Wednesday, 23 October 2013

INDAHNYA HIDAYAH

Encik Mujahid
0138******
Salam.blh x kita borak slain dr hal kerja/loan?
            Erk? Sambil memegang Samsung S2 dengan tangan kanan, aku menjeling jam di pergelangan tangan kiriku. 12.48.
Wsalam. Lunch hour, perhaps?
            Balasku.
Encik Mujahid
0138******
Okey
            Entah apa-apalah Encik Mujahid ni. Aku benar-benar terkejut menerima SMSnya. Kenapa? Kerana dia merupakan seorang Pegawai Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah, Kuching. Dengan gaya seorang ustaz yang agak konservatif, sesiapa pun akan menganggap dia seorang yang sukar didekati lebih-lebih lagi oleh seorang wanita. Sekilas pandang, aku tahu dia seorang yang menjaga batas-batas ikhtilat. Yang menundukkan pandangan terhadap ajnabi waima ketika berurusan rasmi.
            Perkenalan aku dengan Encik Mujahid bermula… oh, maaf. Aku tidak berkenalan dengannya. Dia datang ke pejabatku untuk mengemukan permohonan pinjaman peribadi. Kebetulan (atau takdir), aku satu-satunya pegawai yang ada di bahagian pinjaman ketika itu. Mungkin disebabkan keadaan memaksa, dia berhadapan denganku untuk membuat pinjaman.
Encik Mujahid
0138******
Cik Hasni asal mana?
            Sekarang sudah pukul satu. Lunch hour. Sebagaimana yang dijanjikan, dia menghantar mesej. Kehadiran mesej Encik Mujahid menyingkirkan lamunanku.
Td kata xmau borak psl kerja. So, just call me Has. Sy asal Bario.
Oh, org ulu…mualaf?
Kami bangsa kelabit. Tapi bkn mualaf. My parents yg convert. Sy lahir as a muslim.
            Bermula dari SMS yang biasa begitu, saban hari aku menerima SMS daripada Encik Mujahid. Pembetulan, Mujahid saja kerana kini aku tidak lagi berencik-encik dengannya. First impression aku terhadapnya masih tidak berubah. Dia masih seorang yang menjaga hubungan dengan ajnabi pada pandanganku.
           
Apa perasaan anda apabila anda dilahirkan dalam keluarga bukan Islam dan kemudiannya anda kembali kepada Islam, tetapi keluarga anda seperti emak, ayah dan adik beradik lain masih belum Islam? Anda insyaAllah akhirnya akan masuk ke dalam syurga, tetapi mereka?

**********************************
Kita yang dilahirkan dalam keluarga Islam, mungkin tidak dapat merasai perasaan mereka ini. Segelintir kita mungkin hanya tahu melaung-laungkan kepentingan dan kewajiban berdakwah, memetik daripada ayat Quran dan hadis tetapi tidak melakukannya.

Hanya berkata-kata melalui mimbar masjid ataupun pentas ceramah, tetapi tidak cuba untuk turun padang bercampur dengan masyarakat non-muslim. Membiarkan jiran, rakan-rakan ataupun masyarakat sekeliling yang masih belum Islam begitu sahaja tanpa ada rasa inisiatif ataupun sensitif untuk menyampaikan mesej Islam kepada mereka walaupun SATU AYAT.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!" (as-saff 61:2)

Kita percaya bahawa kebenaran itu ada pada Islam tetapi kita tidak cuba untuk kongsikan dan sampaikan kepada mereka yang kita percaya berada dalam kebatilan. Mungkin ada yang akan berkata bahawa masyarakat Islam sendiri masih ramai yang tidak betul, lebih utama kita dahulukan mereka ini dahulu.

"Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".(al Baqarah 2:111)

Di zaman nabi saw, ada tak masyarakat Islam? Ada. Masyarakat bukan Islam. Ada. Adakah pada ketika itu nabi berhenti berdakwah kepada non-muslim dan hanya menumpukan kepada pengislahan masyarakat Islam sahaja?

Mengajak orang bukan Islam kepada Islam dan memperbaiki Muslim itu sendiri perlu dilakukan seiring tanpa melebihkan yang satu ke atas yang lain.

Apa-apa pun alasan yang sedang terpacul dalam fikiran kita sekarang ini, marilah sama-sama kita muhasabah firman Allah s.w.t dalam surah al-munafiqun 63:9 dan as-saff 61:10-11 :

"Wahai orang-orang yang beriman janganlah harta-harta dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada memperingati Allah. Barangsiapa berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi."

