1
Wanita yang menghidangkan air terus berlalu setelah
tugasnya selesai. Namun mata Izwan tetap terarah kepada wanita itu sehingga
bayangnya menghilang memasuki salah sebuah bilik.
"Macam mana perempuan itu boleh
ada dalam rumah kau?" tanpa menghiraukan perasaan 'perempuan itu' yang dia
maksudkan, Izwan bertanya dengan suara nyaring dan keras.
"Dia isteri aku," jawab Amal
selamba.
"What? Isteri? Kau dah gila? Perempuan macam tu kau jadikan
isteri?"
Amal hanya tersenyum. Inilah kejutan
yang dia ingin beritahu kepada Izwan tadi. Sahabatnya itu benar-benar terkejut
tetapi itu bukanlah respon yang dia harapkan. Adakah setelah sekian lama, Izwan
masih belum mampu memaafkan Maizura?
"Kau pun tahu dia perempuan jenis
yang bagaimana. Dah tak ada perempuan lain ke dalam dunia ini?" Izwan
terus mengasak apabila pertanyaannya tidak dijawab.
"Wan, kau kena faham. Sebagaimana
dia mempunyai masa silam, sudah tentu dia juga punya masa depan. Kita manusia biasa,
Wan. Bukan malaikat. Bila-bila masa Allah boleh tarik nikmat iman yang Dia
berikan. Jangan sampai disebabkan 'orang-orang baik' macam kau, semua manusia
yang pernah buat dosa tak mahu kembali," nasihat Amal. Dia tidak mahu
membiarkan Izwan terus menghukum atas suatu dosa yang dia yakin turut pernah
dilakukan oleh Izwan.
"Aku yakin dia takkan
berubah."
"Kau pernah buat kesilapan yang
sama. Kenapa kau tak boleh terima hakikat Maizura juga boleh berubah?"
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Maizura tersentak mendengar suara di
sebalik telefon bimbitnya.
"Mengapa buat saya macam ni,
Zura? Awak hilang dan tiba-tiba awak muncul sebagai isteri kawan baik saya. Ada
awak fikir tentang perasaan saya?" Izwan terus-menerus menyerang Maizura
dengan persoalannya.
"Awak yang tinggalkan saya, Wan.
Saya tak pernah bertanya kenapa awak tinggalkan saya. Jadi bukan salah saya
atau Amal kalau akhirnya saya pilih jalan ini," dengan tenang Maizura
menerangkan rasional tindakannya.
Izwan mengeluh. Dadanya tiba-tiba rasa sakit. Maizura benar-benar telah
melupakannya. "Zura, saya masih sayangkan awak. Dulu saya takut dengan
perasaan saya sendiri sebab saya tahu saya takkan mampu memiliki awak."
"Teruskanlah dengan rasa takut
awak tu, Wan sebab saya tak mungkin terima awak semula. Lagipun saya sedar,
perempuan kotor macam saya tak layak untuk awak."
"Zura, saya minta maaf kalau awak
terasa dengan kata-kata saya hari itu. Saya cakap macam itu sebab saya
cemburu."
"Sudahlah,
Wan. Saya tak boleh berborak lama-lama dengan awak. Saya dah jadi isteri orang.
Dan saya harap ini panggilan terakhir dari awak."
Klik. Panggilan ditamatkan. Izwan
meraup wajahnya. Kalau dia mengambil tindakan berani dengan mengahwini Maizura
dahulu, adakah keadaan akan menjadi lebih baik?
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Usai solat Maghrib berjemaah, Amal
menghadap isterinya untuk sesi usrah. Maizura selalu teruja untuk mendengar
ceramah daripada Amal atau sesekali Amal akan membuka peluang untuk dia
bertanya. Ala-ala program Kemah-keming Ustaz Azhar Idrus usik Maizura ketika
mula-mula dia menyuruh Maizura bertanya soal agama yang dia tidak faham.
Malam ini berlainan sekali. Wajah
Maizura muram dan nampak risau.
"Ujian yang datang kepada kita
bukan saja-saja Allah nak beri. Antara hikmah dugaan yang kita hadapi ini ialah
untuk diaudit oleh auditor yang sentiasa setia mengikut kita kemana sahaja,
kiri dan kanan. Untuk mengukur di skala mana sabar, ikhlas, redha dan syukur
kita. Dan kita juga seharusnya sentiasa melakukan 'self-audit' supaya tidak
terleka," Amal memulakan bicara setelah membaca pembuka kalam, surah
Al-Fatihah.
Dia memandang tepat ke wajah Maizura,
"Jadi, walau apapun dugaan yang kita hadapi, jangan pernah menyerah.
Senyum tatkala kesedihan atau dilanda ujian adalah lambang ketabahan."
"Beritahu abang apa yang berlaku. Kenapa Mai nampak
muram malam ni?"
Melihat wajah jernih suaminya, Maizura
berterus-terang, "Tadi Izwan called Mai. Abang, Mai tak tahu macam mana
dia dapat nombor Mai. Mai tak pernah bagi nombor telefon pada dia. Tapi Mai dah
pesan supaya dia tak ganggu Mai lagi."
Amal masih tersenyum. Maizura memang
berani. Dia mula yakin dengan pepatah 'berani kerana benar'.
"Kalau dah pesan begitu, kenapa
masih muram? Dah, jangan fikir sangat. Yang ni pun kira audit juga, tahu? Audit
skala kesetiaan Mai pada abang dan skala cemburu abang pada Mai," pujuk
Amal. Setakat Izwan dia tidak risau. Izwan sahabat baiknya. Dia kenal Izwan.
"Abang cemburu pada Mai?"
"Eh, mestilah abang cemburu. Mai,
kan isteri abang."
"Cemburu tanda sayang. Abang
sayang Mai?" Maizura masih tidak puas hati.
"Ya, sayang. Abang sayang
sayangggg...." Amal meleretkan suara.
"Betul?"
"Betullah," jawab Amal menahan
geram. Gigit kang baru tahu!
"Jadi abang kahwin dengan Mai
bukan sebab kasihan?"
"Mengarut!" Amal terus
memicit hidung Maizura kuat-kuat. Dia tak boleh tahan geram lagi. Air wudhu
yang disimpan untuk solat Isyak sudah batal tetapi Amal tidak kisah. Kalau sampai
dia kena mandi wajib lepas ini pun dia tidak kisah. Maizura benar-benar membuat
dia geram!
Mandi wajib,eh? hohoho...
ReplyDeletehehe... :-)
Deletewat novel citer ni x....besttt
ReplyDeletetgh cari kesinambungan nya mak....akan sambung..insyaALLAH
Delete