Wednesday, 19 February 2014

Bicara Sekuntum Bunga Kertas

Aku mencebik. Idea gila Niny memang tak boleh pakai langsung. Muktamad!

“Aku cadangkan macam itu untuk kesenangan kau juga. Aku takut suatu hari nanti kau masuk hospital sebab urat leher kau tergeliat.”

Tanpa segan silu, dia terus sahaja bertenggek di atas meja kerjaku. Aku tak faham apa yang dia maksudkan. Jadi, lebih baik aku diam.

“Liza, kau dengar tak ni?!” jerit Niny. Agaknya dia sudah tak sabar bila aku buat-buat tak kisah saranannya bahkan aku buat muka poyo. Padan muka! Siapa suruh bagi idea macam itu pada aku?

“Dahlah, Niny. Tak perlu semua itu. Aku hidup lagi, kan? Sihat dan kuat!” balasku tanpa memandang wajahnya. Lebih baik aku main nombor-nombor di kalkulator ini.
            
Denial… hahaha… kalau dengan aku tak payahlah kau nak menafikan perasan kau tu. Badan kau memang sihat dan kuat tapi hati kau dah dijangkiti virus. Mengaku sajalah.” Niny masih lagi berusaha menghasut aku.

“Kau dah tahu hati aku tak sihat, yang kau sibuk-sibuk suruh aku pindah tempat, menghadap budak tu kenapa?”

“Aku tak nak leher kau terkehel.” Habis saja ayat dia, terus dia gelakkan aku. Nasib baik sudah tamat waktu bekerja. Sekarang pejabat sudah sunyi sepi. Hanya tinggal beberapa orang sahaja yang mungkin sedang menyiapkan kerja SEGERA.

“Pergilah!” halauku. Selagi tidak dihalau agaknya sampai Maghrib nanti Niny tetap akan bertenggek di mejaku. Entah kenapa lambat pula suami dia menjemput dia balik hari ini.

“Aku offer sekali aje, tau. Lepas ni jangan nak merayu pulak!” Niny bangkit dari mejaku dan berlenggang ke tempatnya sendiri.

“Mengarutlah!”

Dan aku dengar ketawa Niny yang terbahak-bahak itu. Sabar ajelah…

*****

Curi-curi pandang lagi. Bodoh betullah aku ni! Berapa kali dah aku arahkan kepalaku agar tetap pada kedudukannya tapi kepalaku masih berdegil. Bukan ada apa-apa pun kat belakang tu.

Di belakangku hanya ada sebuah komputer di atas sebuah meja. Kerusi yang terletak di situ pun kosong tanpa ada yang mendudukinya. Meja itu juga kosong. Seluruh kawasan itu kosong tanpa ada sesuatu yang bernyawa. Kosong…kosong…kosong…ohhhhhh…

Hahaha… Aku menipu diri sendiri. Sesungguhnya di belakang aku ini ada seseorang. Dua minggu yang lalu memang tempat itu kosong namun sejak ada orang baru melapor diri, tempat itu tidak kosong lagi. Di situ ada seorang lelaki yang telah menyebabkan aku bergaduh dengan akal waras dan akal bawah sedarku. Kadang-kadang hati dan jiwaku turut masuk campur dalam perbalahan itu. Dan adakalanya, krisis dalaman itu turut melibatkan campur tangan nafsuku. Eh, apa yang aku merepek ni?

Zareeny Rahmat : Psssttt…dia dengar zikir terapi diri weh…ko tergudass tak?

Eliza Elza : TAK!

Zareeny Rahmat : Malu nak ngaku lah tu.aku nk bg kau tips ni.kalau kau nk toleh2 dia..kau gilir2 kan belah kiri dan kanan.xlah penat tengkuk kau tu.aku xmo tlg kutip kalau leher kau TERcabut.hahahahaha…

Eliza Elza : Muahahahaha…lawaklah sangat kan?buat aje keja kau tu diam2

Zareeny Rahmat : Aku buat keja diam2 lah ni sbb tu aku whatsapp kau.eh, cik abg blkg kau tu xperasan ke kau asyik tertoleh?

Eliza Elza : Shadap yuuu!

“Chief!” laung bos dari dalam biliknya. Padan muka kau, Zareeny Rahmat! Kan dah kena panggil dengan bos. Gelak lagi macam Pontianak Harum Sundal Malam…kikikiki…

“Ye, bos!” Niny jawab dari tempat duduknya. Malas nak ke bilik bos lah tu. Macamlah aku tak tahu.

“Ada kawan awak upload gambar Bangla jaga jamban lagi ke?” tanya bos.

“Eh, tak adalah bos. Mana ada. Bos nak tengok ke?” jawab Niny sambil garu-garu kepala.

“Yang awak gelak sampai tepuk-tepuk meja ingatkan ada gambar ‘Jual Bangla’ lagi. Nak runtuh bangunan ni dengar awak gelak. Lagi sekali saya dengar, saya hantar awak ke Jabatan Imigresen. Biar awak jaga Bangla pulak lepas ni,” bebel bos.

Bos kami ni memang kuat membebel. Tapi hati baik. Mulut aje yang macam perempuan datang bulan sikit.

Eliza Elza : Padan muka kau, syaitonnnn….. (baca dengan intonasi Ahmad Nisfu…hahahaha)

Zareeny Rahmat : Mambang mabuk minum brandiiiiii~~~

Eliza Elza : Mengada lah kau.eh, bos tau psl post bangla kak eppa tu ke?

Zareeny Rahmat : Tau lah…aku tunjuk pd dia smlm.kau mana tau..asyik angau ngn Abang Gibran blkg kau tu

Eliza Elza : J

Zareeny Rahmat : Jangan bergerak!

Eliza Elza : Kau elok2 jd pegawai kastam sibuk nk jd polis plk…

Aku tengok Niny mengangkat telefonnya tinggi. Siku ditopangkan ke atas meja. Tapi tangannya sibuk menekan kekunci seolah-olah menaip sms.

Eliza Elza : Apa kau buat?

Zareeny Rahmat : Aku tgkp gmbr Abg Gib

Eliza Elza : Kau nk buat apa?