“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan BERJIHAD DI JALAN ALLAH DENGAN HARTA DAN JIWAMU. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”

Wallahualam. 
            Artikel itu aku terima melalui emel autoresponder daripada Mujahid. Setelah mengenalinya dengan sisi lain selain sebagai seorang Pegawai Syariah yang tegas dan berkarisma, dia juga merupakan seorang lelaki yang sangat mengambil berat tentang kemaslahatan ummah. Aku tahu mengenai aktiviti dakwahnya setiap hujung minggu di Islamic Information Centre. Aku juga dipelawa untuk menjadi peserta beberapa minggu yang lepas. Semenjak itu aku menjadi subscrider artikel dakwahnya di blog yang dia bina bersama teman-teman da’ie yang lain.
            Hatiku menjadi lain macam. Aku sedar aku sudah jatuh cinta. Tapi aku juga sedar betapa jauhnya perbezaan kami. Kurenung tudung awning yang kupakai setiap hari. Tudung ini sekadar syarat bertudung. Asal bertudung, jadilah. Ia tidak menjadi pendinding untukku mengelakkan diri dari melakukan perkara keji. Itu baru soal berpakaian.
            Bagaimana soal solat yang kulakukan sekadar untuk melakukan rutin sebagai muslim? Aku solat macam ayam yang mematuk makanan. Laju; tertunggak-tunggang, terpatuk-patuk macam burung belatuk. Aku perlu berubah!
            “Jangan berubah sebab lelaki. Nanti kau akan kembali macam ni balik. Berubahlah sebab kau dapat hidayah. Sebab ALLAH,” komen Jasmin, kakakku.
            Aku minta pendapatnya ketika aku sedang diburu rasa bersalah melihat koleksi pakaianku. Semuanya tidak menepati seratus peratus kehendak syariah. Ada baju lengan panjang, tapi labuhnya cuma di paras pinggang. Blaus labuhku pula mengikut bentuk tubuh. Tudung-tudungku semuanya jenis yang senteng dan nipis. Aku mahu tukar penampilan.
            “Tapi takkan nak tunggu datang hidayah baru nak berubah. Tak salah kan kalau berubah sebab lelaki? Mana tahu nanti kita akan ikhlas?” bidasku. “Mungkin ALLAH hantarkan dia untuk aku, supaya aku boleh berubah ke arah yang lebih baik?”
            “Kau terlampau banyak baca novel lah, Has. Kau ingat Mujahid tu Fahri? Iqbal Maulana? Hilman Yong? Firman Ebrahim? Look deeper, Has. Our religion is not only about being a zaujah to a religious man, and we call it cinta islamik. Aku tak salahkan usaha kau untuk menjadi a better muslimah, tapi kaji niat kau sebelum kau ambil langkah ini. Aku sentiasa doakan yang terbaik untuk kau.”
            Jasmin menepuk bahuku. Aku faham apa yang ingin dia sampaikan tapi hatiku teringin sekali nak berubah. Ada suatu rasa yang pelik yang aku rasai setiap kali terlihat wanita bertudung labuh. Suatu rasa yang asing, yang sukar untuk kuluahkan dengan kata-kata.
            “Thanks, Min. Tapi aku benar-benar ingin bertudung labuh. Aku rasa selamat.”
“Kalau kau setakat tukar penampilan tapi ibadah lain kau hancur, sama aje. Alah, kau dah elok-elok pakai tudung ni pun Alhamdulillah. Banyak lagi perempuan kat luar sana tu yang tak tutup aurat. Kau ingat dia orang tak solat ke? Labuh ke tidak tudung kau tu bukan jaminan kau masuk syurga,” tukas Jasmin lagi. Tidak mahu mengalah.
What if kalau aku kata, perempuan baik untuk lelaki yang baik. Mungkin dengan cara ini aku akan peroleh seorang lelaki yang baik, yang dapat membimbing aku. Kau tak setuju?”
“Agaknya kau tersalah tafsir ayat ini. Surah an-Nur; ayat 26; Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: (Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang- orang (yang jahat) mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. Has, belajar dulu tentang Islam. Lepas tu kau sendiri yang akan faham apa yang aku maksudkan. Ya, pakai tudung labuh itu memang bagus tapi jangan sampai orang-orang bukan Islam, bukan semua tapi yang memang tak menyukai agama kita akan menyerang dengan bermodalkan isu yang sama; mana akhlak kita sebagai muslim? Berpakaian ‘arab’ tapi akhlak pun lebih teruk dari non-muslim.
Aku ditinggalkan termangu sendiri. Sukar untuk aku fahami apa yang Jasmin maksudkan. Tudung yang berada dalam genggaman, terus aku lontarkan. Aku ingin menjerit sekuat hati tapi atas alasan apa? Jiwaku terasa sarat dengan emosi yang aku tidak tahu. Mengapa aku perlu menghadapi tekanan-tekanan begini? Lalu, tanpa niat selain dari mahu mendapatkan penjelasan, aku menghantar pertanyaan melalui emel kepada Mujahid.
