9
Samariang Aman, Petra
Jaya (22 Mac 2013)
Jafni bersiap-siap untuk ke Masjid Negeri. Kalau bukan
disebabkan program yang akan dijalankan di Dewan Hikmah, Jafni jarang bersolat
di masjid itu. Di Samariang Aman juga ada surau, yang azannya kedengaran jelas
dari rumah Jafni.
Setelah ditimbang, tambah-tolak-darab-bahagi, Jafni
mengambil keputusan untuk hadir juga ke program bersama Brother Lim di Dewan
Hikmah. Habis program nanti, dia akan terus pecut balik ke kampung. Beg pakaian
kecil yang terletak di atas katil dicapai segera. Akibat libasan, sebab beg
pakaian itu ringan sahaja, bingkai gambar yang elok terletak di meja sisi
katil, jatuh berderai di atas lantai.
‘Aduh, bila nak cepat, ada-ada saja yang berlaku,’ Jafni
merungut sendiri. Beg pakaian dilepaskan. Dia berlari anak menuju ke arah
tangga untuk mengambil penyapu dan penyeduk yang memang disandarkan berdekatan
tangga itu. Sebelum kaca bingkai gambar itu disapu, Jafni menggapai gambar itu
terlebih dahulu.
Dush! Jafni rasa dadanya bagai ditumbuk keras. Dia
terduduk di lantai, bersandar pada katil. Gambar dibawa ke rapat ke wajah lalu
figura indah yang terpapar dikucup lembut. ‘Munirah…’ seru jafni dalam hati. Dia
baru perasan selama lima bulan bercerai, gambar persandingan mereka masih lagi
menghuni bilik tidurnya. Jafni telan air liur. Perit, pedih, sebak
bercampur-baur dalam hati. Senyuman indah Munirah dalam gambar itu mengingatkan
dia akan suatu hari, setahun yang lalu.
“Abang, Moon mengandung! Dah lama kita tunggu berita ini,
kan? Sayang abang! Muah…muah…muah…” kiri
dan kanan pipi Jafni menerima ciuman bertubi-tubi.
Jafni mengerlipkan mata yang tiba-tiba pedih. Gambar itu
dikembalikan ke atas meja. Lantas kaca yang berderai disapu dengan rasa yang
berkecamuk. ‘Gila talak ke apa aku ni?’
Malas mahu melayan perasaan, Jafni segera beredar. Beg
dicapai, lampu ditutup. Mata melilau ke sekeliling bilik untuk memastikan tiada
barang yang tertinggal. Sekali lagi matanya tertancap pada gambar penuh memori
yang tersadai lesu. Jafni mengeluh.
Lagu Elegi Sepi nyanyian Azaharina
yang berkumandang dari radio kereta bagaikan menempelak Jafni. Macam tahu-tahu
sahaja yang Jafni sekarang tengah berperang dengan perasaan sendiri.
Belum
sempat nak tukar siaran radio, telefon bimbit yang diletakkan dia atas tempat
duduk sebelahnya pula mengalun bahagian korus lagu Try. Jafni tahu itu
merupakan panggilan daripada Ellysa kerana dia telah menetapkan nada dering itu
khas untuk buah hatinya. Jadi Jafni biarkan sahaja lagu Elegi Sepi itu.
“Yes,
dear,” Jafni jawab panggilan itu tanpa menggunakan handsfree. “You nak I jemput you di rumah ke?”
“I’m
sorry. I tak jadi ikut you. Papa dan mama ajak I pergi dinner kat luar. Ada function,”
Ellysa bersuara manja di hujung talian.
“It’s
okay, dear. I pun tak dapat nak stay
lama. Balik dari program tu nanti I terus pecut balik kampung,” sahut Jafni.
Turut menerangkan perancangannya untuk balik kampung.
“You masih nak balik kampung juga
ke?” suara Ellysa tidak lagi kedengaran manja. Dia sudah menaikkan volume suaranya.
Jafni mengepit telefon bimbit dengan
bahunya. Dia mahu menukar gear untuk membelok ke simpang sebelah kiri yang
menghala ke bangunan Wisma Kebajikan. Jafni perlu memandu dengan tangkas kerana
waktu solat maghrib akan masuk beberapa minit sahaja lagi.
“Ya, sayang. I kena balik juga. I
kena pujuk mak I dan I kena hadir majlis Hazian. Dulu dia balik dari Penang
semata-mata nak datang masa I kahwin. Sekarang I pun mesti datang majlis dia.
You faham, kan?” dia melembutkan suara. Memujuk wanita merupakan kepakaran
Jafni.
“Whatever,”
balas Ellysa. Dia mematikan panggilan. Nampaknya Jafni berkeras juga untuk
balik kampung. Biarlah, mungkin ini masa untuk menguji kesetiaan Jafni terhadap
dirinya.
