5
Restoran
Satay Ceko, Astana (13 Mac 2013)
Munirah betul-betul tidak tahu tujuan Jafni mengajaknya
berjumpa hari ini. Semalam dia mendapat panggilan daripada Jafni. Mengajaknya
berjumpa di Restoran Satay Ceko yang berdekatan dengan pejabat Munirah sewaktu lunch hour. Entah apa yang penting
sangat hinggakan Jafni menghantar SMS pagi tadi untuk mengingatkannya tentang
pertemuan tengah hari ini.
Setelah
masing-masing membuat pesanan makanan, barulah Jafni membuka mulut. Rupa-rupanya
hendak meminta Munirah menurunkan tanda tangan pada dokumen persetujuan
penyerahan hak milik rumah yang pernah mereka diami bersama.
“Abang
tak payah bagi apa-apa. Moon tak nak semua ini,” Munirah menolak dokumen di
hadapannya.
“Tapi
ini hak Moon dengan Sofia. Bermakna, semua ini tanggungjawab abang. Jangan
bantah. Tanda tangan kat situ dan lepas ini urusan antara kita selesai,” tegas Jafni.
Dia sendiri kalau boleh, tak mahu bertemu semula dengan bekas isterinya. Tetapi
urusan pembahagian harta sepencarian harus diselesaikan dengan segera. Bukan
hanya pihak mahkamah syariah yang mendesak. ‘Mahkamah’ orang tuanya lebih
keras. Tiada rayuan!
Munirah merenung jauh ke dalam mata Jafni. Mencari
petanda barangkali wajahnya masih tergambar di sudut bening sepasang mata itu.
Gagal! Wajahnya tiada di mata Jafni, apatah lagi di hati.
Jafni
pula keresahan. Renungan Munirah menerbitkan debar di dadanya. Bukan kerana
sayang. Jafni pasti tentang itu. Debaran itu kerana rasa bersalah. Rasa
bersalah yang sudah bersarang sejak hari pertama melepaskan ikatan pernikahan
mereka.
“Moon fikir dulu elok-elok. Nanti kita jumpa lagi. Harap Moon
terima semua yang abang beri ni. Untuk Moon dan anak…ehem...anak kita.”
“Abang masih macam dulu juga. Suka mendesak. Tak mahu kalah.
Tapi kali ni Moon tetap dengan keputusan Moon. Moon tak nak rumah, tak nak duit
abang. Moon ada duit, ada kerja. Moon boleh besarkan Zarith Sofia, anak Moon
dengan titik peluh Moon sendiri,” Munirah menjawab sinis. Perkataan ‘anak Moon’
ditekan supaya Jafni faham maksud yang ingin dia sampaikan. “Terima kasih atas
keprihatinan abang tu. Tapi Moon rasa kalau bukan disebabkan desakan mak abang,
abang takkan buat ini semua. Moon kenal sangat siapa diri abang yang sebenarnya.”
Jafni menggeleng. “Jangan tuduh abang begitu. Abang
ikhlas. Abang dah hancurkan hidup Moon. Sekurang-kurangnya bila Moon terima
rumah dan simpanan abang ni, abang akan rasa lega. Abang tahu Moon boleh jaga
anak kita dengan baik.”
“Abang yang akan rasa lega tapi bukan Moon. Moon tak mahu
suatu hari nanti isteri baru abang akan ungkit-ungkit harta ini semua. Tak
mustahil juga abang sendiri yang mengungkit. Moon tak nak termakan budi lagi.”
“Makan budi apa pula ni? Itu memang rumah Moon. Kalau tak
nak duduk kat situ pun, kita kena juga tukar nama. Settle masalah kita cepat-cepat. Tolonglah mudahkan urusan abang.
Jangan degil, boleh tak?” Jafni mula meninggikan suara. Geram dengan kedegilan Munirah.
“Berapa sangatlah gaji pembantu tadbir tu? Daripada menyewa, kan lebih elok
duduk sahaja kat rumah tu. Jangan nak menyombong pula!”
