Friday, 25 October 2013

JANGAN JADIKAN DIA JODOHKU

Aku baru balik dari pejabat. Rumah kosong yang menyambut kehadiranku, seperti lazimnya hari-hari lain. Kutanggalkan kasut tumit tinggi di muka pintu. Sampai sahaja di ruang tamu, aku terus merebahkan badan di atas sofa. 'Ah, leganya!'

Keronsang di bahu kiri dan kanan aku cabut untuk meloloskan tudung dari kepala. Aku rimas. Rambut yang masih terikat kemas, aku bebaskan. Barulah selesa. Aku bukan suka sangat berambut panjang tapi suami aku lebih gemar rambut aku yang panjang begini. Lebih seksi katanya. Aku menurut saja. Walaupun aku bukan jenis yang suka grooming. Setakat mandi dua kali sehari dan rambut aku ini aku jaga sendiri. Tak pernah pun aku ke spa.

Telefon dalam beg tangan berbunyi nyaring. Bahagian chorus Just Give Me A Reason bergema dalam suasana sunyi rumah pada ketika ini.

"Assalamualaikum…" Salam penuh ceria aku ucapkan bila melihat 'cinta' pada skrin.

"Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh..." jawabnya dalam intonasi budak sekolah. Sengal!

"Bila balik? Rindulah..." tanyaku padanya. Aku tahu dia akan balik esok hari tapi aku sengaja hendak mengada-ada. Kalau tak mengada dengan suami, dengan siapa lagi, kan?

"Tak jadi balik," sahutnya. Er?

"Kenapa tak jadi balik?" Aku meleret suara. Dah seminggu dia ke Sibu atas urusan kerja dan sekarang dia kata tak jadi balik? Arrgghhh...! Tadi aku sudah membeli minyak wangi baru sebab nak ermm...malaslah nak cerita.

"Surprise! I've booked your ticket to Sibu. Tomorrow earliest flight. Esok Masitah ambil sayang di rumah dan hantar ke airport. Tugas sayang sekarang cuma packing barang sayang. Dan jangan lupa your pink lingerie. I like that one very much." Hanif ketawa gatal di hujung bicaranya.

"Betul?" Aku tanya lagi. Mana tahu dia sengaja nak kenakan aku. Hanif ni bukan boleh percaya sangat. Suka saja dia nak menyakat aku.

"Betul. Kalau tak percaya, sayang call Maswing sekarang juga. Tanya ada tak nama sayang dalam penerbangan esok," terang Hanif sungguh-sungguh.

Usai berborak di talian, aku kembali menyandar di sofa. Penat sudah hilang bila mendengar suara ceria Hanif. Dia yang aku nikahi tiga bulan lepas. Tak pernah bercinta, aku mengenali Hanif ketika aku bertugas sebagai guru sandaran di sekolah tempat dia mengajar. Setelah habis tempoh menjadi guru sandaran, kami tidak pernah jumpa lagi. Takdir ALLAH, keluarganya yang sedang mencari jodoh untuk Hanif, diperkenalkan kepada keluarga aku. Melalui beberapa sesi taaruf bersama keluarga, akhirnya kami disatukan dalam majlis sederhana.

Aku renung wajah Hanif yang aku jadikan wallpaper telefon bimbit. Rindu menggebu di hati. Setelah menjadi isterinya yang sah, rasa cinta itu terus saja berputik. ALLAH gerakkan hati aku untuk mencintainya.

*****
Aku terjaga dari tidur yang nyenyak. Didodoi irama cinta dari suami yang romantik, siapa yang tak terlena, kan? Mataku terpisat-pisat pedih kerana silau. Aku dapati lampu kecil di atas siling bilik hotel ini menyala. Bukankah malam tadi semua lampu sudah ditutup?

Tangan kanan menggagau mencari tubuh suami. Erk, tak ada? Aku bingkas bangun. Dalam posisi duduk begini, aku nampak kelibat Hanif sedang membelakangi aku. Duduk di sejadah dan kelihatan seperti sedang berdoa. Aku capai jam tangan. Pukul empat pagi. Rajinnya dia solat sunat! Tapi kenapa tak kejutkan aku sekali? Ini yang aku nak marah ni! Hehe...tak adalah, gurau saja. Takkan nak marah pada suami...

"Ya ALLAH, aku mencintai dia tapi jangan jadikan dia jodohku. Amin ya rabbal alamin." Sendu suaranya melafaz doa.
Aku terpana. Apa makna doanya itu? Aku bukan 'dia' yang dimaksudkan. Sebab aku yang menjadi jodohnya. Adakah dia terpaksa dalam ikatan ini? Bila dia berpaling, aku kembali berbaring. Pura-pura tidur.

Ketika dia kembali di sisiku atas katil ini, badanku ditarik ke dalam pelukan. Aku tak merasa damainya pelukan itu. Hati aku sedang sakit. Namun aku sedaya-upaya menahan sedu tatkala dia membisik zikir munajat di telingaku. Cuma air mata yang mengalir perlahan, tanpa dapat kutahan. 'Abang, aku bukan yang engkau cinta?'

*****
Setelah penat berjalan-jalan sekitar Sibu, kami berhenti makan di sebuah gerai kecil. Menurut Hanif, nasi ayam penyet di sini paling sedap di bandar Sibu.

Aku sudah kehilangan mood sejak malam tadi. Rancangan percutian mengejut hujung minggu yang dibuat oleh Hanif benar-benar membuat aku terkejut. Seharian ini aku cuba mengukir senyuman ikhlas untuk dia tapi aku tak berdaya.

"Sayang nak makan apa?" dia bertanya pada aku yang sedang leka. Nasib baik aku masih dengar soalannya.

"Sama macam abang," jawabku tanpa jiwa. Pelayan yang mengambil pesanan terus berlalu setelah Hanif meminta makanan yang dia mahu.

"Sayang, abang nak minta pendapat. Boleh?" Tangannya mendarat di atas penyandar kerusi yang sedang aku duduki.

"Boleh. Tanyalah."

"Hari tu abang jalan-jalan di Wisma Sanyan. Abang terjumpa sehelai baju yang dulu pernah abang suka. Walaupun dulu abang pernah mencari baju yang sama merata-rata, tapi tak jumpa. Sekarang baru jumpa balik tapi abang tak beli sebab abang dah beli baju lain. Baju baru abang itu pun selesa. Cantik, kainnya halus dan tak panas. Jadi abang biarkan baju itu. Betul tak tindakan abang?" dia berbicara tanpa memandang wajah aku. Doanya malam tadi masih terngiang-ngiang di telingaku. 'Jangan jadikan dia jodohku.'

"Abang tak menyesal nanti? Mana tahu suatu hari nanti timbul rasa ralat di hati abang sebab lepaskan baju itu. Mesti special dan limited edition, kan? Sebab itu abang susah nak jumpa baju seperti itu. Walaupun abang baru saja beli baju lain, abang rasa teringin juga pada baju itu, kan? Sayang rasa, kalau abang mampu, abang dapat beli baju itu tanpa susahkan diri abang, abang beli sajalah. Boleh pakai gilir-gilir." Aku tersenyum padanya. Aku tahu apa yang dia maksudkan. Dia cintakan orang lain tapi tetap mahu jaga hati aku.