Ellysa
merenung penampilannya dalam cermin. Gaun pendek separas lutut yang terdedah
bahu itu membuatkan Ellysa kelihatan lebih muda dari usia sebenar. Ellysa
menghadiahkan senyuman kepada diri sendiri. Dia membatalkan hasrat untuk
mengikut Jafni di saat-saat akhir kerana dia sendiri yang mahu mengikut papa
dan mamanya ke majlis makan malam kawan Datuk Joseph itu. Ellysa membayangkan
pelbagai jenis minuman keras yang mahal akan dihidangkan dalam majlis itu nanti.
Dia mahu minum sepuas-puasnya malam ini setelah lama tidak mencicip minuman
najis itu. Harap-harap Jafni tidak tahu.
Setelah
memarkirkan kereta dalam kawasan Masjid Negeri, Jafni melangkah keluar dengan
penuh gaya. Sebagai seorang public figure,
dia sememangnya sentiasa memastikan penampilannya kelihatan rapi. Jafni memang
seorang lelaki metroseksual!
[Moontiara]
salam.lepas
maghrib moon gerak balik kpg.
Mesej
Wattsapp daripada Munirah tiba sebelum sempat Jafni mengambil wudhu’. Tanpa
berfikir panjang, dia terus membalas mesej itu.
[Jafni
Effendi]
wsalam.hati2.abg
gerak nnt abg bgtahu.jgn lena sgt tdo dlm bas tu. J
Kuching
Sentral (22 Mac 2013)
Munirah menyerahkan
tiket kepada petugas yang berada di kaunter boarding. Setelah tiketnya dan
Zaimah dicop, dia kembali mendekati Tarmizi yang sedang mengendong Zarith
Sofia di ruang menunggu.
“Terima kasih , Abang Miji sebab
sudi hantar kami ke sini,” ucap Munirah.
“Tak
payah nak berterima kasih bagai. Macamlah Abang Miji hantar Moon sampai Afrika
nun,” usik Tarmizi membalas ucapan penghargaan Munirah.
“Moon
naik bas dulu,ya. Tak lama lagi nak bergerak tu,” tutur Munirah dengan lembut.
Dia menghulur tangan untuk mengambil anaknya dari Tarmizi.
“Kalau
ada apa-apa, jangan segan bagitahu Abang Miji. Moon tahu Abang Miji sentiasa
ada untuk Moon. Jaga diri baik-baik. Jangan lena sangat tidur dalam bas tu,”
pesan Tarmizi kepada Munirah. Mak orang tu bukan boleh harap sangat. Walaupun
dah ada anak seorang, Tarmizi tahu Munirah belum pandai berdikari.
Munirah
tergelak mendengar pesanan Tarmizi. Tarmizi pula yang terpinga-pinga tidak
faham apa yang kelakarnya dalam pesanan penaja yang dia sampaikan sebentar tadi.
“Ayat
Abang Miji sebijik ayat Jafni,” terang Munirah. Tawa yang masih bersisa
dilepaskan tanpa mengeluarkan suara. Haruslah ketawa dengan sopan. Sekarang kan
mereka berada di tempat awam yang sesak dengan manusia.
“Erk?”
Tarmizi masih belum faham.
Munirah
menghulur telefon bimbitnya. “Nah, tengok mesej Jafni ni,” arah Munirah.
Tarmizi
telan air liur saja apabila baca mesej itu. ‘Munirah masih menjalinkan hubungan
baik dengan Jafni. Hrmmm…’
“Abang
Miji rasa, bukan kami ni saja yang akan pesan pada Moon macam tu. Kejap lagi
mak call Moon mesti dia pesan benda yang sama. Kami semua kenal Moon macam
mana. Asal masuk dalam bas saja terus terlentok tak sedar dunia sampai terlepas
simpang Saratok.” Tarmizi terus mengusik Munirah.
Zaimah
yang berdiri sebelah Munirah turut tumpang gelak. Siapa yang tak kenal Munirah?
Dia memang selalu tidur dalam bas apabila balik kampung. Perjalanan selam lima
jam itu dipenuhi dengan tidur sahaja. Tidak kiralah sama ada dia balik malam
ataupun siang. Tidur dalam bas sudah menjadi hobi Munirah sejak dulu lagi.
“Kak
Mah jangan nak gelakkan Moon. Moon tinggalkan Kak Mah kat sini karang,” ugut
Munirah pada pengasuh anaknya itu. Kira ugut-ugut manja saja. Takkanlah Munirah
nak tinggalkan Zaimah betul-betul. Nanti siapa nak jaga Zarith Sofia.
“Kak
Mah tak kisah.” Dengan selamba Zaimah membalas.
“Ish,
korang ni,” pintas Tarmizi. “Driver
bas dah start enjin tu. Kalau kena
tinggal bas, Abang Miji tak mahu hantar sampai Saratok.”
Munirah
dan Zaimah bergegas mencapai beg. Tarmizi mengambil kesempatan mencium Zarit
Sofia sebelum mereka melangkah pergi.
No comments:
Post a Comment