Zareeny Rahmat : Kau tunggu je lh..lps ni kau bukak pesbuk kau

Eliza Elza : Jgn buat keja gila ninyyyy!

Aku risau memikirkan tindakan yang Niny nak buat dengan gambar Gibran itu. Otak dia bukan boleh pakai sangat. Entah-entah dia nak santaukan si Gibran ni. Hisssyyy… takkanlah. Setahu aku hanya Kak Azian aje yang ada ilmu santau-menyantau ni.

          Zareeny Rahmat
Abang Gibs 24gig..hehehe.. –with Eliza Elza, Heffa Izzar and 14 others

*****

Peristiwa Niny memuat naik gambar Gibran itu sudah seminggu berlalu tapi kehangatannya masih terasa. Gambar itu masih mendapat komen daripada rakan-rakan ‘facebook’ku. Niny memang nak kena. Habis huru-hara hidupku. Nasib baik mak aku tak tanya apa-apa walaupun dia turut ‘like’ gambar itu. Mungkin dia tak ingat lagi siapa Gibran itu dalam hidupku. Atau mungkin mak fikir semuanya baik-baik saja.

“Eliza…”

Aku menoleh. Ya ALLAH, Gibran!

“Ya,” sahutku.

Aku memberi ruang kepada Gibran untuk masuk ke dalam pantry yang ‘comel’ ini. Dia melabuhkan punggung ke atas sebuah kerusi dalam pantry. Aku yang dari tadi berdiri jadi serba salah hendak duduk. Kalau tak ada Gibran memang aku target tempat itu tadi. Sekarang dia sudah menduduki kerusi yang menghadap tingkap itu. Hrrmm…tak apalah, aku boleh makan di mejaku.

“Eliza.”

“Ya.”

“Nak ke mana?”

“Nak balik tempat.”

“Tak makan?”

“Makan kat sana.”

“Marilah makan sekali.”

Subhanallah, tenanglah wahai hati.

It’s okay. Saya makan kat sana aje.” Tergagap-gagap aku membalas pelawaannya.

“Saya ada perkara nak cakap sikit dengan awak. Itupun kalau awak sudi.” Suara Gibran kedengaran mendatar. Tanpa nada mendesak apatah lagi memujuk.

Akhirnya aku mengalah. Kerusi di hadapan Gibran itu kutarik lalu aku duduk dengan penuh sopan atau dalam bahasa kasarnya kontrol ayu. Entah apa yang Gibran nak cakap dengan aku ni. Risau aku dibuatnya. Gibran mengambil bungkusan makananku lalu membantu aku meletakkan nasi bungkus aku itu ke dalam pinggan. Aku mengambil kesempatan untuk melihatnya dari jarak yang dekat setelah berminggu-minggu aku hanya mampu mencuri pandang.

Parut bawah dagunya masih jelas kelihatan itu sedikit pun tidak mencacatkan ketampanan Gibran. Aku memerhati bibirnya, mencari sesuatu yang aku sukai pada wajahnya iaitu seketul tahi lalat yang betul-betul terletak di atas permukaan bibirnya. Tahi lalat itu pernah suatu ketika dulu menjadi igauan kebanyakan pelajar sekolah kami. Bibir Gibran manis sekali dengan kehadiran tahi lalat itu.

Matanya…matanya yang hampir kuyu itu bagaikan tersenyum. Kini aku boleh memandang terus ke dalam matanya tanpa diganggu oleh kaca mata. Mata Gibran sudah tidak rabun lagi? Aku tersenyum mengenangkan kebodohan sendiri. Kenapa aku tak terfikir yang Gibran mungkin mengenakan sepasang kanta lekap untuk mengatasi masalah rabunnya itu. Tanpa kaca mata, dia kelihatan lebih ‘dewasa’. Sedangkan dulu kaca matanya sentiasa membuatkan Gibran kelihatan comel.

“Awak kenyang?” soal Gibran.

Suaranya mengejutkan aku dari lamunan.

“Apa?” soalku semula.

“Awak kenyang ke dengan memerhati wajah saya?” tanya Gibran dengan selamba.

“Tak,” jawabkku malu-malu.

“Kalau tak, nah…makan nasi awak ni,” tutur Gibran sambil menghulurkan nasiku.

Sekali lagi aku terpana. Adakah ini Gibran yang sama yang aku kenali sepuluh tahun yang lalu? Wajahnya ternyata tidak berubah. Masih cerah hinggakan aku tak percaya dia pernah mewakili pasukan bola sepak Negeri Sembilan dan skuad bola sepak kebangsaan bawah dua puluh tahun. Tapi kenapa sikapnya jauh berbeza dari apa yang aku ingat mengenainya?

“Eliza…makanlah,” gesanya lagi. Aku jadi malu sendiri.

“Nak cakap pasal apa tadi?” tanyaku untuk menutup kemaluan…eh..bukan-bukan…maksud aku untuk menutup rasa malu. Gelabah punya pasal lah ni…adoyai…

“Dah lama awak kenal saya, kan? Tahun bila kita berkenalan? Saya tak ingat,” getus Gibran. Hatiku rasa macam dimamah harimau. Sakitnya… dia langsung tak ingat aku!

“2003,” jawabku tanpa jiwa. Entah mana pergi jiwaku tadi.

“Dah sepuluh tahun kan?”

“Tak. Sebab tujuh tahun awak hilang. Saya kenal awak tiga tahun aje.” Pantas aku membantah kata-katanya.

“Saya tak hilang. Mana ada saya hilang. Awak yang tak pernah cari saya.” Dia pula yang mengatur ‘serangan’.

“Awak tak pernah hilang, buat apa saya cari?” Giliran aku pula melancarkan serangan balas.

“Eliza, kita takkan dapat teruskan hidup dengan normal selagi awak bersikap macam ini. Sejak saya datang tiga minggu lepas, saya sedar awak mengelakkan diri daripada saya. Tapi yang peliknya, awak boleh pula curi-curi pandang saya. Saya tak tahu apa yang awak fikirkan tentang saya. Saya rasa ada sesuatu yang belum selesai antara kita. Boleh kita selesaikan sekarang sebab saya nak bekerja dengan tenang.” Dengan panjang lebar Gibran meluahkan perasaannya.