Munirah segera mencapai beg tangannya lalu meninggalkan Jafni
sendirian di restoran itu. Dia tidak menyangka Jafni akan meninggikan suara dan
menghina pekerjaannya! Dia kecewa! Jafni sudah jauh berubah. Dan bagi Jafni, ‘Munirah
ini bukan Munirah yang dulu lagi.’
Taman Puteri, Petra
Jaya (13 Mac 2013)
Munirah
merengkuh kesejukan. Sudah larut malam namun matanya tidak mahu lelap. Punggung
bayinya ditepuk-tepuk perlahan. Sejak tadi dia berpusing ke kiri, ke kanan.
Mencari posisi selesa untuk melayar mimpi. Di luar, hujan semakin lebat dengan
dentuman kilat.
Munirah
mengeluh keras. Bukan fizikalnya yang tidak selesa. Hati! Ada sebak yang
menggigit hati. Pertemuan dengan Jafni siang tadi membangkitkan naluri
kewanitaannya. Kedinginan dan kesunyian tanpa belaian kasih sayang daripada
suami.
“Sofia, ibu rindu ayah,” bisik Munirah di telinga si
kecil yang tidak mengerti. Tubuh Zarith Sofia ditarik ke dalam pelukan erat.
Rindunya yang sarat menuntaskan air mata syahdu. Selebat hujan yang terus
mencurah.
Hujan-hujan telah datang lagi
dingin-dingin menyiksa diri
bantal dan guling sebagai saksi
sudahlah dingin daku sendiri
kupanggil kau tak menyahut
akan menjerit tak sanggup lagi
aku pun menangis lagi
hujan membuka cerita lama
duduk sepayung kita berdua
bermesraan di tengah hujan
hujan yang kini daku sendiri
rindu makin menyengat
bantal dan guling makin kudekap
dan kupeluk erat
dingin-dingin menyiksa diri
bantal dan guling sebagai saksi
sudahlah dingin daku sendiri
kupanggil kau tak menyahut
akan menjerit tak sanggup lagi
aku pun menangis lagi
hujan membuka cerita lama
duduk sepayung kita berdua
bermesraan di tengah hujan
hujan yang kini daku sendiri
rindu makin menyengat
bantal dan guling makin kudekap
dan kupeluk erat
Teratak Sri Impian, Saratok (30 April 2008)
Jafni berlari menuju ke
arah rumah separuh simen, separuh kayu bercat hijau itu. Badannya sudah basah
lencun. Dia harus segera masuk ke rumah itu untuk berteduh. Selipar dijinjing
dengan tangan kanan. Sukar hendak berlari berselipar dalam hujan lebat begini.
“Jafni! Kamu dari mana dalam hujan lebat ni?” sergah Puan
Asmah di muka pintu. Tadi dia bangun apabila melihat kelibat seseorang
menghampiri rumahnya. “Cepat masuk. Demam kamu nanti,” arah Puan Asmah sambil
melebarkan bukaan pintu bagi memberi laluan kepada Jafni untuk masuk ke dalam
rumah.
Jafni melangkah terus ke
bilik mandi di bahagian dapur rumah keluarga Munirah itu. Dia sudah biasa.
Sudah selalu dia datang dan kadang-kadang tidur di rumah itu. Dia berkawan
rapat dengan anak sulung Encik Dahlan dan Puan Asmah, Farizan.
“Jafni!” laung Puan
Asmah sambil mengetuk pintu bilik mandi.
“Ya, Mak Wa,” sahut Jafni
dari dalam. Suaranya bergetar. Dia menggigil kesejukan. Di rumah kampung itu
tidak ada pemanas air. Terpaksa mandi dengan air sejuk di dalam tempayan.