Saya rasa saya fhm maksud kkk awak tu, Has. Dia mahu awak berubah. Dia suka kalau awak berubah. Tp mgkin dia x mahu perubahan penampilan yang mjadi langkah pertama awak. Maksud saya, ada byk lg yg perlu awak ubah. Cthnya; bersediakah awak utk x berdua-duaan dgn lelaki, bersediakah awak utk x memandang mata lelaki, bersediakah awak utk x bersosial dgn lelaki di alam maya, bersediakah awak utk menghindarkan diri dr segala perkara mungkar yg masyarakat kita anggap perkara biasa? Nasihat saya, mulakan langkah awak dgn mengubah cara hidup. Mulakan dgn mengubah persepsi; biasakan yg betul, betulkan yg biasa. Moga awak perolehi hidayah yg awak cari itu. Aminnn…
     Kuterima balasan emel daripada Mujahid. Kekeliruanku terhadap bicara Jasmin telah kujelaskan kepadanya. Ternyata dia mampu memberikan penjelasan yang lebih mudah untuk kufahami.
Jadi, apa yg perlu saya buat?
     Aku balas emelnya dengan suatu pertanyaan.
Malu. malu itu pakaian yg paling utama.
     Aku terangguk-angguk di hadapan laptop. Mula memahami maksud yang ingin dia sampaikan.
Tapi…tugas saya memerlukan saya berurusan dgn lelaki. Lalu bagaimana saya harus bataskan?
     Mujahid membalas lagi:
1.    Elakkan berurusan dengan lelaki. Kalau ada peluang untuk minta tolong dengan perempuan, mintalah tolong dari perempuan. Disebabkan limitation kemampuan perempuan seperti repair kereta, repair laptop dan lain-lain, maka terpaksalah minta tolong dari orang lelaki.
2.   Kalau terpaksa contact orang lelaki, gunakanlah medium perantaraan dalam bentuk tulisan, seperti SMS, email, atau nota kecil.
Gunakan perkataan-perkataan formal, bukan bahasa pasar. Contoh: Maaf, (bukan sorrie..), Terima kasih (bukan time kaceh).
Lagi satu takyah la buat smiley face ke (^_^), gelak2 ke (hihihih), dan lain-lain yang kurang berfaedah.  Elakkan bercakap melalui telefon kalau belum desperate. Ini kerana suara wanita amat lunak dan boleh menggetarkan jiwa lelaki.
Sampai Allah pun kena sound kat orang perempuan supaya keraskan suara. Rujuk qur’an surah Al-Ahzab ayat 32:
 “Wahai isteri-isteri nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah lemah lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik.
Kalau rasa ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri nabi sahaja, lembut-lembutkanlah suaramu dan lihatlah kesannya.
Apabila arahan ini diberi kepada isteri-isteri nabi, sepatutnya kamu juga menyahut seruan itu untuk mencapai darjat yang sama seperti mereka, darjat wanita-wanita yang bertaqwa dan darjat wanita-wanita yang terpilih. Best bukan?
3. Tundukkan hati: Apabila terpaksa berurusan dengan lelaki, kamu sepatutnya merasa bulu roma kamu meremang, kerana takut pada Allah. Kamu sangat takut sekiranya disebabkan kamu, lelaki tertarik kepada kamu.
Waktu berdepan dengan mereka, banyak-banyaklah berdoa, “Ya Allah, janganlah Kau buatkan lelaki ini tertarik kepadaku. Jauhkan pandangannya dari panahan syaitan.”
4. Tundukkan pandangan. Jangan tertipu dengan matapelajaran communication skills yang kita belajar kat universiti dulu; “make eye contact with the person you’re talking to”.
Benda tu applicable kalau kita becakap dengan orang yang sama jantina sahaja.  Kalau ada eye contact dengan orang yang berlainan jantina, kita akan mendapati theory “dari mata turun ke hati” tu betul.
So, be careful dengan pandangan mata. Para sahabat dulu pun, Allah perintahkan supaya tahan pandangan apabila mereka berurusan dengan isteri-isteri nabi.
Cuba rujuk surah al-ahzab ayat 53; “….Apabila kamu meminta sesuatu dari isteri-isteri nabi, mintalah dari belakang tabir. Itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka..”
Kamu bukan disuruh membawa tabir ke mana-mana kamu pergi. kalau susah sangat nak jaga mata, tutuplah pandangan dengan buku ke, ngan file ke. Kita lihat betapa Allah sangat ambil berat masalah hati para sahabat dan isteri-isteri nabi supaya mereka tak tewas ke dalam kemungkaran. Kalau kamu pun nak jadi sehebat diorang, kenalah buat apa yang diorang buat.
Takkan nak tunggu Allah sebut nama kita dalam Qur’an baru nak buat kot. Contoh: “Wahai Cik Hasni.. taatilah suamimu…” Isk2. tak layak nya…
5. Cepatkan urusan. Ni mungkin applicable kepada students atau orang yang dah kerja yang terpaksa berurusan dengan team mate lelaki. Dah tak boleh elak, dia je team mate kamu.
So, apa-apa kerja yang nak dibuat bersama, buat je la keje tu. Takyah nak borak-borak, tanya hal peribadilah, gelak-gelaklah, buat lawaklah.. tak perlu  dan tak perlu.
Siapkan kerja cepat-cepat, then pergi. Perbincangan buatlah di tempat yang proper dan berurusanlah secara professional.
Semoga bermanfaat dan semoga kamu dikenali sebagai wanita mu’minah yang ada identiti, yang taat pada perintah Allah dan takutkan hari pembalasan.
Jaga diri, hiasi peribadi.