MasyaALLAH, dia sedar aku selalu memandangnya dari ekor mata ketika aku pura-pura menoleh atau pura-pura mengambil barang yang jatuh di atas lantai. Mana aku nak letak muka?

“Saya…saya…”

“Terus-terang pada saya. Apa sebenarnya masalah awak? Dulu kita elok berkawan. Bila saya diperkenalkan dengan awak masa mula-mula masuk dulu, saya ingatkan kita boleh kembali rapat macam dulu. Boleh saling mengusik, makan bersama…tapi semua itu tak terjadi. Saya ada buat salah pada awak?”

Aku menunduk. Nasi yang masih penuh dalam pinggan aku kuis-kuis dengan jari. Jari yang kosong tanpa sebarang cincin. Jari orang yang masih single. Jari yang kurus tak ada isi. Jari yang selalu sibuk mengetuk key board untuk menyara hidup. Jari yang dulu selalu aku gunakan untuk menulis puisi untuk Gibran. Jari yang…

“Eliza!”

Aku tersentak! Tanpa berfikir aku terus sahaja berlalu dari pantry dan hampir-hampir melanggar bos yang sedang menggumam bahasa yang tidak kufahami.

*****

“Kau terlalu mengikut perasaan. Aku rasa Gib tak ada niat pun nak kutuk kau atau nak mengungkit sikap kebudak-budakan kau tu. Dari cerita kau ni, aku rasa Gib dah cuba buat-buat tak ingat apa yang terjadi antara korang berdua dulu sebab dia nak membina environment yang baru dengan kau.” Niny memujuk sambil mengusap bahuku.

“Aku tak tahu macam mana nak mulakan. Semua yang berlaku dulu masih dalam ingatan aku. Aku mengaku selama tujuh tahun ini aku memang tak ingat dia sangat tapi bila jumpa balik, aku rasa lain. Aku dapat rasa perasaan yang pernah dulu aku rasa terhadap dia,” luahku dengan lemah.

Sejujurnya, setiap kali berbicara tentang Gibran, hatiku akan terasa sakit yang sukar untuk aku gambarkan. Mengapa aku jadi begini? Bukankah dulu apa yang aku rasa itu hanya suatu perasaan anak remaja yang mudah hilang ditelan masa… tetapi mengapa rasa itu tidak hilang bahkan terus menjadi barah di hatiku? Adakah aku masih cintakan Gibran?

“Liza, baik kau berterus-terang pada Gib. Biar semuanya jelas. Aku risau tengok kamu berdua begini. Masing-masing menyimpan rahsia hati tanpa ada penyelesaian.

*****

Sudah dua hari Gibran tidak datang kerja. Dia pergi mana?

“Psstttt…”

Aku mendongak menghadap Niny. Cantikkkk cara dia memanggil aku. aku mengangkat kening sebagai tanda bersedia untuk mendengar apa jua yang dia ingin beritahu.

“Abang Gibran kau cuti seminggu,” tukas Niny bersungguh-sungguh.

“Dia sakit ke?”

Niny menggeleng. “Sinilah!” gamitnya.

Aku melangkah lemah mendekati meja Niny. Dapat aku rasakan degupan jantungku yang semakin laju. Entah apa yang berlaku ke atas Gibran hingga dia bercuti seminggu.

“Liza, aku harap kau sabar, ya. Sebenarnya… Gibran nak bertunang.”

“Bertunang? Bila?”

“Hujung minggu ni. 28 Disember. Liza, please be strong.”

*****

Eliza Elza
Sakitnya saat aku mengetahui dia akan bertunang. Selama ini aku berpegang dan percaya dengan kata-katanya yang dia masih 'single'...
Bukan salah dia juga sebab dia tak pernah tahu yang aku ada hati terhadapnya. Mungkin dengan membiarkan dia bahagia, aku juga akan bahagia. Insyaa ALLAH…
Untuk 'dia' yang akan bertunang... i'm sorry but i love you...

Mungkin kita pernah rasa tentang cinta,
Yang takdirnya bukan untuk kita,

Mungkin ini adalah cara meluah cinta,
Tanpa berkata atau berpandang mata,

I’m sorry but i love you,
I’m sorry if i miss you,
Even if i can’t have you ,
You know i’ll always be there for you,

Mungkin aku mencintaimu walaupun engkau tak pernah tahu,
Mungkin aku mencintaimu tanpa lelah atau pun jemu,

Mungkin kita tak bersama di takdirkan,
Tak mengapa asal kau bahagia,

Biar aku mencintaimu biar tiada siapa yang tahu,
Biar aku mencintaimu dalam diam ataupun bisu,

I’m sorry but i love you,
I’m sorry if imiss you,
Even if i can’t have you,
You know i’ll always be there for you.
I’m sorry but i love you..

P/S: awak tak pernah bersalah...saya yang berangan... 

Eliza Elza
Aku umpama sekuntum bunga kertas… yang tidak cantik, tidak wangi, tidak menarik… but that’s it! Aku tetap sekuntum bunga! Yang fragile…
Dan aku sebenar-benarnya tidak menyangka yang aku akan terpengaruh dengan berita kebahagiaannya…  

No! aku tak pernah terlintas untuk melihat keruntuhan hubungannya. Walaupun ‘I’m happy for you’ is the hardest lie, tetap juga aku mengharap agar dia terus bahagia. Aku tidak pernah berdoa pun untuk kegagalannya dalam cinta yang dia bina. Biarlah aku sakit seorang…

Selama ini aku memendam rasa cinta itu…dan aku rasa sakit. Tetapi sakit saat mengetahui dia sudah milik orang lain ternyata lebih menusuk… dan aku tak mungkin ada peluang lagi…

Eliza Elza
Bukan aku tak mahu melupakan... aku dah cuba... tapi buat masa sekarang aku belum mampu... and that fake smile, akan terus menemani aku sehingga aku pulih. Pulih??? Entah bila lah agaknya. Ini baru bertunang. Andai kata dia berkahwin dalam masa terdekat dan aku belum sembuh dari kelukaan ini, adakah luka yang masih berdarah itu akan tertoreh dan terguris lagi?