"Tapi abang rasa abang tak perlu baju itu. Abang dah ada baju yang abang sayang. Biar abang pakai baju itu saja. Sampai lunyai pun abang tetap pakai," wajah aku direnung dengan penuh kasih. Ini yang susah kahwin dengan cikgu, semua benda nak dikiasnya. Dia lupa isterinya ini seorang akauntan. Corner-corner tak mainlah cik abang.

"Senang cerita, abang rekomenkan baju itu pada kawan abang yang belum berbaju. Dapat juga tempias kebaikan," aku kenyit mata pada Hanif.

Tiba-tiba Hanif ketawa. Mulut ditekup dengan tangan kanan. "You are brilliant, my dear. Nanti abang suruh kawan abang tengok baju itu. Mesti dia berkenan."

"Abang tak cemburu ke nanti? Kawan abang dapat baju yang abang suka?"

"Taklah," dia geleng kepala. Comel pula bila dia buat begitu. Hanif merapatkan diri pada aku. Di telinga aku dia berbisik; "Abang lagi suka pakai baju abang sendiri. Lagi-lagi kalau baju abang tu tak pakai baju."

"Abanggggg...!" pahanya aku cubit kuat-kuat. Gatal sungguh!

*****
"Ya ALLAH, aku masih ingat padanya. Jangan jadikan dia jodohku kerana aku sayang isteri aku dan anak yang sedang dia kandung."

Pada sepertiga malam, aku sekali lagi terdengar doanya. Dalam hati aku turut mengaminkan doa tulus suami aku itu. 

Wednesday, 23 October 2013

INDAHNYA HIDAYAH

Encik Mujahid
0138******
Salam.blh x kita borak slain dr hal kerja/loan?
            Erk? Sambil memegang Samsung S2 dengan tangan kanan, aku menjeling jam di pergelangan tangan kiriku. 12.48.
Wsalam. Lunch hour, perhaps?
            Balasku.
Encik Mujahid
0138******
Okey
            Entah apa-apalah Encik Mujahid ni. Aku benar-benar terkejut menerima SMSnya. Kenapa? Kerana dia merupakan seorang Pegawai Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah, Kuching. Dengan gaya seorang ustaz yang agak konservatif, sesiapa pun akan menganggap dia seorang yang sukar didekati lebih-lebih lagi oleh seorang wanita. Sekilas pandang, aku tahu dia seorang yang menjaga batas-batas ikhtilat. Yang menundukkan pandangan terhadap ajnabi waima ketika berurusan rasmi.
            Perkenalan aku dengan Encik Mujahid bermula… oh, maaf. Aku tidak berkenalan dengannya. Dia datang ke pejabatku untuk mengemukan permohonan pinjaman peribadi. Kebetulan (atau takdir), aku satu-satunya pegawai yang ada di bahagian pinjaman ketika itu. Mungkin disebabkan keadaan memaksa, dia berhadapan denganku untuk membuat pinjaman.
Encik Mujahid
0138******
Cik Hasni asal mana?
            Sekarang sudah pukul satu. Lunch hour. Sebagaimana yang dijanjikan, dia menghantar mesej. Kehadiran mesej Encik Mujahid menyingkirkan lamunanku.
Td kata xmau borak psl kerja. So, just call me Has. Sy asal Bario.
Oh, org ulu…mualaf?
Kami bangsa kelabit. Tapi bkn mualaf. My parents yg convert. Sy lahir as a muslim.
            Bermula dari SMS yang biasa begitu, saban hari aku menerima SMS daripada Encik Mujahid. Pembetulan, Mujahid saja kerana kini aku tidak lagi berencik-encik dengannya. First impression aku terhadapnya masih tidak berubah. Dia masih seorang yang menjaga hubungan dengan ajnabi pada pandanganku.
           
Apa perasaan anda apabila anda dilahirkan dalam keluarga bukan Islam dan kemudiannya anda kembali kepada Islam, tetapi keluarga anda seperti emak, ayah dan adik beradik lain masih belum Islam? Anda insyaAllah akhirnya akan masuk ke dalam syurga, tetapi mereka?

**********************************
Kita yang dilahirkan dalam keluarga Islam, mungkin tidak dapat merasai perasaan mereka ini. Segelintir kita mungkin hanya tahu melaung-laungkan kepentingan dan kewajiban berdakwah, memetik daripada ayat Quran dan hadis tetapi tidak melakukannya.

Hanya berkata-kata melalui mimbar masjid ataupun pentas ceramah, tetapi tidak cuba untuk turun padang bercampur dengan masyarakat non-muslim. Membiarkan jiran, rakan-rakan ataupun masyarakat sekeliling yang masih belum Islam begitu sahaja tanpa ada rasa inisiatif ataupun sensitif untuk menyampaikan mesej Islam kepada mereka walaupun SATU AYAT.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!" (as-saff 61:2)

Kita percaya bahawa kebenaran itu ada pada Islam tetapi kita tidak cuba untuk kongsikan dan sampaikan kepada mereka yang kita percaya berada dalam kebatilan. Mungkin ada yang akan berkata bahawa masyarakat Islam sendiri masih ramai yang tidak betul, lebih utama kita dahulukan mereka ini dahulu.

"Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".(al Baqarah 2:111)

Di zaman nabi saw, ada tak masyarakat Islam? Ada. Masyarakat bukan Islam. Ada. Adakah pada ketika itu nabi berhenti berdakwah kepada non-muslim dan hanya menumpukan kepada pengislahan masyarakat Islam sahaja?

Mengajak orang bukan Islam kepada Islam dan memperbaiki Muslim itu sendiri perlu dilakukan seiring tanpa melebihkan yang satu ke atas yang lain.

Apa-apa pun alasan yang sedang terpacul dalam fikiran kita sekarang ini, marilah sama-sama kita muhasabah firman Allah s.w.t dalam surah al-munafiqun 63:9 dan as-saff 61:10-11 :

"Wahai orang-orang yang beriman janganlah harta-harta dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada memperingati Allah. Barangsiapa berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi."