Kumulakan hariku di pejabat dengan satu tekad. Aku akan mengubah caraku berurusan dengan lelaki. Aku akan bataskan perbualanku dengan rakan sekerja lelaki. Aku tidak akan lagi menerima pelawaan mereka untuk keluar makan bersama. Ya ALLAH, restuilah perjuanganku!
            “Macam ini ke pegawai bank berurusan dengan pelanggan?”
            “Maksud encik?” soalku semula tanpa memandang wajahnya.
            “Dari tadi cik asyik menunduk. Saya bercakap pun cik tak pandang muka saya. Kenapa? Ada yang pelik pada muka saya?” Kali ini dia bertanya dengan nada suara yang meninggi.
            “Maaf, encik. Saya tak ada niat begitu. Saya hanya mahu menundukkan pandangan. Maklumlah, kan orang kata, dari mata turun ke hati,” jawabku separa bergurau. Nada suaraku mendatar saja. Kalau dulu, aku melayan pelanggan lelaki dengan mesra. Suaraku memang sengaja aku lunakkan. Tapi kini…
            “Perasan!” Dia menyergah. Aku terkejut mendengar suaranya. “Awak ingat awak cantik sangat ke sampai saya nak jatuh hati pada awak. Cermin diri tu sikit!”
            “Encik dah salah faham pada saya. Maafkan saya, tapi saya tak boleh nak bertentang mata dengan encik. Agama kita melarang,” terangku dengan terketar-ketar. Aku takut dengan kemarahannya.
            Sudah seminggu. Aku masih mencuba untuk membataskan diri dalam pergaulan dengan lelaki dengan penuh cabaran. Tetapi sehelai memo daripada pengurus bank yang aku terima sebentar tadi menyebabkan jantungku berdegup kencang. Aku rasa aku tahu kenapa aku diminta untuk menemuinya.
            “Cik Hasni, sudah banyak kali kami menerima laporan yang awak melayan pelanggan dengan sambil lewa. Awak tidak memberi perhatian dengan apa yang mereka tanyakan pada awak. Betul ke?” Encik Isa bertanya dengan lembut, penuh diplomatik.
            “Saya bukan tak memberi perhatian, encik. Saya cuma tak memandang muka mereka. Lagipun bukan semua. Kalau pelanggan wanita, saya layan macam biasa,” jelasku.
            “Sebagai seorang yang profesional, awak sepatutnya tahu apa yang perlu awak lakukan. Awak bukan baru sehari dua dalam bidang ini. Saya tak rasa memandang wajah lelaki itu satu halangan untuk awak. Jangan pilih kasih dalam melayan prospek. Mereka pembawa rezeki untuk kita. Kita bergantung kepada pelanggan untuk dapat rezeki setiap bulan. Takkan itu pun awak tak faham?”
            Astaghfirullah al’azim… Aku beristighfar dalam hati. Rezeki kita di tangan ALLAH, Encik Isa…
            “Saya beri awak dua pilihan. Ubah perangai awak atau notis sebulan atas meja saya. Awak boleh keluar sekarang,” tegas Encik Isa sekali lagi.
            Aku keluar dengan langkah yang lemah. Dalam dunia ini, siapa lagi yang boleh faham apa yang sedang aku lakukan? Siapa lagi yang boleh memberi sokongan untuk aku teruskan apa yang aku yakini ini? Kalaulah emak dan ayah aku masih hidup, tentu mereka akan menyokong aku. Tentu mereka bangga denganku. Tiba-tiba aku diserang rasa menyesal. Mengapa tidak semasa hayat mereka, aku menjadi muslimah sejati? Mengapa aku hanya menjadi muslim kerana mereka berdua memilih agama ini? Bayangkan kalau mereka masih mengekalkan kepercayaan animisme mereka? Apa akan jadi padaku? Adakah aku akan mendapat hidayah untuk memeluk Islam?
Ya ALLAH, sesungguhnya air mataku yang mengalir hari ini merupakan air mata yang paling tulus pernah aku titiskan…
Saat aku terduduk lesu di atas kerusi di meja kerjaku, aku tersentak dengan bunyi chorus lagu Ombak Rindu yang aku gunakan untuk notification Samsungku. Ada mesej WattsAp dari Jasmin. Aku perlu tukar nada dering ini nanti.
Jasmin
Dik, ko try buka website ni. Cantik2 je tudung yg dorg jual. Aku pun teringin nak beli tadi. Pasti kau akan tertarik! tudungnur.com
Hasni
Thanks, sis. ko call aku jap. I need a shoulder…
          Tak sampai lima minit, panggilan daripada Jasmin terus masuk ke telefon bimbitku. Dengan sebak, aku ceritakan kepadanya apa yang telah terjadi.
            “Itu baru sikit, sayang. Kau pernah baca kisah-kisah wanita di zaman permulaan Islam, kan? Kisah Sumayyah, wanita pertama yang syahid. Asiah, isteri Firaun lagi teruk. Bayangkan dia harus pertahankan imannya sedangkan suaminya sendiri seorang yang menentang ALLAH terang-terangan. Has, be strong. Ini jalan yang kau pilih, Kau harus perjuangkan. Soal berhenti kerja itu, pendapat aku, kalau pengurusan itu tidak benarkan kau terus dengan prinsip kau, ada baiknya kau berhenti kerja. Kau sendiri yang kata rezeki itu di tangan ALLAH, kan?”
            Nasihat yang Jasmin berikan itu aku pahatkan dalam hati.
            “Min, aku fikir, aku akan terus bekerja. Aku akan hadapi selagi aku mampu.”
            “That’s my girl!
            Setelah melanggan tudung labuh melaui laman sesawang yang Jasmin berikan, aku memilih hari Jummat untuk mula mengenakan tudung ini. Terpaku aku di hadapan cermin, melihat imej yang kekaburan kerana mataku yang digenangi mutiara jernih. Aku kerdipkan mata lalu air jernih itu mengalir ke pipi. Tanganku sejuk, lututku menggeletar. Tudung ini bukan hanya sehelai kain biasa. Ia membawa erti, membawa semangat dan membawa jiwa seorang mukminah ke dalam diriku.
            Subhanallah…indahnya hidayah-Mu… Kumeraupkan wajah, mencari keberanian untuk melangkah. Aku akan buktikan yang aku berubah bukan kerana lelaki, bukan kerana cinta kepada insan…tetapi sejujurnya lahir dari kecintaanku kepada Ilahi…syukurlah, aku masih diberi kesempatan untuk mencari redha-Nya.
            Setelah kembali dari bercuti untuk menyambut Hari Raya Aidiladha, aku kembali ke pejabat. Dan ternyata, setelah hampir sebulan aku mengekalkan tudung labuh sebagai pakaian harianku, hidup aku terasa lebih tenang. Melainkan ada masanya aku disindir dan ditanya dengan soalan-soalan yang boleh menyebabkan aku mengamuk. Tapi kini aku perlu lebih tenang dan sabar. Sabar itu sendiri merupakan sebahagian daripada iman, mana boleh aku tidak bersabar sedangkan begitu besar tudung yang aku kenakan ketika ini.
            Namun ketenangan itu ternyata tidak berpanjangan. Aku seolah-olah kehilangan diri. Aku terlalu memaksa diri untuk mengawal segala tingkah lakuku. Telah kusampaikan keresahanku kepada ALLAH dalam doaku, tapi belum jua kuperolehi sakinah yang kucari.