*****

Gibran datang ke pejabat semula hari ini. Wajahnya tergambar jelas seri seorang lelaki yang sedang bahagia. Aku tidak tahu bagaimana harus bereaksi tatkala melihat senyuman lebarnya. Berdosakah aku menyimpan rasa sedih atas kegembiraan sahabatku?
Sepanjang hari aku berteleku di tempat duduk. Sedikit pun aku tidak menoleh ke belakang sebagaimana hari-hari yang lalu. Hanya Tuhan yang tahu betapa sakit hatiku. Cinta yang tidak berbalas itu umpama seseorang yang jatuh ke dalam gaung dan hanya sempat mencapai dahan yang berduri untuk menyelamatkan diri. Terperangkap dengan kehendak hati, yang ingin terus berpegang pada cinta itu. Sakit yang dirasa pun tidak menghalang seseorang itu untuk terus berpaut kerana rasa sakit itulah yang menyebabkan dia terus hidup.
“Ehem…” Gibran berlalu setelah berdehem. Ada sehelai kertas ditinggalkannya di atas mejaku.
Setelah membaca bait ayat yang tercatat pada kertas itu, air mata terus mengalir laju.
“saya dah baca status2 awak di facebook. saya rasa saya patut minta maaf. saya tahu perasaan 'tak dapat orang yang kita sayang'. sekali lagi saya minta maaf. yang terbaik untuk kita tak semestinya apa yang kita mahu. awak mungkin tahu apa yang awak mahu. tapi awak tak tahu apa yang Tuhan dah persiapkan sebaik-baiknya untuk awak. saya doakan awak baik2. insyaALLAH, awak akan bertemu dia yang terbaik untuk awak. dalam ramai2 dan di antara semua, ada dia. dan yang paling utama nan satu, Dia.”-          Abdul Halim Gibran bin Zainuddin

Tuesday, 11 February 2014

Jodoh Sekufu, Sealiran Bidang

Jodoh Sekufu, Sealiran Bidang

            Aku membiarkan Haiza mengikut langkahku masuk ke dalam bilik sedangkan barang-barangnya telah pun aku letakkan di dalam bilik tetamu di sebelah bilik tidurku. Aku tidak kisah akan kehadiran Haiza di dalam bilik ini kerana bilik ini dahulunya menjadi medan lepak Haiza setiap kali bertandang ke Kuching. Sekarang situasinya sudah berbeza. Dia datang bersama suami, jadi bilik tidurku bukan lagi wilayah jajahannya.

Kalau ditanya kepadaku, sudah pasti aku lebih suka situasi sebelum ini. Jarang-jarang dapat bertemu, kami hanya akan tidur apabila mata betul-betul sudah tidak mampu bertahan lagi. Selalunya malam-malam yang kami lalui akan kami penuhkan dengan pelbagai cerita, sepanjang waktu yang kami tidak dapat bersama sedangkan segala kisah-kisah itu sudah kami kongsikan dengan bantuan teknologi mutakhir. Berbicara tanpa bertentang mata memang tidak puas, kan?

Aku mendekati jendela yang tertutup. Aku leka menghayati pemandangan di luar bilik melalui cermin lut cahaya itu. Haiza aku biarkan buat-macam-bilik-sendiri. Sementelah, bilik ini bagaikan rumah kedua bagi Haiza sebelum dia bergelar isteri.

“Masih lagi mengintai dari tirai kamar?” soal Haiza.

Aku menoleh mencari kelibatnya. Dia sedang duduk di meja belajarku, menghadap komputer riba yang memang terpasang sebelum aku menyambut kehadirannya bersama suami di ruang tamu tingkat bawah sebentar tadi.

“Apa?”

“Jangan buat-buat tidak faham. Saya komen entri ini guna akaun gmail awak nanti, padan muka awak!” ugut Haiza.

Aku mendekati Haiza. Aku turut merenung monitor komputer riba yang sedang memaparkan blog dengan templat ringkas berlatar belakang putih itu.

“Buatlah kalau awak berani,” cabarku.

“Baiklah, saya taip komen sekejap,” sahut Haiza sambil tangannya mula mendarat di atas papan kekunci. “I love you lillahi taala…

“Haiza… apa yang awak taip ini? Cepat padamkan semula,” arahku apabila aku terpandang ayat yang dia taipkan di ruang komen blog milik Hisyammudin itu.

Haiza tergelak kecil. “Tahu takut… Tadi beria sangat awak ugut saya. Saya tahulah, takkanlah saya mahu letak komen begitu. Saya tahu dia sudah berkahwin.”

“Macam mana awak tahu?”

“Eh, awak ingat awak seorang peminat dia? Saya pun peminat dia, tahu?”

Aku mengambil sebuah lagi kerusi lalu duduk di sebelah Haiza. Bahunya menjadi sandaranku. Kupejamkan mata untuk menahan air mata dari menitis. Aku sudah berjanji kepada diri sendiri untuk menjadi gadis yang tabah dan kembali ceria seperti dahulu.

“Lin, awak tidak boleh terus begini. Sedangkan selama ini awak tidak pernah berusaha, kenapa awak perlu kecewa?”

“Haiza, saya tahu awak ambil berat tentang diri saya. Terima kasih. Tetapi biarlah saya begini buat masa ini. Insya ALLAH saya akan pulih dari kesedihan ini.” Dengan lemah, aku membalas kata-kata Haiza. Tidak pernah aku ketahui bahawa perasaan sedih boleh membuatkan seseorang menjadi tidak bertenaga. Aku rasa mahu tidur selama-lamanya.

Astaghfirullah al ‘azim!

“Bukankah dahulu saya pernah menasihati awak? Awak tidak akan dapat ikan yang awak mahu dengan hanya memandang ke dalam sungai dan melihat ia berenang. Ikan itu tidak akan melompat sendiri ke arah awak. Awak perlu memancing atau dengan apa cara sekali pun yang dibenarkan untuk mengambil ikan itu. Kalau awak tidak dapat ikan itu, sekurang-kurangnya awak sudah mencuba. Mana tahu, dapat ikan yang lain…”

“Eiii… awak samakan dia dengan ikan? Tidak senonoh betul!” Aku tersengih di hujung bicara. Analogi yang disampaikan oleh Haiza itu sudah lama aku dengar. Semenjak dia mengetahui yang aku tertarik kepada Hisyammudin lagi.