“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan BERJIHAD DI JALAN ALLAH DENGAN HARTA DAN JIWAMU. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”

Wallahualam. 
            Artikel itu aku terima melalui emel autoresponder daripada Mujahid. Setelah mengenalinya dengan sisi lain selain sebagai seorang Pegawai Syariah yang tegas dan berkarisma, dia juga merupakan seorang lelaki yang sangat mengambil berat tentang kemaslahatan ummah. Aku tahu mengenai aktiviti dakwahnya setiap hujung minggu di Islamic Information Centre. Aku juga dipelawa untuk menjadi peserta beberapa minggu yang lepas. Semenjak itu aku menjadi subscrider artikel dakwahnya di blog yang dia bina bersama teman-teman da’ie yang lain.
            Hatiku menjadi lain macam. Aku sedar aku sudah jatuh cinta. Tapi aku juga sedar betapa jauhnya perbezaan kami. Kurenung tudung awning yang kupakai setiap hari. Tudung ini sekadar syarat bertudung. Asal bertudung, jadilah. Ia tidak menjadi pendinding untukku mengelakkan diri dari melakukan perkara keji. Itu baru soal berpakaian.
            Bagaimana soal solat yang kulakukan sekadar untuk melakukan rutin sebagai muslim? Aku solat macam ayam yang mematuk makanan. Laju; tertunggak-tunggang, terpatuk-patuk macam burung belatuk. Aku perlu berubah!
            “Jangan berubah sebab lelaki. Nanti kau akan kembali macam ni balik. Berubahlah sebab kau dapat hidayah. Sebab ALLAH,” komen Jasmin, kakakku.
            Aku minta pendapatnya ketika aku sedang diburu rasa bersalah melihat koleksi pakaianku. Semuanya tidak menepati seratus peratus kehendak syariah. Ada baju lengan panjang, tapi labuhnya cuma di paras pinggang. Blaus labuhku pula mengikut bentuk tubuh. Tudung-tudungku semuanya jenis yang senteng dan nipis. Aku mahu tukar penampilan.
            “Tapi takkan nak tunggu datang hidayah baru nak berubah. Tak salah kan kalau berubah sebab lelaki? Mana tahu nanti kita akan ikhlas?” bidasku. “Mungkin ALLAH hantarkan dia untuk aku, supaya aku boleh berubah ke arah yang lebih baik?”
            “Kau terlampau banyak baca novel lah, Has. Kau ingat Mujahid tu Fahri? Iqbal Maulana? Hilman Yong? Firman Ebrahim? Look deeper, Has. Our religion is not only about being a zaujah to a religious man, and we call it cinta islamik. Aku tak salahkan usaha kau untuk menjadi a better muslimah, tapi kaji niat kau sebelum kau ambil langkah ini. Aku sentiasa doakan yang terbaik untuk kau.”
            Jasmin menepuk bahuku. Aku faham apa yang ingin dia sampaikan tapi hatiku teringin sekali nak berubah. Ada suatu rasa yang pelik yang aku rasai setiap kali terlihat wanita bertudung labuh. Suatu rasa yang asing, yang sukar untuk kuluahkan dengan kata-kata.
            “Thanks, Min. Tapi aku benar-benar ingin bertudung labuh. Aku rasa selamat.”
“Kalau kau setakat tukar penampilan tapi ibadah lain kau hancur, sama aje. Alah, kau dah elok-elok pakai tudung ni pun Alhamdulillah. Banyak lagi perempuan kat luar sana tu yang tak tutup aurat. Kau ingat dia orang tak solat ke? Labuh ke tidak tudung kau tu bukan jaminan kau masuk syurga,” tukas Jasmin lagi. Tidak mahu mengalah.
What if kalau aku kata, perempuan baik untuk lelaki yang baik. Mungkin dengan cara ini aku akan peroleh seorang lelaki yang baik, yang dapat membimbing aku. Kau tak setuju?”
“Agaknya kau tersalah tafsir ayat ini. Surah an-Nur; ayat 26; Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: (Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang- orang (yang jahat) mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. Has, belajar dulu tentang Islam. Lepas tu kau sendiri yang akan faham apa yang aku maksudkan. Ya, pakai tudung labuh itu memang bagus tapi jangan sampai orang-orang bukan Islam, bukan semua tapi yang memang tak menyukai agama kita akan menyerang dengan bermodalkan isu yang sama; mana akhlak kita sebagai muslim? Berpakaian ‘arab’ tapi akhlak pun lebih teruk dari non-muslim.
Aku ditinggalkan termangu sendiri. Sukar untuk aku fahami apa yang Jasmin maksudkan. Tudung yang berada dalam genggaman, terus aku lontarkan. Aku ingin menjerit sekuat hati tapi atas alasan apa? Jiwaku terasa sarat dengan emosi yang aku tidak tahu. Mengapa aku perlu menghadapi tekanan-tekanan begini? Lalu, tanpa niat selain dari mahu mendapatkan penjelasan, aku menghantar pertanyaan melalui emel kepada Mujahid.
Saya rasa saya fhm maksud kkk awak tu, Has. Dia mahu awak berubah. Dia suka kalau awak berubah. Tp mgkin dia x mahu perubahan penampilan yang mjadi langkah pertama awak. Maksud saya, ada byk lg yg perlu awak ubah. Cthnya; bersediakah awak utk x berdua-duaan dgn lelaki, bersediakah awak utk x memandang mata lelaki, bersediakah awak utk x bersosial dgn lelaki di alam maya, bersediakah awak utk menghindarkan diri dr segala perkara mungkar yg masyarakat kita anggap perkara biasa? Nasihat saya, mulakan langkah awak dgn mengubah cara hidup. Mulakan dgn mengubah persepsi; biasakan yg betul, betulkan yg biasa. Moga awak perolehi hidayah yg awak cari itu. Aminnn…
     Kuterima balasan emel daripada Mujahid. Kekeliruanku terhadap bicara Jasmin telah kujelaskan kepadanya. Ternyata dia mampu memberikan penjelasan yang lebih mudah untuk kufahami.
Jadi, apa yg perlu saya buat?
     Aku balas emelnya dengan suatu pertanyaan.
Malu. malu itu pakaian yg paling utama.
     Aku terangguk-angguk di hadapan laptop. Mula memahami maksud yang ingin dia sampaikan.
Tapi…tugas saya memerlukan saya berurusan dgn lelaki. Lalu bagaimana saya harus bataskan?
     Mujahid membalas lagi:
1.    Elakkan berurusan dengan lelaki. Kalau ada peluang untuk minta tolong dengan perempuan, mintalah tolong dari perempuan. Disebabkan limitation kemampuan perempuan seperti repair kereta, repair laptop dan lain-lain, maka terpaksalah minta tolong dari orang lelaki.
2.   Kalau terpaksa contact orang lelaki, gunakanlah medium perantaraan dalam bentuk tulisan, seperti SMS, email, atau nota kecil.
Gunakan perkataan-perkataan formal, bukan bahasa pasar. Contoh: Maaf, (bukan sorrie..), Terima kasih (bukan time kaceh).
Lagi satu takyah la buat smiley face ke (^_^), gelak2 ke (hihihih), dan lain-lain yang kurang berfaedah.  Elakkan bercakap melalui telefon kalau belum desperate. Ini kerana suara wanita amat lunak dan boleh menggetarkan jiwa lelaki.
Sampai Allah pun kena sound kat orang perempuan supaya keraskan suara. Rujuk qur’an surah Al-Ahzab ayat 32:
 “Wahai isteri-isteri nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah lemah lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik.
Kalau rasa ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri nabi sahaja, lembut-lembutkanlah suaramu dan lihatlah kesannya.
Apabila arahan ini diberi kepada isteri-isteri nabi, sepatutnya kamu juga menyahut seruan itu untuk mencapai darjat yang sama seperti mereka, darjat wanita-wanita yang bertaqwa dan darjat wanita-wanita yang terpilih. Best bukan?
3. Tundukkan hati: Apabila terpaksa berurusan dengan lelaki, kamu sepatutnya merasa bulu roma kamu meremang, kerana takut pada Allah. Kamu sangat takut sekiranya disebabkan kamu, lelaki tertarik kepada kamu.
Waktu berdepan dengan mereka, banyak-banyaklah berdoa, “Ya Allah, janganlah Kau buatkan lelaki ini tertarik kepadaku. Jauhkan pandangannya dari panahan syaitan.”
4. Tundukkan pandangan. Jangan tertipu dengan matapelajaran communication skills yang kita belajar kat universiti dulu; “make eye contact with the person you’re talking to”.
Benda tu applicable kalau kita becakap dengan orang yang sama jantina sahaja.  Kalau ada eye contact dengan orang yang berlainan jantina, kita akan mendapati theory “dari mata turun ke hati” tu betul.
So, be careful dengan pandangan mata. Para sahabat dulu pun, Allah perintahkan supaya tahan pandangan apabila mereka berurusan dengan isteri-isteri nabi.
Cuba rujuk surah al-ahzab ayat 53; “….Apabila kamu meminta sesuatu dari isteri-isteri nabi, mintalah dari belakang tabir. Itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka..”
Kamu bukan disuruh membawa tabir ke mana-mana kamu pergi. kalau susah sangat nak jaga mata, tutuplah pandangan dengan buku ke, ngan file ke. Kita lihat betapa Allah sangat ambil berat masalah hati para sahabat dan isteri-isteri nabi supaya mereka tak tewas ke dalam kemungkaran. Kalau kamu pun nak jadi sehebat diorang, kenalah buat apa yang diorang buat.
Takkan nak tunggu Allah sebut nama kita dalam Qur’an baru nak buat kot. Contoh: “Wahai Cik Hasni.. taatilah suamimu…” Isk2. tak layak nya…
5. Cepatkan urusan. Ni mungkin applicable kepada students atau orang yang dah kerja yang terpaksa berurusan dengan team mate lelaki. Dah tak boleh elak, dia je team mate kamu.
So, apa-apa kerja yang nak dibuat bersama, buat je la keje tu. Takyah nak borak-borak, tanya hal peribadilah, gelak-gelaklah, buat lawaklah.. tak perlu  dan tak perlu.
Siapkan kerja cepat-cepat, then pergi. Perbincangan buatlah di tempat yang proper dan berurusanlah secara professional.
Semoga bermanfaat dan semoga kamu dikenali sebagai wanita mu’minah yang ada identiti, yang taat pada perintah Allah dan takutkan hari pembalasan.
Jaga diri, hiasi peribadi.