ALLAH sedang menguji Hasni. Ingat dulu masa kita bersekolah, setelah mengahadapi peperiksaan percubaan, ada pula ujian bulanan dan pelbagai lagi ujian termasuk kuiz dan surprise test. Sebagai penilaian sebelum kita menghadapi ujian yang lebih sukar. Aplikasikan pengalaman itu dalam kehidupan.
Berkenaan ketenangan yang Hasni cari itu, saya mahu bertanya beberapa soalan yang harus Hasni jawab. Tapi jangan beri jawapannya pada saya. Jawablah pada diri sendiri…
1.  Adakah solat awak sudah sempurna khusyuknya, ruku’nya dan sujudnya? Atau sekurang-kurangnya, adakah awak menunaikan solat di awal waktu?
2. Adakah awak topup kekurangan solat lima waktu awak dengan menunaikan solat-solat sunat?
3. Adakah telinga awak dilazimi dengan zikir dan bacaan Al-Quran atau dilazimi dengan lagu-lagu duniawi?
4. Berapa kekerapan awak membaca Al-Quran dalam sehari? Adakah selepas setiap solat fardhu awak ada membaca walau sebaris ayat?
5. Adakah awak mempraktikkan puasa sunat Isnin dan Khamis?
6. Adakah awak membiasakan diri dengan amalan bersedekah?
7.  Ingatkah awak kepada ibu bapa awak setiap kali awak berdoa?
Tunaikan hak ALLAH…insyaALLAH, ketenangan itu akan menjadi milik awak. Saya cuma mampu menjadi penasihat. Kalau awak mahukan seorang guru, saya cadangkan awak menyertai usrah setiap Jumaat di IIC yang diterajui oleh isteri saya. Jangan risau, tiada sebarang bayaran dikenakan.
  