“Awak pun tahu, ada banyak perkara yang menjadi halangan. Yang utamanya, saya seorang muslimah yang terikat dengan syariat dalam perhubungan lelaki dengan wanita. Bagaimana saya mahu mendahului lafaz cinta? Lagipun, dia tidak pernah mengenali saya. Cuma saya sahaja yang mengagumi dia dalam diam. Sekiranya saya berani berterus-terang sekali pun, saya tidak pasti sama ada dia boleh percaya atau tidak. Kita tidak perlu sebab untuk jatuh cinta tetapi kita perlu memberi sebab untuk meyakinkan orang menerima cinta kita.”

Haiza memeluk bahuku. Perlahan-lahan tangannya mengusap bahu anak manja ini. Walaupun kami sebaya, aku memang gemar bermanja dengan Haiza.

“Apa salahnya perempuan mendahului lafaz cinta? Bukankah Saidatina Khadijah yang mula-mula menyampaikan hajat untuk menjadi isteri baginda Rasulullah salallahu ‘aiahi wasallam? Islam tidak menghalang perkara yang baik tetapi kena ikut garis panduan yang diajarkan. Awak sewajarnya menggunakan orang tengah. Bukankah awak ada mengenali abang-abang naqib dalam persatuan yang diterajui Hisyammudin itu? Mereka boleh menjadi penyampai hajat awak. Sekarang sudah terlambat. Saya harap awak redha. Berdoa banyak-banyak supaya awak bertemu jodoh yang terbaik.”

“Sebenarnya saya pernah membuat perancangan mahu meluahkan perasaan melalui surat yang saya selitkan dalam buku. Saya sendiri yang akan menghulurkan buku tersebut semasa mesyuarat agung persatuan tahun ini. Nampaknya saya tidak sempat. Saya terlambat dan terlewat.”

Haiza membawa aku ke dalam pelukan dengan lebih erat.

“Saya salah seorang peminatnya, jadi saya tidak hairan awak boleh jatuh cinta. Tetapi saya tidak menyangka awak akan menjadi separah ini. Teori saya, seorang public figure akan mencari jodoh dalam lapangan yang sama. Baru-baru ini, pemain bola sepak negara telah menyunting seorang pemain boling untuk menjadi isterinya. Artis dengan artis, ahli sukan dengan ahli sukan, novelis dengan novelis… Begitu juga dengan Hisyammudin. Mesti dia mahu seorang wanita dari bidang yang sama. Kalau menurut teori saya ini, saya jangkakan jodoh awak seorang pegawai polis.”

Kami sama-sama tergelak selepas Haiza menyatakan teorinya. Polis? Kami ada kenangan dengan seseorang yang bekerja sebagai pegawai polis. Kisahnya biarlah menjadi rahsia kami berdua.

“Terima kasih kerana sentiasa berada di sisi saya, saat susah dan senang. Terima kasih kerana menjadi ‘diari bernyawa’ saya. Dan terima kasih kerana hari ini awak datang ke Kuching hanya untuk melawat saya setelah awak membaca status-status gila saya di facebook. Saya benar-benar terharu.”

Kurebahkan kepalaku ke dalam dakapan Haiza. Kehangatan kasih sayangnya dapat kurasai.

“Amboi, manjanya! Umur sudah dua puluh satu sepatutnya awak bertambah matang. Erm… mungkin sebab itu awak tidak ALLAH jodohkan dengan Hisyammudin. Awak tidak sekufu dengannya.”

“Sekufu?” tanyaku. Aku tidak faham. “Sekufu dari segi apa?”

“Sekufu dari segi mentaliti. Dia seorang yang sangat matang, berkarisma, bijak, berpendidikan tinggi. Saya bukan hendak menghina, tetapi cuba bandingkan dengan diri awak. Awak kebudak-budakan. Hrrrmmm… tidak sesuai.”

Aku mengangguk-angguk. Betul juga pendapat Haiza itu. Barangkali, disebabkan itu aku tidak berjodoh dengan Hisayammudin. Sebenarnya, selepas beberapa hari berita pernikahan mereka sampai ke telingaku, aku mula menyiasat siapa suri hati Hisyammudin. Rupa-rupanya dia seorang aktivis dalam persatuan bukan kerajaan yang diterajui oleh Hisyammudin. Dia sudah hampir tiga tahun bersama membangunkan persatuan itu menjadi sebuah agensi yang dipercayai untuk menyalur sumbangan ke Palestin sedangkan aku baharu hendak mengorak langkah menyertai mereka. Mereka berdua memang sekufu.

“Lain kali, awak jangan bataskan doa awak dengan menyebut satu nama. Sepatutnya awak minta jodoh yang baik, bukan minta Hisyammudin menjadi jodoh awak. Sebab itu apabila dia sudah tidak dapat awak miliki, awak jadi nanar sendiri kerana awak kehilangan satu nama untuk disebut dalam doa,” nasihat Haiza lagi.

“Sudahlah. Jom turun. Kasihan suami awak ditinggalkan keseorangan di bawah.” Aku berdiri sambil mencuit bahu Haiza.

“Dia tidak keseoranganlah. Awal-awal lagi ayah awak tarik dia berdiskusi tentang isu penyebaran syiah yang berleluasa di negara kita sekarang. Entah-entah dia yang terlupa dia datang bersama saya ke sini.” Haiza mengomel namun tetap jua dia berdiri, menurut ajakanku.

“Malam ini saya mahu tidur di bilik awak. Kita intai blog isteri Hisyammudin,” bisik Haiza di telingaku ketika kami keluar dari bilik. Aku tersenyum sahaja.

Besar makna kehadiran Haiza kali ini. Dia benar-benar seorang sahabat yang memahami diriku. Dia tidak sekadar bersetuju dengan setiap tindakanku tetapi dia menegur kesilapan yang telah aku lakukan. Itulah setepatnya tugas seorang sahabat. Sejauh soal Hisyammudin, aku yakin aku mampu melupakan rasa cinta yang aku rasakan terhadapnya tetapi bukan sekarang. Suatu hari nanti… insya ALLAH. Doakan aku, ya!