Kumulakan hariku di pejabat dengan satu tekad. Aku akan mengubah caraku berurusan dengan lelaki. Aku akan bataskan perbualanku dengan rakan sekerja lelaki. Aku tidak akan lagi menerima pelawaan mereka untuk keluar makan bersama. Ya ALLAH, restuilah perjuanganku!
            “Macam ini ke pegawai bank berurusan dengan pelanggan?”
            “Maksud encik?” soalku semula tanpa memandang wajahnya.
            “Dari tadi cik asyik menunduk. Saya bercakap pun cik tak pandang muka saya. Kenapa? Ada yang pelik pada muka saya?” Kali ini dia bertanya dengan nada suara yang meninggi.
            “Maaf, encik. Saya tak ada niat begitu. Saya hanya mahu menundukkan pandangan. Maklumlah, kan orang kata, dari mata turun ke hati,” jawabku separa bergurau. Nada suaraku mendatar saja. Kalau dulu, aku melayan pelanggan lelaki dengan mesra. Suaraku memang sengaja aku lunakkan. Tapi kini…
            “Perasan!” Dia menyergah. Aku terkejut mendengar suaranya. “Awak ingat awak cantik sangat ke sampai saya nak jatuh hati pada awak. Cermin diri tu sikit!”
            “Encik dah salah faham pada saya. Maafkan saya, tapi saya tak boleh nak bertentang mata dengan encik. Agama kita melarang,” terangku dengan terketar-ketar. Aku takut dengan kemarahannya.
            Sudah seminggu. Aku masih mencuba untuk membataskan diri dalam pergaulan dengan lelaki dengan penuh cabaran. Tetapi sehelai memo daripada pengurus bank yang aku terima sebentar tadi menyebabkan jantungku berdegup kencang. Aku rasa aku tahu kenapa aku diminta untuk menemuinya.
            “Cik Hasni, sudah banyak kali kami menerima laporan yang awak melayan pelanggan dengan sambil lewa. Awak tidak memberi perhatian dengan apa yang mereka tanyakan pada awak. Betul ke?” Encik Isa bertanya dengan lembut, penuh diplomatik.
            “Saya bukan tak memberi perhatian, encik. Saya cuma tak memandang muka mereka. Lagipun bukan semua. Kalau pelanggan wanita, saya layan macam biasa,” jelasku.
            “Sebagai seorang yang profesional, awak sepatutnya tahu apa yang perlu awak lakukan. Awak bukan baru sehari dua dalam bidang ini. Saya tak rasa memandang wajah lelaki itu satu halangan untuk awak. Jangan pilih kasih dalam melayan prospek. Mereka pembawa rezeki untuk kita. Kita bergantung kepada pelanggan untuk dapat rezeki setiap bulan. Takkan itu pun awak tak faham?”
            Astaghfirullah al’azim… Aku beristighfar dalam hati. Rezeki kita di tangan ALLAH, Encik Isa…
            “Saya beri awak dua pilihan. Ubah perangai awak atau notis sebulan atas meja saya. Awak boleh keluar sekarang,” tegas Encik Isa sekali lagi.
            Aku keluar dengan langkah yang lemah. Dalam dunia ini, siapa lagi yang boleh faham apa yang sedang aku lakukan? Siapa lagi yang boleh memberi sokongan untuk aku teruskan apa yang aku yakini ini? Kalaulah emak dan ayah aku masih hidup, tentu mereka akan menyokong aku. Tentu mereka bangga denganku. Tiba-tiba aku diserang rasa menyesal. Mengapa tidak semasa hayat mereka, aku menjadi muslimah sejati? Mengapa aku hanya menjadi muslim kerana mereka berdua memilih agama ini? Bayangkan kalau mereka masih mengekalkan kepercayaan animisme mereka? Apa akan jadi padaku? Adakah aku akan mendapat hidayah untuk memeluk Islam?
Ya ALLAH, sesungguhnya air mataku yang mengalir hari ini merupakan air mata yang paling tulus pernah aku titiskan…
Saat aku terduduk lesu di atas kerusi di meja kerjaku, aku tersentak dengan bunyi chorus lagu Ombak Rindu yang aku gunakan untuk notification Samsungku. Ada mesej WattsAp dari Jasmin. Aku perlu tukar nada dering ini nanti.
Jasmin
Dik, ko try buka website ni. Cantik2 je tudung yg dorg jual. Aku pun teringin nak beli tadi. Pasti kau akan tertarik! tudungnur.com
Hasni
Thanks, sis. ko call aku jap. I need a shoulder…
          Tak sampai lima minit, panggilan daripada Jasmin terus masuk ke telefon bimbitku. Dengan sebak, aku ceritakan kepadanya apa yang telah terjadi.
            “Itu baru sikit, sayang. Kau pernah baca kisah-kisah wanita di zaman permulaan Islam, kan? Kisah Sumayyah, wanita pertama yang syahid. Asiah, isteri Firaun lagi teruk. Bayangkan dia harus pertahankan imannya sedangkan suaminya sendiri seorang yang menentang ALLAH terang-terangan. Has, be strong. Ini jalan yang kau pilih, Kau harus perjuangkan. Soal berhenti kerja itu, pendapat aku, kalau pengurusan itu tidak benarkan kau terus dengan prinsip kau, ada baiknya kau berhenti kerja. Kau sendiri yang kata rezeki itu di tangan ALLAH, kan?”
            Nasihat yang Jasmin berikan itu aku pahatkan dalam hati.
            “Min, aku fikir, aku akan terus bekerja. Aku akan hadapi selagi aku mampu.”
            “That’s my girl!
            Setelah melanggan tudung labuh melaui laman sesawang yang Jasmin berikan, aku memilih hari Jummat untuk mula mengenakan tudung ini. Terpaku aku di hadapan cermin, melihat imej yang kekaburan kerana mataku yang digenangi mutiara jernih. Aku kerdipkan mata lalu air jernih itu mengalir ke pipi. Tanganku sejuk, lututku menggeletar. Tudung ini bukan hanya sehelai kain biasa. Ia membawa erti, membawa semangat dan membawa jiwa seorang mukminah ke dalam diriku.
            Subhanallah…indahnya hidayah-Mu… Kumeraupkan wajah, mencari keberanian untuk melangkah. Aku akan buktikan yang aku berubah bukan kerana lelaki, bukan kerana cinta kepada insan…tetapi sejujurnya lahir dari kecintaanku kepada Ilahi…syukurlah, aku masih diberi kesempatan untuk mencari redha-Nya.
            Setelah kembali dari bercuti untuk menyambut Hari Raya Aidiladha, aku kembali ke pejabat. Dan ternyata, setelah hampir sebulan aku mengekalkan tudung labuh sebagai pakaian harianku, hidup aku terasa lebih tenang. Melainkan ada masanya aku disindir dan ditanya dengan soalan-soalan yang boleh menyebabkan aku mengamuk. Tapi kini aku perlu lebih tenang dan sabar. Sabar itu sendiri merupakan sebahagian daripada iman, mana boleh aku tidak bersabar sedangkan begitu besar tudung yang aku kenakan ketika ini.
            Namun ketenangan itu ternyata tidak berpanjangan. Aku seolah-olah kehilangan diri. Aku terlalu memaksa diri untuk mengawal segala tingkah lakuku. Telah kusampaikan keresahanku kepada ALLAH dalam doaku, tapi belum jua kuperolehi sakinah yang kucari.