Isteri? Aku tidak pernah tahu Mujahid sudah beristeri. Kugigit bibir demi menahan kesedihan. Belum sempat mekar, cintaku sudah kelayuan. Tapi apa boleh buat, aku sedang diuji, kan? Aku yakin ALLAH menguji setakat yang aku mampu. Dan demi ALLAH, aku akan menerima kenyataan ini dengan redha.
Hari Jumaat. Aku berada di sini. Di IIC, menghadiri usrah bersama Ustazah Ibtisam, isteri Mujahid. Dia seorang yang cantik, wajahnya manis berhias senyuman mesra. Pakaian Ustazah Ibtisam ringkas, jubah dan tudung labuh yang berwarna coklat gelap. Agaknya kalau dia menggunakan warna pink, pasti dia akan kelihatan lebih menarik. Tapi aku tahu, dia sengaja menggunakan warna gelap itu untuk tidak menerik perhatian lelaki.
“Ada soalan?” Sambil bertanya, Ustazah Ibtisam meliarkan mata ke sekeliling dewan. Matanya menangkap pandanganku. Perlahan-lahan aku mengangkat tangan.
“Assalamualaikum. Saya Hasni. Saya ada persoalan berkaitan dengan perkahwinan.”
“Waalaikumussalam. Ya, silakan, Cik Hasni.”
Aku berdehem, membetulkan suara sekali gus membetulkan rentak degupan jantung yang sudah lari ritmanya. Suara Ustazah Ibtisam yang lembut, menyedarkan aku betapa jauh jurang antara kami. Aku tidak layak untuk bersaing dengannya.
“Ibu bapa saya sudah meninggal dunia. Saya tidak mempunyai adik-beradik lelaki dan adik-beradik ayah saya pula tiada seorang pun yang beragama Islam. Jadi, siapa yang patut menjadi wali bagi menikahkan saya?”
“Terima kasih atas soalan. Sebelum itu, izinkan saya menerangkan maksud ‘wali’ dalam konteks perkahwinan. Antara rukun nikah adalah wali. Namun demikian, ada kalanya, pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan boleh menggunakan wali hakim. Adalah wajar jika kita merujuk kepada pengertian wali secara umum dan pembahagiannya. Kemudian kita ikuti dengan penjelasan tentang wali hakim: definisi, kedudukan dan sebab-sebab yang membolehkannya berperanan di dalam sesuatu perkahwinan.

Wali dalam urusan perkahwinan ialah seorang yang memiliki kuasa mengahwinkan seseorang anak perempuan sama ada dia adalah penjaganya ataupun bukan.

Kewujudan wali adalah penting bagi mengesahkan sesuatu perkahwinan. Wali di dalam Mazhab Shafi`I  merupakan salah satu rukun perkahwinan. Tanpa wali atau keizinannya kepada wakilnya, sesuatu perkahwinan itu dihukum tidak sah. Hukum ini adalah merujuk kepada sebuah Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Siapa sahaja perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya, maka perkahwinannya itu batal (tidak sah), jika dia disetubuhi (oleh lelaki yang mengahwininya itu) maka dia berhak mendapat mas kahwin kerana dia (iaitu lelaki itu) telah menghalalkan kemaluannya dan jika mereka (iaitu para wali) berbalah, maka sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali (riwayat al-Darimi, al-Hakim, al-Baihaqi dan Abu Daud al-Tayalisi).

Berdasarkan kepada Hadis di atas, ulama' membahagikan wali kepada dua peringkat; iaitu wali nasab dan wali hakim atau disebut juga sebagai wali sultan.
Wali nasab ialah orang yang mempunyai pertalian keturunan dengan seseorang perempuan yang bakal berkahwin, seperti bapanya, datuknya dan lain-lain.

