
mendengar suara Puan Rosni pun dia boleh gelisah. Inikan pula Puan Rosni
sengaja mogok suara dengannya. ‘Mak,
maafkan Jafni!’ rintih Jafni dalam hati. Jafni tiba-tiba jadi takut. Ada satu
lagi masalah! Dia teringat panggilan Ellysa pagi tadi.
“Berapa lama lagi I nak tunggu?
Dulu kata tunggu habis iddah. Sekarang tunggu apa pula?” suara Ellysa
membentak-bentak di hujung talian. Wanita ini kalau tidak dilayan beginilah
jadinya. Ingat dunia dia yang punya!
“I bukan tak nak cepat-cepat
kahwin dengan you tapi you tahu kan I baru sahaja lepas bercerai. Kalau I
kahwin dengan you sekarang, apa pula kata parents
I. I cerai dengan Munirah ni pun dia orang dah mengamuk sakan. You nak parents I tuduh you musnahkan rumah
tangga I?” pujuk Jafni. Dia cuba bersabar.
Rasional alasan Jafni takkan
difahami Ellysa. Gadis Iban yang menjadi kegilaan Jafni itu mahu semua kehendaknya
dituruti. Dia sudah menunggu selama tiga tahun. Tempoh itu bukan sekejap. Bukan
mudah melihat kekasih sendiri bersama orang lain di depan mata. Ellysa tidak
sanggup lagi menanti. Dia ingin Jafni segera menjadi miliknya. Sudah puas
menahan sakit hati dan cemburu. Dia cuma ingin ikatan yang sah antara dia dan Jafni.
Takkan itu pun Jafni susah nak buat?
“You jangan bagi banyak alasan
kat I, okey. Kalau you takut nak bagitahu parents
you, biar I sahaja yang bersemuka dengan mereka. Dear, sampai bila you nak I jadi gundik you sahaja? I nak jadi
isteri you lah!” Ellysa tetap tidak mahu mengalah. Jafni harus diikat segera.
Bukan dia tidak kenal perangai buaya Jafni. Kalau dibiar bebas, tidak mustahil Jafni
boleh bermain mata dengan wanita lain. Dia tahu sangat tentang perangai Jafni itu.
Kalau tidak ada rupa dan harta agaknya sudah lama Ellysa ditinggalkan.
Jafni hanya berdiam. Malas mahu
bertingkah kata. Dia tidak mahu bergaduh disebabkan perkara itu. Dia dan Ellysa
sudah sepakat untuk berkahwin setelah semuanya reda. Kenapa sekarang ingin
cepat-cepat dilangsungkan? Dia tidak mahu emaknya marah lagi padanya. Kemarahan
Puan Rosni bukan boleh dibuat main! Sekarang ini pun Puan Rosni sudah melancarkan
perang setelah dia menceraikan Munirah. Hendak cari pasal lagi? Ish... Jafni
tidak berani.
“I settle satu-satu dulu, okey?
Jangan risau, I sayangkan you. Walau apa pun yang berlaku, I’m yours, dear,” Jafni mula memujuk Ellysa. Kalaulah Ellysa
benar-benar ingin menemui kedua orang tuanya, nampaknya Jafni kena bertaubat
dan membayar segala hutangnya kerana tidak mustahil selepas itu dia akan
dibunuh ayahnya! Huh, nauzubillah min zalik! Dia masih mahu hidup. Dia masih
mahu enjoy.
Jafni duduk menghadap laptop di
atas katil. Dia tidak mahu duduk di kerusi dekat meja yang ada di sisi
katilnya. Lebih selesa duduk di tilam empuk. Laptop diletakkan di atas riba. ‘Dah
nama pun komputer riba, haruslah diletak di atas riba.’ Jafni bermonolog
sendiri. Dengan kaki melunjur, badan yang kepenatan disandarkan di kepala
katil. Setelah duduk dalam keadaan yang selesa, tangannya lincah menaip id dan
password e-melnya. Satu persatu e-mel diperiksa. Dia risau akan terlepas mana-mana
jemputan ceramah. Kerjaya sebagai consultant
memang memerlukan Jafni untuk sentiasa peka dengan jadual ceramah dan sebarang
jemputan daripada pihak yang inginkan perkhidmatannya.
Jafni perasan sesuatu. Dia tidak
lagi menerima e-mel daripada LUNA seperti selalu. Bahkan semua e-mel daripada
blogspot tidak menyatakan LUNA ada membuat ulasan pada mana-mana post di blognya. Jafni kehairanan.
Apabila dibelek-belek tarikh terakhir dia menerima e-mel daripada LUNA ialah
sebulan yang lalu. Itu pun bukan madah cinta atau lirik lagu seperti yang biasa
LUNA kirim kepadanya. Hanya ucapan selamat tinggal. Mengapa agaknya?
‘Ah, sedangkan Ellysa yang aku
layan dengan baik pun sudah bosan menunggu, inikan pula perempuan yang aku tak
pernah ambil kisah tentang kewujudannya!’ Jafni menganggap itu merupakan sebab LUNA
menghilangkan diri. Biarlah, mungkin dia sudah ada seseorang yang istimewa lalu
perasaanya terhadap Jafni lenyap begitu sahaja.
Tiba-tiba Jafni rasa ingin
berjumpa dengan peminat rahsianya sejak bertahun-tahun itu. Tetapi sekarang LUNA
sudah hilang. Hilang membawa cintanya. Begitu juga dengan Munirah. Dia juga
menghilang sejak diceraikan. Walaupun Munirah tahu dia masih berhak untuk
tinggal bersama Jafni sementara tempoh iddahnya, dia tetap keluar dari rumah
itu. Jafni mengeluh. ‘Kenapa aku baru terasa kehadiran orang yang cinta pada
aku setelah mereka tidak lagi menemani aku?’
Bodoh bukan perkataan yang tepat
untuk ditujukan kepada Jafni. Dia sudah penat – jasmani dan rohani. Fikirnya,
dia mampu menanggung rasa sakit akibat keputusan yang dibuatnya sendiri. Dia
yang meninggalkan tetapi dia juga yang merasai kesakitan itu.
Jafni melakukan prosedur menutup
laptop. Dia mengeliat seketika. Saat mahu menyambung semula tidur yang
terganggu, terdengar azan subuh berkumandang dari surau yang hanya beberapa
langkah dari rumahnya. Dengan malas, langkah dihayun ke bilik air untuk
mengambil wudhu’. Jafni tahu, di situ ada ketenangan yang dia cari.
![]() |
Jafni |
vashikaran
ReplyDelete