ALLAH sedang menguji Hasni. Ingat dulu masa kita bersekolah, setelah mengahadapi peperiksaan percubaan, ada pula ujian bulanan dan pelbagai lagi ujian termasuk kuiz dan surprise test. Sebagai penilaian sebelum kita menghadapi ujian yang lebih sukar. Aplikasikan pengalaman itu dalam kehidupan.
Berkenaan ketenangan yang Hasni cari itu, saya mahu bertanya beberapa soalan yang harus Hasni jawab. Tapi jangan beri jawapannya pada saya. Jawablah pada diri sendiri…
1.  Adakah solat awak sudah sempurna khusyuknya, ruku’nya dan sujudnya? Atau sekurang-kurangnya, adakah awak menunaikan solat di awal waktu?
2. Adakah awak topup kekurangan solat lima waktu awak dengan menunaikan solat-solat sunat?
3. Adakah telinga awak dilazimi dengan zikir dan bacaan Al-Quran atau dilazimi dengan lagu-lagu duniawi?
4. Berapa kekerapan awak membaca Al-Quran dalam sehari? Adakah selepas setiap solat fardhu awak ada membaca walau sebaris ayat?
5. Adakah awak mempraktikkan puasa sunat Isnin dan Khamis?
6. Adakah awak membiasakan diri dengan amalan bersedekah?
7.  Ingatkah awak kepada ibu bapa awak setiap kali awak berdoa?
Tunaikan hak ALLAH…insyaALLAH, ketenangan itu akan menjadi milik awak. Saya cuma mampu menjadi penasihat. Kalau awak mahukan seorang guru, saya cadangkan awak menyertai usrah setiap Jumaat di IIC yang diterajui oleh isteri saya. Jangan risau, tiada sebarang bayaran dikenakan.
  
Isteri? Aku tidak pernah tahu Mujahid sudah beristeri. Kugigit bibir demi menahan kesedihan. Belum sempat mekar, cintaku sudah kelayuan. Tapi apa boleh buat, aku sedang diuji, kan? Aku yakin ALLAH menguji setakat yang aku mampu. Dan demi ALLAH, aku akan menerima kenyataan ini dengan redha.
Hari Jumaat. Aku berada di sini. Di IIC, menghadiri usrah bersama Ustazah Ibtisam, isteri Mujahid. Dia seorang yang cantik, wajahnya manis berhias senyuman mesra. Pakaian Ustazah Ibtisam ringkas, jubah dan tudung labuh yang berwarna coklat gelap. Agaknya kalau dia menggunakan warna pink, pasti dia akan kelihatan lebih menarik. Tapi aku tahu, dia sengaja menggunakan warna gelap itu untuk tidak menerik perhatian lelaki.
“Ada soalan?” Sambil bertanya, Ustazah Ibtisam meliarkan mata ke sekeliling dewan. Matanya menangkap pandanganku. Perlahan-lahan aku mengangkat tangan.
“Assalamualaikum. Saya Hasni. Saya ada persoalan berkaitan dengan perkahwinan.”
“Waalaikumussalam. Ya, silakan, Cik Hasni.”
Aku berdehem, membetulkan suara sekali gus membetulkan rentak degupan jantung yang sudah lari ritmanya. Suara Ustazah Ibtisam yang lembut, menyedarkan aku betapa jauh jurang antara kami. Aku tidak layak untuk bersaing dengannya.
“Ibu bapa saya sudah meninggal dunia. Saya tidak mempunyai adik-beradik lelaki dan adik-beradik ayah saya pula tiada seorang pun yang beragama Islam. Jadi, siapa yang patut menjadi wali bagi menikahkan saya?”
“Terima kasih atas soalan. Sebelum itu, izinkan saya menerangkan maksud ‘wali’ dalam konteks perkahwinan. Antara rukun nikah adalah wali. Namun demikian, ada kalanya, pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan boleh menggunakan wali hakim. Adalah wajar jika kita merujuk kepada pengertian wali secara umum dan pembahagiannya. Kemudian kita ikuti dengan penjelasan tentang wali hakim: definisi, kedudukan dan sebab-sebab yang membolehkannya berperanan di dalam sesuatu perkahwinan.