Wali hakim ialah Ketua Negara Islam atau wakilnya seperti Kadi Besar, Kadi-kadi Daerah atau mereka yang mendapat tauliah daripada Pejabat-pejabat Kadi Daerah, biasanya mereka ini terdiri daripada imam masjid, bilalnya atau seorang alim kampung.

Wali hakim bertindak sebagai wali kepada pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali. Menurut Seksyen 2(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, wali hakim bererti wali yang ditauliahkan oleh Yang diPertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain, untuk mengahwinankan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab. Terdapat beberapa situasi di mana wali hakim boleh digunakan.

Pertama: Tidak ada wali nasab
Bagi pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali nasab seperti mereka yang baru memeluk islam dan tiada saudara maranya yang memeluk Islam, atau perempuan yang tidak mempunyai wali langsung, maka wali hakim yang akan menjadi wali dalam perkahwinannnya, Rasullah saw bersabda :Sultanlah menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali. ( Riwayat al Khamsak).

Kedua : Anak tidak sah taraf atau anak angkat
Anak tidak sah taraf atau anak yang lahir sebelum adanya perkahwinan yang sah. Sekiranya anak yang tidak sah taraf itu perempuan dan semasa dia berkahwin maka walinya ialah wali hakim. Begitu juga dengan anak angkat. Jika anak angkat itu berasal daripada anak tidak sah taraf maka walinya adalah wali hakim kerana anak itu dianggap tidak mempunyai wali nasab.

Ketiga : Wali yang ada tidak cukup syarat
Sekiranya wali aqrab tidak mempunyai cukup syarat untuk menjadi wali maka bidang kuasa wali itu berpindah kepada wali ab’ad mengikut tertib wali. Syarat-syarat sah menjadi wali ialah, Islam, baligh, berakal (orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali), lelaki, adil dan merdeka. Sekiranya satu-satunya wali yang ada tidak cukup syarat dan tidak ada lagi wali yang lain, maka bidang kuasa wali itu berpindah kepada wali hakim.

Keempat : Wali aqrab menunaikan haji atau umrah
Jika wali aqrab menunaikan haji atau umrah maka hak walinya terlucut dan hak wali itu juga tidak berpindah kepada wali ab’ad, tetapi hak wali itu berpindah kepada wali hakim. Ini adalah terkandung dalam kitab Minhaj Talibin dalam bab Nikah. Sekiranya wali aqrab itu membuat wakalah wali sebelum membuat haji atau umrah atau semasa ihram maka wakalah wali itu tidak sah. Rasullullah saw bersabda: Orang yang ihram haji atau umrah tidak boleh mengahwinkan orang dan juga tidak boleh berkahwin. (Riwayat Muslim).

Kelima : Wali enggan
Mengikut pendapat para Fuqaha bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak. Perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan wanita tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu.

