Aku membiarkan Haiza mengikut langkahku masuk ke dalam
bilik sedangkan barang-barangnya telah pun aku letakkan di dalam bilik tetamu
di sebelah bilik tidurku. Aku tidak kisah akan kehadiran Haiza di dalam bilik
ini kerana bilik ini dahulunya menjadi medan lepak Haiza setiap kali bertandang
ke Kuching. Sekarang situasinya sudah berbeza. Dia datang bersama suami, jadi
bilik tidurku bukan lagi wilayah jajahannya.
Kalau ditanya kepadaku, sudah pasti aku lebih suka situasi sebelum ini. Jarang-jarang dapat bertemu, kami hanya akan tidur apabila mata betul-betul sudah tidak mampu bertahan lagi. Selalunya malam-malam yang kami lalui akan kami penuhkan dengan pelbagai cerita, sepanjang waktu yang kami tidak dapat bersama sedangkan segala kisah-kisah itu sudah kami kongsikan dengan bantuan teknologi mutakhir. Berbicara tanpa bertentang mata memang tidak puas, kan?
Aku mendekati jendela yang tertutup. Aku leka menghayati pemandangan di luar bilik melalui cermin lut cahaya itu. Haiza aku biarkan buat-macam-bilik-sendiri. Sementelah, bilik ini bagaikan rumah kedua bagi Haiza sebelum dia bergelar isteri.
“Masih lagi mengintai dari tirai kamar?” soal Haiza.
Aku menoleh mencari kelibatnya. Dia sedang duduk di meja belajarku, menghadap komputer riba yang memang terpasang sebelum aku menyambut kehadirannya bersama suami di ruang tamu tingkat bawah sebentar tadi.
“Apa?”
“Jangan buat-buat tidak faham. Saya komen entri ini guna akaun gmail awak nanti, padan muka awak!” ugut Haiza.
Aku mendekati Haiza. Aku turut merenung monitor komputer riba yang sedang memaparkan blog dengan templat ringkas berlatar belakang putih itu.
“Buatlah kalau awak berani,” cabarku.
“Baiklah, saya taip komen sekejap,” sahut Haiza sambil tangannya mula mendarat di atas papan kekunci. “I love you lillahi taala…”
“Haiza… apa yang awak taip ini? Cepat padamkan semula,” arahku apabila aku terpandang ayat yang dia taipkan di ruang komen blog milik Hisyammudin itu.
Haiza tergelak kecil. “Tahu takut… Tadi beria sangat awak ugut saya. Saya tahulah, takkanlah saya mahu letak komen begitu. Saya tahu dia sudah berkahwin.”
“Macam mana awak tahu?”
“Eh, awak ingat awak seorang peminat dia? Saya pun peminat dia, tahu?”
Aku mengambil sebuah lagi kerusi lalu duduk di sebelah Haiza. Bahunya menjadi sandaranku. Kupejamkan mata untuk menahan air mata dari menitis. Aku sudah berjanji kepada diri sendiri untuk menjadi gadis yang tabah dan kembali ceria seperti dahulu.
“Lin, awak tidak boleh terus begini. Sedangkan selama ini awak tidak pernah berusaha, kenapa awak perlu kecewa?”
“Haiza, saya tahu awak ambil berat tentang diri saya. Terima kasih. Tetapi biarlah saya begini buat masa ini. Insya ALLAH saya akan pulih dari kesedihan ini.” Dengan lemah, aku membalas kata-kata Haiza. Tidak pernah aku ketahui bahawa perasaan sedih boleh membuatkan seseorang menjadi tidak bertenaga. Aku rasa mahu tidur selama-lamanya.
Astaghfirullah al ‘azim!
“Bukankah dahulu saya pernah menasihati awak? Awak tidak akan dapat ikan yang awak mahu dengan hanya memandang ke dalam sungai dan melihat ia berenang. Ikan itu tidak akan melompat sendiri ke arah awak. Awak perlu memancing atau dengan apa cara sekali pun yang dibenarkan untuk mengambil ikan itu. Kalau awak tidak dapat ikan itu, sekurang-kurangnya awak sudah mencuba. Mana tahu, dapat ikan yang lain…”
“Eiii… awak samakan dia dengan ikan? Tidak senonoh betul!” Aku tersengih di hujung bicara. Analogi yang disampaikan oleh Haiza itu sudah lama aku dengar. Semenjak dia mengetahui yang aku tertarik kepada Hisyammudin lagi.
“Awak pun tahu, ada banyak perkara yang menjadi halangan. Yang utamanya, saya seorang muslimah yang terikat dengan syariat dalam perhubungan lelaki dengan wanita. Bagaimana saya mahu mendahului lafaz cinta? Lagipun, dia tidak pernah mengenali saya. Cuma saya sahaja yang mengagumi dia dalam diam. Sekiranya saya berani berterus-terang sekali pun, saya tidak pasti sama ada dia boleh percaya atau tidak. Kita tidak perlu sebab untuk jatuh cinta tetapi kita perlu memberi sebab untuk meyakinkan orang menerima cinta kita.”
Haiza memeluk bahuku. Perlahan-lahan tangannya mengusap bahu anak manja ini. Walaupun kami sebaya, aku memang gemar bermanja dengan Haiza.