“Kain tuala Mak Wa letak
di luar ni. Nanti kamu salin pakaian di bilik Farizan. Munirah dah siapkan baju
kamu,” pesan Puan Asmah sebelum berlalu ke meja makan. Dia mahu menyiapkan
hidangan untuk Jafni. Dia belum memasak untuk makan malam tetapi masih ada baki
makanan tengah hari tadi.
Suasana di luar sudah
gelap padahal jam baru menunjukkan pukul lima petang. Puan Asmah menghidupkan
lampu di ruang dapur itu.
“Lamanya kamu salin
pakaian,” tegur Puan Asmah.
“Terus solat asar tadi,”
jawab Jafni sopan. Puan Asmah tersenyum. Dalam hati, dia mengagumi ketaatan
anak muda itu melaksanakan tuntutan agama.
“Duduklah sini, Jafni.
Makan dulu,” ajak Puan Asmah sambil menarik sebuah kerusi lalu menggamit Jafni
untuk duduk di situ.
Jafni melabuhkan
punggungnya. Tanpa segan, dia terus membuka tudung saji untuk melihat lauk yang
disediakan Puan Asmah untuknya. Sempat juga dia melemparkan senyuman manis
kepada Munirah yang sedang menuangkan air teh ke dalam gelas.
“Sunyi sahaja rumah ini.
Pak Wa ke mana, Mak Wa?” soal Jafni sekadar berbasa-basi. Dia takut Puan Asmah
perasan matanya yang asyik mengarah ke wajah Munirah.
“Dia ke sawah.
Sepatutnya waktu begini sudah pulang. Agaknya sebab hujan lebat ni, dia
berteduh dulu,” terang Puan Asmah. “Kamu pula dari mana tadi?”
“Saya memancing kat
sungai belakang ni. Tiba-tiba pula hujan lebat.”
“Seorang diri?” sampuk
Munirah. Dia risaukan Jafni.
Jafni tersenyum
mendengar pertanyaan Munirah. ‘Ini petanda baik,’ bisik hatinya. “Kalau
ada Farizan dengan Azmeer, taklah abang memancing seorang.”
“Lama lagi abang
bercuti?” Munirah menyoal lagi. Dia semakin berani. Tadi dia berdiam diri
kerana sejak kedatangan Jafni tadi, jantungnya terasa berdegup lebih cepat
daripada biasa. Setelah rasa debaran itu lega, baru suaranya mahu keluar.
“Ahad ini abang balik
Kuching. Isnin start kerja semula,” Jafni
menjawab dengan gembira. Sepanjang seminggu meluangkan masa cutinya di kampung,
baru kini dia berpeluang berhadapan dengan Munirah secara dekat. Rindunya
terubat.
Seketika, ketiga-tiga
mereka terdiam. Munirah berlalu ke ruang tamu, Puan Asmah pula kembali
menyambung jahitannya. Jafni terus menjamu selera dengan masakan Puan Asmah
yang enak. Tambahan pula setelah kehujanan, perutnya terasa lapar. Selesai
makan, dia mencuci sendiri pinggannya.
“Mak Wa jahit baju
sekolah siapa ni? Takkanlah tengah-tengah tahun begini masih ada yang tempah
baju sekolah?” Jafni yang mendekati Puan Asmah menjahit, kehairanan. Sekarang
sudah hujung bulan April. Siapa yang mahu pakai pakaian seragam sekolah
menengah itu?
“Mak Wa jahitkan baju
untuk Munirah. Dia akan masuk tingkatan enam,” senyuman manis yang terukir di
bibir Puan Asmah mencerminkan bahagia hatinya.
“Dia sekolah lagi ke,
Mak Wa? Alahai…”
“Kamu kenapa? Biarlah
dia sekolah. Mak Wa mahu dia belajar tinggi-tinggi macam abang dan kakak dia,”
terang Puan Asmah lagi. Dia rasa pelik pula dengan respon Jafni apabila
diberitahu Munirah akan bersekolah lagi.