Wali dalam urusan perkahwinan ialah seorang yang memiliki kuasa mengahwinkan seseorang anak perempuan sama ada dia adalah penjaganya ataupun bukan.

Kewujudan wali adalah penting bagi mengesahkan sesuatu perkahwinan. Wali di dalam Mazhab Shafi`I  merupakan salah satu rukun perkahwinan. Tanpa wali atau keizinannya kepada wakilnya, sesuatu perkahwinan itu dihukum tidak sah. Hukum ini adalah merujuk kepada sebuah Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Siapa sahaja perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya, maka perkahwinannya itu batal (tidak sah), jika dia disetubuhi (oleh lelaki yang mengahwininya itu) maka dia berhak mendapat mas kahwin kerana dia (iaitu lelaki itu) telah menghalalkan kemaluannya dan jika mereka (iaitu para wali) berbalah, maka sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali (riwayat al-Darimi, al-Hakim, al-Baihaqi dan Abu Daud al-Tayalisi).

Berdasarkan kepada Hadis di atas, ulama' membahagikan wali kepada dua peringkat; iaitu wali nasab dan wali hakim atau disebut juga sebagai wali sultan.
Wali nasab ialah orang yang mempunyai pertalian keturunan dengan seseorang perempuan yang bakal berkahwin, seperti bapanya, datuknya dan lain-lain.

Wali hakim ialah Ketua Negara Islam atau wakilnya seperti Kadi Besar, Kadi-kadi Daerah atau mereka yang mendapat tauliah daripada Pejabat-pejabat Kadi Daerah, biasanya mereka ini terdiri daripada imam masjid, bilalnya atau seorang alim kampung.

Wali hakim bertindak sebagai wali kepada pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali. Menurut Seksyen 2(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, wali hakim bererti wali yang ditauliahkan oleh Yang diPertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain, untuk mengahwinankan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab. Terdapat beberapa situasi di mana wali hakim boleh digunakan.

Pertama: Tidak ada wali nasab
Bagi pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali nasab seperti mereka yang baru memeluk islam dan tiada saudara maranya yang memeluk Islam, atau perempuan yang tidak mempunyai wali langsung, maka wali hakim yang akan menjadi wali dalam perkahwinannnya, Rasullah saw bersabda :Sultanlah menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali. ( Riwayat al Khamsak).

Kedua : Anak tidak sah taraf atau anak angkat
Anak tidak sah taraf atau anak yang lahir sebelum adanya perkahwinan yang sah. Sekiranya anak yang tidak sah taraf itu perempuan dan semasa dia berkahwin maka walinya ialah wali hakim. Begitu juga dengan anak angkat. Jika anak angkat itu berasal daripada anak tidak sah taraf maka walinya adalah wali hakim kerana anak itu dianggap tidak mempunyai wali nasab.

Ketiga : Wali yang ada tidak cukup syarat
Sekiranya wali aqrab tidak mempunyai cukup syarat untuk menjadi wali maka bidang kuasa wali itu berpindah kepada wali ab’ad mengikut tertib wali. Syarat-syarat sah menjadi wali ialah, Islam, baligh, berakal (orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali), lelaki, adil dan merdeka. Sekiranya satu-satunya wali yang ada tidak cukup syarat dan tidak ada lagi wali yang lain, maka bidang kuasa wali itu berpindah kepada wali hakim.

Keempat : Wali aqrab menunaikan haji atau umrah
Jika wali aqrab menunaikan haji atau umrah maka hak walinya terlucut dan hak wali itu juga tidak berpindah kepada wali ab’ad, tetapi hak wali itu berpindah kepada wali hakim. Ini adalah terkandung dalam kitab Minhaj Talibin dalam bab Nikah. Sekiranya wali aqrab itu membuat wakalah wali sebelum membuat haji atau umrah atau semasa ihram maka wakalah wali itu tidak sah. Rasullullah saw bersabda: Orang yang ihram haji atau umrah tidak boleh mengahwinkan orang dan juga tidak boleh berkahwin. (Riwayat Muslim).

Kelima : Wali enggan
Mengikut pendapat para Fuqaha bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak. Perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan wanita tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu.