Menurut Jumhur Fuqaha (Shafi’e,  Maliki dan Hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakimlah yang menikahkannya. Rasullullah s.a.w. bersabda: Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali (Riwayat Abu Daud dan At-Tamizi).
Diharap, dengan penjelasan saya, Cik Hasni dan semua yang ada di dalam dewan hari ini, memahami pengertian wali.”
Aku duduk sendirian menikmati makan tengah hari yang disediakan selepas aktiviti usrah sebentar tadi. Tiada seorang pun dalam kalangan ahli usrah yang aku kenali kerana ini pertama kali aku mengikuti program ini. Sebelum ini aku hanya pernah mengikuti ceramah Mujahid pada hujung minggu. Itu pun cuma dua kali. Tapi rakan-rakan usrah semuanya ramah. Aku saja yang rasa awkward.
“Hasni…”
Aku menoleh. Di sebelahku, yang sedang tersenyum manis itu, seorang wanita yang kucemburui, Ustazah Ibtisam. Kubalas senyumannya.
“Ya, ada apa ustazah?”
“Panggil akak, bukan ustazah. Nanti lepas Hasni makan, akak nak jumpa Hasni sekejap. Akak tunggu di taman tu,” pesan Ustazah Ibtisam sambil menunjuk ke arah taman di sudut auditorium IIC.
Selesai makan, perlahan-lahan aku menghampirinya. Pelbagai persoalan bermain di kepalaku. Adakah dia tahu aku selalu berbalas emel dengan suaminya?adakah dia syak aku mempunyai hubungan sulit dengan Mujahid? Jantungku tiba-tiba berdegup lebih kencang daripada biasa.
“Meh, duduk sebelah akak.” Dia menggamitku untuk duduk di bangku panjang itu. Bersebelahan dengannya namun ada ruang yang memisahkan kami.
“Hasni pertama kali join usrah ni?”
Aku mengangguk.
“Kenapa ni? Tak selesa bercakap dengan akak atau Hasni nak cepat? Ada kerja, ya?” soalnya lagi.
“Eh, taklah kak. Has memang ambil cuti hari ni. Bukan tak selesa cuma segan. Ini kali pertama kita berbual, kan?” Aku sedaya upaya menenangkan perasaan sendiri.
Tanganku yang sejuk ditarik oleh Ustazah Ibtisam. Digenggamnya dengan erat. “Tadi tanya pasal wali, Has dah nak kahwin ke?”
“Belum. Calon pun tak ada. Cuma tanya untuk kepastian. Terima kasih sebab terangkan dengan jelas.”
Aku nampak dia menarik nafas panjang. Matanya memandang jauh ke hadapan namun tangannya masih mengelus jari-jemariku dengan mesra. Kak Ibtisam, katakanlah apa saja… Has sedia menerima…
“Sebenarnya akak baru balik dari tanah suci. Akak antara Jemaah yang paling awal kembali. Isnin lepas dah sampai sini. Has tak kisah kan kalau akak ceritakan pengalaman akak di sana?”
Sekali lagi aku mengangguk. Dia mula bercerita dan aku mendengar dengan khusyuk. Hatiku dilanda rindu yang menggila untuk sampai ke sana juga. Semoga ALLAH mendengar permintaanku ini!
“Tapi, ada sesuatu yang buat akak pelik…”
Aku panggung wajah. Merenung wajahnya.
“Di sana, akak selalu tersadung. Tersepak batulah, tersekat di batang pokoklah, termasuk dalam lubang kecil… macam-macam. Ada satu hari tu sampai ibu jari akak berdarah sebab tersepak batu. Hampir setiap hari ada saja yang akak langgar. Akak rasa mesti ada yang tak kena sebab orang kata bila kita ada di tanah suci semua perkara yang berlaku pada kita relate dengan kehidupan kita. Jadi akak fikir mungkin ALLAH nak sedarkan akak tentang dosa-dosa akak.”
Jeda. Dia memandang tepat ke mataku.
“Bila akak balik sini, akak ceritakan pada Abang Mujahid kamu…”
Matanya basah. Tangannya yang mengelus jariku jadi kaku. Cuma genggaman itu tidak dilepaskan.
“Abang Mujahid mengaku, dia terlanjur berhubungan dengan Has. Dia tak sedar apa yang dia buat itu salah. Dia kata dia ikut kata hati. Dia terpikat pada Has pada hari dia mengenali Has. Dia kata mungkin setiap kali dia menghubungi Has sama ada dengan SMS atau emel, setiap kali itulah akak akan tersadung di sana. Has, Abang Mujahid cintakan Has. Kalau akak meminang Has untuk Abang Mujahid, sudikah Has menerima dia?”
Aku menangis. Sungguh-sungguh aku menangis. Sampai terhinggut-hinggut bahuku menahan esakan. Subhanallah… aku ditarik ke dalam pelukan. Seketika aku melayan tangisanku. Aku sendiri tidak pasti makna tangisan ini. Sedih, terharu atau bersyukur?
“Has, janganlah menangis begini. Akak rela, Has. Akak tak marahkan Has.”
“Tapi Has malu. Has dah kacau suami akak.”
“Siapa kata Has kacau suami akak? Tidaklah…jangan fikir begitu,” pujuk Ustazah Ibtisam lagi.
Aku tak tahu… betul-betul bingung. Sebulan yang lalu aku rasa aku telah jatuh cinta tapi kini di saat isteri Mujahid sendiri merisik, aku menjadi keliru.
“Nak terima ke tidak?”
“Has perlu bertanya kepada yang lebih berhak ke atas diri Has dulu, kak,” jawabku setelah tangisanku reda.
“Siapa? Tadi Has kata tak ada wali?” Dia bertanya kehairanan.
“Has perlu bertanya kepada ALLAH. Dialah yang lebih berhak untuk menentukan dengan siapa Has berjodoh. Terima kasih kerana tak membenci Has…”
“Itulah yang seeloknya,” sahut Ustazah Ibtisam lalu sekali lagi aku dibawa ke dalam pelukan.

Rujukan:
Lim Jooi Soon, penceramah bebas PERKIM
akuislam.com
tudungnur.com
atheism.about.com
www.sistersinislam.org.my

2 comments:

  1. satu penceritaan yang menyedarkan saya yang banyak main2 ni...tq RR..:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. semoga kita sama2 beroleh manfaat....saya sendiri pun sedang dlm proses membetulkan diri...

      Delete