“Saya ingatkan lepas dia
habis tingkatan lima saya nak masuk meminang. Nak nikah terus. Terpaksalah
tunggu dia sambung tingkatan enam pula, ya?” Jafni meluahkan rasa kecewanya.
Bukan dia tidak pernah menerangkan rancangannya itu kepada Puan Asmah tetapi
nampaknya Puan Asmah ada rancangannya sendiri.
Puan Asmah malas mahu
menjawab. Persahabatan anaknya dengan Jafni memang dimaklumi sejak sekian lama.
Hatinya sahaja yang berat untuk melepaskan. Sebagai seorang ibu, nalurinya
merasakan Jafni bukan orang yang dapat menjaga serta membahagiakan anak
bongsunya itu.
“Mak Wa, saya nak ambil
joran saya dulu. Nanti hilang pula,” tukas Jafni setelah orang tua itu terdiam.
Dia malu sendiri. “Jom, Moon. Tolong payungkan abang. Abang ada bawa banyak
barang.”
Berduaan di bawah satu
payung menerbitkan satu perasaan indah di hati Munirah. Jiwa remajanya semakin
membenihkan rasa cinta. Hanya buat si dia - yang sedang tersenyum, yang sedang
merenung wajahnya.
“Moon.”
“Ya,” tanpa mengangkat
wajah, Munirah menyahut panggilan Jafni. Dia malu.
“Moon sudi kahwin dengan
abang, jadi isteri abang?” tanya Jafni bersungguh-sungguh. “Abang tahu, Moon
dah lama sukakan abang, kan?”
“Moon tak sepadan dengan
abang. Abang lelaki hebat. Abang kacak, baik. Semua orang sukakan abang. Dekat
sekolah ramai kawan Moon cerita pasal abang. Mereka suka dengar suara abang di
radio. Moon bukan siapa-siapa. Bahkan dalam pelajaran pun Moon tak terkejar
kecerdikan abang,” dengan gementar, Munirah menjawab. “Lagipun, Moon masih
muda. Mesti mak tak benarkan Moon kahwin.”
Jafni berhenti
melangkah. Spontan, kaki Munirah turut terpasak. Sesaat, Munirah tenggelam
dalam renungan Jafni yang menghantar isyarat hanya dia yang didambakan lelaki
itu. “Siapa kata Moon tak hebat? Ada banyak kelebihan Moon, tau,” Jafni
meyakinkan Munirah. “Moon, di sebalik setiap lelaki yang hebat, pasti ada
seorang wanita di sisinya. Dan abang harap Moon sudi menjadi sebahagian dari
hidup abang.”
Munirah tertunduk.
Hatinya yang polos sudah lama disapa rasa cinta terhadap Jafni. Melihat Munirah
tertunduk begitu, Jafni semakin berani menyuarakan isi hati, “Macam sekarang
ni. Abang kuat. Abang mampu membawa payung ini dengan sebelah tangan sahaja.
Tetapi abang tetap perlukan Moon untuk payungkan abang sebab tangan abang tak
cukup, dah penuh dengan barang-barang lain. Moon faham maksud abang?”
Munirah mengangguk.
“Moon, janji dengan
abang, Moon akan tunggu abang. Lepas Moon habis sekolah nanti abang akan pinang
Moon. Abang janji abang akan bahagiakan Moon. Moon jangan menolak ya, sayang,”
Jafni bersungguh-sungguh meminta Munirah berjanji padanya. Dia risau Munirah
akan terpikat kepada lelaki lain.
“Abang, Moon janji, Moon
akan tunggu abang. Hanya abang di hati Moon. Terima kasih sebab sayangkan
Moon,” demi rasa cinta terhadap Jafni, terluah jua ikrarnya. “Moon cintakan
abang.”
“Jafni cintakan Munirah
selamanya!”
Hujan yang semakin
melebat menjadi saksi janji yang dilafaz. Munirah terawang-awang dek bisikan
kata cinta yang diluahkan jejaka pujaannya.
No comments:
Post a Comment