Menurut Jumhur Fuqaha (Shafi’e,  Maliki dan Hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakimlah yang menikahkannya. Rasullullah s.a.w. bersabda: Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali (Riwayat Abu Daud dan At-Tamizi).
Diharap, dengan penjelasan saya, Cik Hasni dan semua yang ada di dalam dewan hari ini, memahami pengertian wali.”
Aku duduk sendirian menikmati makan tengah hari yang disediakan selepas aktiviti usrah sebentar tadi. Tiada seorang pun dalam kalangan ahli usrah yang aku kenali kerana ini pertama kali aku mengikuti program ini. Sebelum ini aku hanya pernah mengikuti ceramah Mujahid pada hujung minggu. Itu pun cuma dua kali. Tapi rakan-rakan usrah semuanya ramah. Aku saja yang rasa awkward.
“Hasni…”
Aku menoleh. Di sebelahku, yang sedang tersenyum manis itu, seorang wanita yang kucemburui, Ustazah Ibtisam. Kubalas senyumannya.
“Ya, ada apa ustazah?”
“Panggil akak, bukan ustazah. Nanti lepas Hasni makan, akak nak jumpa Hasni sekejap. Akak tunggu di taman tu,” pesan Ustazah Ibtisam sambil menunjuk ke arah taman di sudut auditorium IIC.
Selesai makan, perlahan-lahan aku menghampirinya. Pelbagai persoalan bermain di kepalaku. Adakah dia tahu aku selalu berbalas emel dengan suaminya?adakah dia syak aku mempunyai hubungan sulit dengan Mujahid? Jantungku tiba-tiba berdegup lebih kencang daripada biasa.
“Meh, duduk sebelah akak.” Dia menggamitku untuk duduk di bangku panjang itu. Bersebelahan dengannya namun ada ruang yang memisahkan kami.
“Hasni pertama kali join usrah ni?”
Aku mengangguk.
“Kenapa ni? Tak selesa bercakap dengan akak atau Hasni nak cepat? Ada kerja, ya?” soalnya lagi.
“Eh, taklah kak. Has memang ambil cuti hari ni. Bukan tak selesa cuma segan. Ini kali pertama kita berbual, kan?” Aku sedaya upaya menenangkan perasaan sendiri.
Tanganku yang sejuk ditarik oleh Ustazah Ibtisam. Digenggamnya dengan erat. “Tadi tanya pasal wali, Has dah nak kahwin ke?”
“Belum. Calon pun tak ada. Cuma tanya untuk kepastian. Terima kasih sebab terangkan dengan jelas.”
Aku nampak dia menarik nafas panjang. Matanya memandang jauh ke hadapan namun tangannya masih mengelus jari-jemariku dengan mesra. Kak Ibtisam, katakanlah apa saja… Has sedia menerima…
“Sebenarnya akak baru balik dari tanah suci. Akak antara Jemaah yang paling awal kembali. Isnin lepas dah sampai sini. Has tak kisah kan kalau akak ceritakan pengalaman akak di sana?”
Sekali lagi aku mengangguk. Dia mula bercerita dan aku mendengar dengan khusyuk. Hatiku dilanda rindu yang menggila untuk sampai ke sana juga. Semoga ALLAH mendengar permintaanku ini!
“Tapi, ada sesuatu yang buat akak pelik…”
Aku panggung wajah. Merenung wajahnya.
“Di sana, akak selalu tersadung. Tersepak batulah, tersekat di batang pokoklah, termasuk dalam lubang kecil… macam-macam. Ada satu hari tu sampai ibu jari akak berdarah sebab tersepak batu. Hampir setiap hari ada saja yang akak langgar. Akak rasa mesti ada yang tak kena sebab orang kata bila kita ada di tanah suci semua perkara yang berlaku pada kita relate dengan kehidupan kita. Jadi akak fikir mungkin ALLAH nak sedarkan akak tentang dosa-dosa akak.”
Jeda. Dia memandang tepat ke mataku.
“Bila akak balik sini, akak ceritakan pada Abang Mujahid kamu…”
Matanya basah. Tangannya yang mengelus jariku jadi kaku. Cuma genggaman itu tidak dilepaskan.
“Abang Mujahid mengaku, dia terlanjur berhubungan dengan Has. Dia tak sedar apa yang dia buat itu salah. Dia kata dia ikut kata hati. Dia terpikat pada Has pada hari dia mengenali Has. Dia kata mungkin setiap kali dia menghubungi Has sama ada dengan SMS atau emel, setiap kali itulah akak akan tersadung di sana. Has, Abang Mujahid cintakan Has. Kalau akak meminang Has untuk Abang Mujahid, sudikah Has menerima dia?”
Aku menangis. Sungguh-sungguh aku menangis. Sampai terhinggut-hinggut bahuku menahan esakan. Subhanallah… aku ditarik ke dalam pelukan. Seketika aku melayan tangisanku. Aku sendiri tidak pasti makna tangisan ini. Sedih, terharu atau bersyukur?
“Has, janganlah menangis begini. Akak rela, Has. Akak tak marahkan Has.”
“Tapi Has malu. Has dah kacau suami akak.”
“Siapa kata Has kacau suami akak? Tidaklah…jangan fikir begitu,” pujuk Ustazah Ibtisam lagi.
Aku tak tahu… betul-betul bingung. Sebulan yang lalu aku rasa aku telah jatuh cinta tapi kini di saat isteri Mujahid sendiri merisik, aku menjadi keliru.
“Nak terima ke tidak?”
“Has perlu bertanya kepada yang lebih berhak ke atas diri Has dulu, kak,” jawabku setelah tangisanku reda.
“Siapa? Tadi Has kata tak ada wali?” Dia bertanya kehairanan.
“Has perlu bertanya kepada ALLAH. Dialah yang lebih berhak untuk menentukan dengan siapa Has berjodoh. Terima kasih kerana tak membenci Has…”
“Itulah yang seeloknya,” sahut Ustazah Ibtisam lalu sekali lagi aku dibawa ke dalam pelukan.

Rujukan:
Lim Jooi Soon, penceramah bebas PERKIM
akuislam.com
tudungnur.com
atheism.about.com
www.sistersinislam.org.my

Monday, 21 October 2013

CEMBURU - sebuah catatan untuk N dan H

Menurut kamus, definisi ’cemburu’ adalah ketakutan berpindahnya rasa kasih sayang terhadap orang lain, atau ketidakpercayaan akan kesetiaan orang yang dicintai, seperti suami, isteri atau kekasih.
            Berdasarkan definisi di atas, dan atas pemahaman aku sendiri, apa yang aku rasakan sekarang ialah rasa cemburu. Whoa! Seorang gadis kental yang berperwatakan kelelakian rupanya mampu dikalahkan oleh suatu emosi yang bernama cemburu. Aku rasa mahu ketuk kepala sendiri.

AKU KAN NOVELIS!

ULASAN NOVEL ‘AKU KAN NOVELIS! KARYA NURUL SYAHIDA, TERBITAN BUKU PRIMA

Sudah tak terhitung berapa kali saya mengulang baca novel AKU KAN NOVELIS! Tanpa jemu, tanpa skip di mana-mana. Saya baca perkataan demi perkataan seolah-olah itu kali pertama saya membacanya. Novel yang begitu bagus ini harus dikongsi dan disebarkan! Oleh sebab itu, hari ini, saya terbuka hati nak menulis sesuatu (kalau boleh dikatakan sebagai ulasan) mengenai AKU KAN NOVELIS!.

Sebelum mendapakan AKn, saya berkali-kali mengalami perasaan ragu-ragu. Ambil – letak – ambil – letak dari rak buku di mana-mana kedai buku yang saya singgah. Saya teringin sekali nak baca setelah tertarik dengan tajuk novel ini (nasib baik penulis dan editor menukar tajuk asal ‘Citecinte’ itu!) dan sinopsisnya. Cover memang tak mainkan peranan sangat untuk saya memmilih novel. Tetapi disebabkan telah berkali-kali dikecewakan oleh novel Buku Prima yang lain (maaf ya, Buku prima dan GBK!) saya rasa takut nak beli. Kira dramatik jugak lah keadaan sebelum saya membeli AKN. Fuhh…lega apabila akhirnya AKN berjaya saya miliki dan saya lupa bagaimana saya boleh membuat keputusan untuk ‘menyambar’ AKN dan membawanya ke kaunter.

Satu perkataan : BERBALOI!

Dua perkataan : SANGAT OHSEMMM!

Tiga perkataan : SAYA JATUH CINTA!

Alangkah bodohnya saya sebab mengambil masa yang terlalu lama untuk membaca AKN sedangkan pelaburannya tidak sampai pun RM30! Dan kenapa kawan-kawan saya yang merupakan penggila novel tidak pernah mengesyorkan novel ini kepada saya????

Watak-watak yang sederhana dengan nama-nama yang biasa-biasa saja. Safiah Suhaimi mendokong peranan sebagai watak utama yang menjadi penggerak jalan cerita novel ini. Dia merupakan seorang novelis yang tengah kekeringan idea untuk memulakan novel baru setelah lima buah novelnya berjaya di pasaran. Walaupun AKN merupakan novel Nurul Syahida yang ketiga (maaf kalau saya tersilap), novel ini merupakan karya pertama NS yang saya baca. Jadi, tatkala (erk, tatkala?) saya membaca AKN, saya tertanya-tanya adakah Safiah Suhaimi = Nurul Syahida? Oh, lupakan persoalan itu! Kita sedang berbicara tentang novel, kan?