Wednesday, 5 February 2014

Cintailah Kekuranganku (cinta dan jodoh)

sebuah cerpen berkisar tentang hakikat cinta dan jodoh. kita boleh jatuh cinta tetapi tidak semestinya cinta itu merupakan jodoh kita.

Hari ini merupakan hari bahagia bagi Muslihah. Zohor nanti Muslihah akan diijabqabulkan dengan tunangannya setelah enam bulan mengikat janji. Lelaki itu, seorang doktor bernama Al-Hussain bin Abdullah.

‘Nama sebenar Ibnu Sina, tokoh perubatan Islam,’ bisik hati Fakhir tatkala melihat nama mempelai yang tercetak di atas kad jemputan walimatul urus yang diterima sebulan yang lalu.

Satu keluhan dilepaskan. Fakhir tersandar di sisi katil. Semenjak selesai menunaikan solat subuh tadi dia termangu di atas sejadah. Mencari kekuatan untuk berhadapan dengan kenyataan bahawa Muslihah akan menjadi suri hati Doktor Al-Hussain. Tanpa sedar, bibir meratip nama Muslihah sementara jari-jemarinya menggerakkan butir-butir tasbih satu per satu.

Astaghfirullah al’azim! Fakhir menghentikan perbuatan yang sia-sia itu. Perlahan-lahan dia bangkit dari duduk iftirasy (duduk seperti tahiyat awal). Baharu terasa kakinya kebas sedangkan hampir sejam dia mengelamun. Tubuh yang tidak bertenaga itu rebah di atas katil. Mata terpejam dengan tangan di dahi. Fakhir mengeluh lagi!

*****

            Kunjungan daripada Encik Karim bersama-sama isterinya sudah dijangka oleh Fakhir. Tetapi dia belum bersedia lantas dia menguncikan diri di dalam bilik. Dari sebalik pintu kayu itu, Fakhir mengintai perbualan tetamu-tetamu itu dengan abinya yang sedang duduk di ruang tamu.

            “Abang Haji, saya minta maaf bagi pihak Muslihah dan keluarga saya, kami terpaksa memutuskan janji antara kita. Kami pulangkan cincin ini kerana Muslihah tidak lagi berhak untuk memakainya.”

            “Karim, tidak perlulah sampai hendak pulangkan cincin. Kami sudah memberi dengan ikhlas, tidak elok pula kalau kami ambil semula. Simpanlah. Kalau Muslihah tidak mahu memakainya, Siti pakailah,” ujar Tuan Haji Mokhsin, merujuk kepada isteri Encik Karim.

            Encik Karim menarik semula bekas cincin yang dihulurnya.

            Tuan Haji Mokhsin menyambung; “Soal putus tunang, saya sedikit pun tidak menyalahkan keluarga Karim. Kalau saya berada di tempat Karim, pasti saya juga akan melakukan hal yang sama. Saya kesal, Karim. Dia yang saya didik dengan ilmu agama, sanggup melakukan hal itu.”

            “Budak-budak, Abang Haji. Selalu menurut kata hati. Lebih-lebih lagi dalam alam pertunangan. Darah manis kata orang. Fakhir itu bukan tidak baik. Tetapi, itulah… semakin baik seseorang itu, semakin kuatlah syaitan menggodanya. Tersilap langkah, masuk perangkap syaitan. Abang Haji nasihatkanlah dia supaya bertaubat. Insya ALLAH, dosanya akan diampunkan. Kami pun tidak menyimpan dendam. Dalam hal ini, Muslihah turut bersalah.”

            Tuan Haji Mokhsin mengangguk. Dikerling seketika bilik anak terunanya. Bukannya dia tidak tahu yang Fakhir mendengar perbualan mereka. Dia perlukan masa untuk mengampunkan dosa anaknya. Hati tuanya yang terluka belum mampu terubat hanya dengan lafaz maaf daripada Fakhir.

            “Ikutkan hati, sudah saya sebat si Fakhir itu seratus kali!” getus Tuan Haji Mokhsin.

            Encik Karim tergamam sesaat. Dia kemudiannya tersenyum nipis. Tangan Tuan Haji Mokhsin dipegang. “Fakhir tidak perlu disebat, Abang Haji. Mereka berdua belum sampai ke tahap berzina seperti perumpamaan celak yang masuk ke dalam bekasnya. Kalau menurut pendapat saya, elok sahaja mereka disatukan tetapi Muslihah yang beria-ia mahu memutuskan pertunangan ini. Dia tidak dapat menerima Fakhir lagi katanya. Sebagai orang tua, saya mahukan yang terbaik untuk anak-anak kita. Malu juga sebenarnya hendak menghadap Abang Haji untuk menyampaikan hasrat Muslihah ini.”

            Badan Tuan Haji Mokhsin terhinggut-hinggut. Dia menangis!

            “Muslihah sudah saya anggap macam anak sendiri. Saya memasang angan-angan untuk melihat Fakhir bersatu dengan Muslihah dengan ikatan yang sah. Saya mengimpikan kehadiran Muslihah ke dalam rumah ini akan membawa seri setelah ummi Fakhir tiada lagi. Fakhir… Fakhir…”

            Encik Karim mendekati Tuan Haji Mokhsin yang tertunduk di hadapannya. Dengan mesra, tubuh lelaki itu ditariknya ke dalam pelukan.

            “Insya ALLAH, tidak akan putus ukhuwah kita hanya disebabkan kesilapan Fakhir ini. Abang Haji jangan risau. Muslihah tetap menganggap Abang Haji sebagai abinya.”

            Puan Siti Aisyah menyampuk; “Perempuan, Abang Haji… sedikit sahaja silap lelaki pun kami boleh mengamuk dan berdendam, inikan pula kesalahan besar seperti yang telah Fakhir lakukan. Sudah saya suruh dia fikir masak-masak, buat solat istkhiharah, akhirnya… inilah keputusan dia. Saya sendiri terkilan kerana saya yang mengenali Fakhir terlebih dahulu sebelum dia datang untuk bertaaruf (berkenalan) dengan Muslihah. Fakhir anak murid saya, saya tahu benar perangai Fakhir. Hendak buat macam mana, hati dan perasaan tidak boleh dipaksa. Anggaplah ini ujian dan pengajaran buat kita semua, terutamanya untuk Fakhir.”