“Apa salahnya perempuan mendahului lafaz cinta? Bukankah Saidatina Khadijah yang mula-mula menyampaikan hajat untuk menjadi isteri baginda Rasulullah salallahu ‘aiahi wasallam? Islam tidak menghalang perkara yang baik tetapi kena ikut garis panduan yang diajarkan. Awak sewajarnya menggunakan orang tengah. Bukankah awak ada mengenali abang-abang naqib dalam persatuan yang diterajui Hisyammudin itu? Mereka boleh menjadi penyampai hajat awak. Sekarang sudah terlambat. Saya harap awak redha. Berdoa banyak-banyak supaya awak bertemu jodoh yang terbaik.”
“Sebenarnya saya pernah membuat perancangan mahu meluahkan perasaan melalui surat yang saya selitkan dalam buku. Saya sendiri yang akan menghulurkan buku tersebut semasa mesyuarat agung persatuan tahun ini. Nampaknya saya tidak sempat. Saya terlambat dan terlewat.”
Haiza membawa aku ke dalam pelukan dengan lebih erat.
“Saya salah seorang peminatnya, jadi saya tidak hairan awak boleh jatuh cinta. Tetapi saya tidak menyangka awak akan menjadi separah ini. Teori saya, seorang public figure akan mencari jodoh dalam lapangan yang sama. Baru-baru ini, pemain bola sepak negara telah menyunting seorang pemain boling untuk menjadi isterinya. Artis dengan artis, ahli sukan dengan ahli sukan, novelis dengan novelis… Begitu juga dengan Hisyammudin. Mesti dia mahu seorang wanita dari bidang yang sama. Kalau menurut teori saya ini, saya jangkakan jodoh awak seorang pegawai polis.”
Kami sama-sama tergelak selepas Haiza menyatakan teorinya. Polis? Kami ada kenangan dengan seseorang yang bekerja sebagai pegawai polis. Kisahnya biarlah menjadi rahsia kami berdua.
“Terima kasih kerana sentiasa berada di sisi saya, saat susah dan senang. Terima kasih kerana menjadi ‘diari bernyawa’ saya. Dan terima kasih kerana hari ini awak datang ke Kuching hanya untuk melawat saya setelah awak membaca status-status gila saya di facebook. Saya benar-benar terharu.”
Kurebahkan kepalaku ke dalam dakapan Haiza. Kehangatan kasih sayangnya dapat kurasai.
“Amboi, manjanya! Umur sudah dua puluh satu sepatutnya awak bertambah matang. Erm… mungkin sebab itu awak tidak ALLAH jodohkan dengan Hisyammudin. Awak tidak sekufu dengannya.”
“Sekufu?” tanyaku. Aku tidak faham. “Sekufu dari segi apa?”
“Sekufu dari segi mentaliti. Dia seorang yang sangat matang, berkarisma, bijak, berpendidikan tinggi. Saya bukan hendak menghina, tetapi cuba bandingkan dengan diri awak. Awak kebudak-budakan. Hrrrmmm… tidak sesuai.”
Aku mengangguk-angguk. Betul juga pendapat Haiza itu. Barangkali, disebabkan itu aku tidak berjodoh dengan Hisayammudin. Sebenarnya, selepas beberapa hari berita pernikahan mereka sampai ke telingaku, aku mula menyiasat siapa suri hati Hisyammudin. Rupa-rupanya dia seorang aktivis dalam persatuan bukan kerajaan yang diterajui oleh Hisyammudin. Dia sudah hampir tiga tahun bersama membangunkan persatuan itu menjadi sebuah agensi yang dipercayai untuk menyalur sumbangan ke Palestin sedangkan aku baharu hendak mengorak langkah menyertai mereka. Mereka berdua memang sekufu.
“Lain kali, awak jangan bataskan doa awak dengan menyebut satu nama. Sepatutnya awak minta jodoh yang baik, bukan minta Hisyammudin menjadi jodoh awak. Sebab itu apabila dia sudah tidak dapat awak miliki, awak jadi nanar sendiri kerana awak kehilangan satu nama untuk disebut dalam doa,” nasihat Haiza lagi.
“Sudahlah. Jom turun. Kasihan suami awak ditinggalkan keseorangan di bawah.” Aku berdiri sambil mencuit bahu Haiza.
“Dia tidak keseoranganlah. Awal-awal lagi ayah awak tarik dia berdiskusi tentang isu penyebaran syiah yang berleluasa di negara kita sekarang. Entah-entah dia yang terlupa dia datang bersama saya ke sini.” Haiza mengomel namun tetap jua dia berdiri, menurut ajakanku.
“Malam ini saya mahu tidur di bilik awak. Kita intai blog isteri Hisyammudin,” bisik Haiza di telingaku ketika kami keluar dari bilik. Aku tersenyum sahaja.
Besar
makna kehadiran Haiza kali ini. Dia benar-benar seorang sahabat yang memahami
diriku. Dia tidak sekadar bersetuju dengan setiap tindakanku tetapi dia menegur
kesilapan yang telah aku lakukan. Itulah setepatnya tugas seorang sahabat.
Sejauh soal Hisyammudin, aku yakin aku mampu melupakan rasa cinta yang aku
rasakan terhadapnya tetapi bukan sekarang. Suatu hari nanti… insya ALLAH.
Doakan aku, ya!

No comments:
Post a Comment