Saya tak berapa pasti tapi rasanya ini novel pertama yang saya baca di mana hero dan heroinnya pertama kali berjumpa dalam bab 62 out of 100 chapters. Can you imagine lebih separuh daripada novel ini tanpa kehadiran hero. Itulah kelebihan Nurul Syahida!

Sepanjang membaca AKN (walaupun sudah berkali-kali membacanya), saya merasai pelbagai emosi. Tersenyum, marah, sebak…tapi saya tak menangis. Untuk novel ini, tiada langsung air mata yang mengalir. Cuma ada beberapa part yang membuatkan bulu roma meremang. Macam seram aje novel ini…hihihi… ish, tidaklah! Novel ini kelakar! Bulu roma meremang bukan sebab ketakutan tapi kesedihan mengenang Fakri. Huhuhu… siapa Fakri ni? Bacalah, you will know!

Saya ketawa terbahak-bahak bila baca ayat ini;

Bunyilah bodoh! Bunyi! Bunyi! Bunyi!

Kenapa saya ketawa? Kerana saya pun pernah mengalami situasi ini. Konon nak pertahankan ego untuk tidak menghantar SMS atau membuat sebarang panggilan kepada si dia… tapi diri sendiri yang terseksa. Muahahaha… macam dah lari topik aje ni…

Okey, saya tabik Nurul Syahida! Dia menulis sesuatu yang menyedihkan dengan cara humor. Bahasa yang santai… sesuai untuk escapism. AKN punya banyak perkara yang ingin disampaikan tapi cara Nurul Syahida menulis seolah-olah kita membaca komik. Saya tak sukalah novel yang kadang-kadang sangat skema dan bahasa yang puitis penuh kiasan. Kita membaca sebgai satu hobi di masa lapang. Untuk merehatkan otak. AKN menepati citarasa saya.

Oh, ya! Sebagai satu amaran (bukan amaran keras), novel ini ada percampuran point of view. Certain part menggunakan first person point of view but then ada juga third person point of view. Ia mungkin akan menyebabkan pembaca terkeliru jika tidak membaca word by word. Jadi, jangan skip, ya!

Kesimpulannya, AKN adalah sesuatu yang saya cari semenjak berkecimpung dalam dunia pembacaan novel. Tiada watak yang sangat kaya-raya, tiada peristiwa kebetulan yang ‘terlalu dibuat-buat’ sifatnya, tiada seseorang watak yang digilai oleh tiga empat orang sekali gus, tiada perpisahan yang disebabkan orang ketiga, tiada tangkap khalwat dan kahwin paksa… jadi, apa yang ada dalam AKN? Aha! Sudah pastinya sesuatu yang tidak klise – yang tidak terduga endingnya!

p/s : saya suka Fakri tapi mengapa dia…..????

Friday, 18 October 2013

VALENTINA NERVOSA

NOVEL VALENTINA NERVOSA, KARYA NURUL SYAHIDA – TERBITAN BUKU PRIMA TAHUN 2011

Berketebalan 517 muka surat dengan 77 bab, novel ini mengenai perjuangan seorang gadis berusia 27 tahun yang bernama Mariyyah yang ingin melupakan dan meneruskan hidup tanpa bekas kekasihnya, Najmudin.
Untuk melupakan Najmudin sebenarnya tidak sesukar mana kalau Mariyyah sendiri yang mahu melupakan. Masalahnya, dia sendiri yang masih lagi tidak mahu melepaskan Najmudin dari hatinya. Dan setiap kali hadirnya Valentine’s Day, Mariyyah akan menangisi tarikh 14 Februari itu semenjak Najmudin memutuskan hubungan dengannya tiga tahun lepas. Sehinggakan rakan serumah Mariyyah, Soraya mengklasifikasikan penyakit Mariyyah itu sebagai Valentina Nervosa.
Saya menyesal kerana mengambil masa yang begitu panjang untuk membuat keputusan membeli novel ini! Sepatutnya sudah lama saya memiliki VN! Dan kesilapan besar saya adalah membuka muka surat terakhir hinggakan saya tahu dengan siapa akhirnya Mariyyah akan bertemu cinta. Adoi….! Walaupun begitu, kesilapan saya itu tidak sedikitpun mengurangkan rasa suspen sepanjang membaca VN. Tahniah, penulis! Saya masih tertanya-tanya dan rasa debaran semakin kuat semasa menghampiri penghujung VN. Saya tersenyum lebar bila sampai ke muka surat 280… bacalah sendiri, anda akan tahu kenapa saya tersenyum!
Apa saja yang dilihatnya di dalam ‘Facebook’ lelaki itu hanya akan berakhir dengan  dia menangis dan menyakiti dirinya sendiri seperti seorang wanita bodoh yang bernasib malang. Dan Najmudin tidak pernah tahu. Dia terus gembira di sisi teman wanita barunya, tidak sedar kesengsaraan yang sedang berlaku di hujung dunia yang satu lagi.

Kali ini tanpa membaca status Najmudin, dinding profil lelaki itu, atau apa saja yang tertera di situ, dia menekan skrol turun sehingga ke bawah, sehingga sampai ke suatu pautan yang tertulis ‘REMOVE’ dan Mariyyah menekannya.
Sudah lama dia patut melakukan hal yang demikian. Kali ini dia akan cuba melupakan lelaki itu dengan cara yang betul.

Bagi sesiapa yang need a break, yang nak lari dari kebiasaan membaca novel cinta yang melambak di pasaran, novel ini merupakan novel yang anda perlukan. Bukan menceritakan kisah cinta semata-mata. Semua yang terjadi dalam hidup Mariyyah dan teman-temannya seolah-olah pernah terjadi dalam hidup saya sendiri. Bukan déjà vu tetapi tahap realistik novel ini membuatkan kita rasa dekat dengan watak-watak yang menghiasi Valentina Nervosa. Bukan kisah orang kaya yang sangat kaya, orang cantik yang sangat cantik…
Saya tidak mahu menyentuh tentang jalan cerita VN. Anda akan tahu bila membacanya. Yang saya mehu kongsikan ialah cara Nurul Syahida bercerita. Tanpa penggunaan bahasa yang bersifat penuh sastera, novel ini tetap ada nilai di mata dan hati saya. Secara jujurnya, VN merupakan bacaan santai yang berilmu. Tidak semestinya kita perlu belajar sesuatu yang baru dengan bahasa yang memeningkan kepala. Oh, ya! Jangan jauh dari google search sebab banyak perkara yang dikongsi oleh Nurul Syahida dalam novel ini yang membuatkan kita tertanya-tanya. Penulis berjaya membuatkan saya rasa macam tak tahu apa-apa! Hehehe…

Dengan ini saya mengisytiharkan diri saya sebagai peminat Nurul Syahida! Lepas ini saya akan dapatkan novel-novel beliau yang lain.