            Air mata yang sekian lama bergenang, perlahan-lahan menuruni pipi Fakhir. Sebak mencengkam jiwa namun esakan hanya dilepaskan di dalam hati. Semua ini berlaku kerana silapnya yang mendahului nafsu.

‘Ampunkan saya, Muslihah,’ pinta Fakhir dengan kesal.

*****

            Air mata yang mengalir di alam lamunan Fakhir turut mengalir di alam realiti. Basah matanya mengenangkan peristiwa dua tahun yang lalu. Fakhir menarik nafas panjang sambil menyeru fikirannya yang masih terlekat di sudut yang dia ingin lupakan sedaya-upaya.

            Fakhir duduk di birai katil, cuba mengingati apa yang membuatkan dia tersedar dari lamunan tadi. Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu biliknya. ‘Oh, mungkin ketukan itu yang membuatkan aku tersedar!’

            “Ya, abi!” laung Fakhir dari dalam bilik. Dia yakin Tuan Haji Mokhsin yang mengetuk pintu bilik itu. Siapa lagi kalau bukan abinya?

            “Kamu sudah bersiapkah? Ayah Karim kamu minta kita sampai awal di masjid. Sebagai wakil menyambut rombongan pihak lelaki. Lekaslah! Abi tunggu kamu di luar.”

            Fakhir menyahut dengan lemah; “Baiklah, abi.”

            Fakhir melangkah ke arah almari pakaiannya. Baju Melayu yang sudah diseterika malam tadi diambil. Tangannya membelai baju Melayu yang diperbuat daripada kain satin berwarna putih itu. Dia sengaja memilih baju itu untuk menghadiri hari istimewa Muslihah. Kain itu sepatutnya menjadi persalinan saat dia dinikahkan. Sekarang, semuanya sudah hancur!

            ‘Allahumma yassir wala tu'assir. Rabbi tammim bilkhoir. Birohmatika Ya Arhamarrohimin. Ya Allah, permudahkanlah. Jangan dipersulitankan dan Kau akhirkanlah dengan kebaikan.’

*****

            “Kamu nekad, Muslihah? Tidak mahu memberi peluang kepada Fakhir?”

            Muslihah menggeleng. “Dia bukan hanya sakitkan hati Muslihah. Perbuatan dia itu mengundang murka ALLAH. Muslihah tidak boleh terima lelaki macam itu.”

            “Fakhir cintakan Muslihah dan ibu yakin Muslihah juga cintakan Fakhir. Fikir baik-baik, nak. Ibu tahu, kesilapan Fakhir itu sangat besar tetapi ALLAH itu Maha Pengampun. Tidakkah Muslihah rasa Fakhir berhak mendapat keampunan daripada Muslihah?” Puan Siti Aisyah cuba memujuk.

            Sebagai seorang ibu, dia tahu getar rasa cinta yang dirasakan anaknya terhadap Fakhir. Dia tidak mahu anaknya membuat keputusan terburu-buru angkara amarah. Namun dia juga sedar, siapa yang tidak marah andai maruah diri yang dipelihara cuba diragut oleh insan tercinta? Puan Siti Aisyah faham… tetapi dia cuba merasionalkan fikiran anak gadisnya. Kadang-kadang kerana cinta, manusia memang mudah menurut hawa nafsu.

            “Ibu, seorang lelaki yang mencintai seorang gadis harus menjadi pelindung kepada gadis itu. Bahkan, lelaki punya tanggungjawab untuk melindungi setiap wanita waima seseorang yang tidak dikenali sekalipun. Muslihah tunang Fakhir, ibu. Hanya tinggal dua bulan sebelum pernikahan kami, mengapa dia tidak boleh bersabar?”

            “Sudah puas ibu memujuk Muslihah. Nampaknya Muslihah memang betul-betul mahu memutuskan pertunangan ini. Muslihah tidak kesian kepada abi? Dia sayangkan Muslihah seperti anak sendiri. Ibu serba salah.”

            “Maaf, ibu… Mujahid menyampuk,” tukas Mujahid yang sedari tadi hanya menjadi penonton. “Mujahid sokong keputusan adik. Fakhir sudah tunjukkan yang dia tidak layak untuk menjaga adik. Ibu mahu serahkan adik ke tangan lelaki yang tidak bertanggungjawab itu?”

            “Mujahid… ibu bukan hendak menyokong tindakan Fakhir. Tidak sama sekali. Salah tetap salah. Cuma ibu minta, bersikap adillah terhadap dia. Selama ini, Fakhir yang kita kenal sangat menjaga akhlaknya. Solatnya terpelihara, urusan duniawinya tidak sedikit pun mengganggu urusan keagamaannya. Dia seorang anak yang baik, terjaga tingkah lakunya dengan orang tua, lembut tutur katanya. Mengapa kita menghakimi dia hanya disebabkan satu kesilapan yang telah dia lakukan? Semua kebaikan dia terhakis oleh satu kesilapan? Itu yang kamu belajar di universiti?” Puan Siti Aisyah masih mempertahankan pendapatnya.

            Muslihah menoleh abangnya, menghantar isyarat supaya abangnya berdiam diri. Perbincangan yang berlangsung itu mengenai masa hadapannya, biarlah dia sahaja yang meyakinkan ibu mereka.

            “Ibu tidak mahu Muslihah menyesal…” Puan Siti Aisyah tidak mampu menyambung ayatnya. Tangisan pilu tiba-tiba tercetus. Lantas, tangannya ditekup ke wajah. Menyembunyikan esakan.

            Muslihah meluru mendapatkan Puan Siti Aisyah. Tubuh ibunya dipeluk dengan erat. Berserta rasa berdosa yang menebal, Muslihah turut menangis di bahu Puan Siti Aisyah. Jika keputusannya itu membuatkan ibu menangis, dia rela kehilangan jiwa dan raga asalkan ibu bahagia. Muslihah sedar betapa besar dosa menjatuhkan air mata ibu. Redha ALLAH itu terletak pada redha ibunya. Melihat air mata itu, dia sendiri jadi keliru; siapa yang lebih berdosa? Dia atau Fakhir?

            “Muslihah terima Fakhir, ibu.”

            “Jangan!”

            Hampir serentak, Mujahid, Muslihah dan Puan Siti Aisyah menoleh ke arah suara itu. Encik Karim sedang berdiri di ambang pintu dengan wajah yang serius.

            “Muslihah, jangan salah faham nasihat ibu. Ibu mahu Muslihah fikirkan baik-baik, dengan tenang, bukan membuat keputusan melulu begini,” terang Encik Karim sambil menyentuh bahu anaknya.

            Di sebalik ketegasan yang dia  tunjukkan di hadapan anak-anaknya, jauh di sudut hati, dia sangat sayangkan mereka. Muslihah anaknya yang bongsu; degil, keras kepala dan berperangai sedikit gila-gila. Entah kenapa, saat mengenali Fakhir melalui taaruf yang direncanakan oleh Puan Siti Aisyah, Muslihah berubah menjadi gadis yang anggun dan sopan. ‘Setiap kejadian pasti ada hikmahnya.’

            “Ayah tidak bersetuju jika Muslihah menerima Fakhir semula kerana desakan ibu. Hati seorang ibu, Muslihah… apabila dia sudah sayang, dia akan sayang sungguh-sungguh. Ayah tiada masalah sama ada Muslihah mahu menerima Fakhir kembali atau tidak. Tetapi, sayang… dengarlah nasihat ayah ini. ALLAH berfirman; “Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) ALLAH. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.” Sikap pemaaf perlu melekat dalam diri Muslim dan menjadi akhlak karimahnya sebagai buah iman, taqwa dan ibadahnya kepada ALLAH. Dengan sikap pemaaf, seorang Muslim dicintai ALAH dan disenangi manusia. Dalam bahasa Arab, maaf diungkapkan dengan kata al-‘afwu. Kata al-‘afwu bererti terhapus atau menghapus. Jadi, memaafkan mengandung pengertian menghapus luka atau bekas-bekas luka yang terdapat dalam hati.”

            Muslihah membetulkan duduknya di antara Puan Siti Aisyah dengan Encik Karim. Dia kesal kerana dia sedar segala pergolakan yang berlaku dalam keluarganya ketika itu adalah disebabkan kesilapan dirinya dan juga tunang tercinta. Akalnya mencari jalan untuk merungkai kekusutan umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak terputus dan tepung tidak berselerak.

            “Ayah, ingatkah ayah pada riwayat Nabi Adam a.s? Nabi Adam a.s tewas untuk patuh pada arahan ALLAH agar tidak menghampiri sebatang pohon kurdi yang ada di dalam syurga. Arahan itu akhirnya diingkari hanya kerana dihasut oleh iblis agar memakan buah dari pohon tersebut. Baginda dihalau daripada syurga bersama-sama Hawa. Syukur, ALLAH itu Maha Pengampun, Dia mengampunkan dosa Nabi Adam a.s namun baginda tetap dihukum dan turut diberi amaran; Allah berfirman dalam surah Al-A'raf  ayat 24 : “Turunlah kamu sekalian, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan (tempat mencari kehidupan) di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan.”  Ketahuilah, ayah, ibu, abang… dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, Muslihah maafkan kesalahan Fakhir. Dan anggaplah keputusan Muslihah untuk memutuskan pertunangan kami sebagai suatu hukuman kepada Fakhir.”

            “Hal ini juga harus Muslihah ambil iktibar. Jangan sesekali membenarkan lelaki bukan mahram masuk ke rumah ketika ayah, ibu dan abang tiada di rumah. Walau sebaik mana pun lelaki itu, ingatlah, ALLAH melarang mendekati zina dan perbuatan Muslihah membenarkan Fakhir masuk ke rumah itu sudah melanggar larangan ALLAH. Dia masih manusia biasa, bukannya malaikat!”

*****

            Lengannya dicubit. Muslihah mengaduh kesakitan lantas menoleh ke kiri, memandang ‘si ketam’ yang telah mencubitnya seketika tadi. Matanya dijegilkan dengan garang sekali. Si ketam itu tersengih-sengih selamba.

            “Saudari ada masalah apa dengan lengan saya?” soal Muslihah sambil tangan kanannya sibuk menggosok lengan kiri yang menjadi mangsa cubitan.

            Sahabat baik Muslihah yang berkongsi nama dengan srikandi Islam, Rabi’atul Adawiyah itu terus sahaja tersengih-sengih.

            “Saya perhatikan sejak setengah jam yang lepas, saudari asyik mengelamun. Entah apa yang saudari fikirkan. Saya yang malu sendiri apabila semakin banyak lensa kamera dihalakan ke arah kita sedangkan saudari tidak perasan. Ini tidak adil. Jadi saya menghukum saudari dengan cubitan itu.”

            Wajah Muslihah tiba-tiba panas. Baharulah dia perasan ruang di dalam Masjid Ar-Rahman itu sudah mula dipenuhi dengan ahli keluarga yang ingin menyaksikan saat dia dinikahkan dengan tunangnya. Dia membetulkan duduk agar lebih selesa. Sebentar lagi masanya akan tiba. Muslihah berdebar.

            “Saudari ada nampak Fakhir?” bisik Muslihah di telinga Rabi’atul Adawiyah.

            Rabi’atul Adawiyah tersentak. Dengan perlahan dia bertanya; “Mengapa saudari bertanyakan tentang Fakhir pada waktu ini? Doktor Hussain sudah duduk di hadapan ayah saudari. Siap sedia hendak melafazkan akad. Fakhirkah yang mengganggu fikiran saudari sebentar tadi?”

            Muslihah menggeleng. “Saya kasihan. Tadi saya nampak Fakhir menyambut rombongan pihak lelaki. Dia pakai baju Melayu yang saya jahit sendiri untuk majlis kami. Selepas dia mempersilakan semua jemputan untuk masuk, dia keluar dan tidak masuk lagi sampai sekarang.”

            “Sudahlah. Mungkin dia mahu ambil angin di luar. Jangan fikir sangat, ya. Fokus pada pernikahan saudari.”

            Suasana hening seketika. Masing-masing memasang telinga mendengar tazkirah pernikahan yang disampaikan oleh Tuan Haji Mokhsin. Sesekali mata Muslihah bertentangan dengan mata Tuan Haji Mokhsin. Dalam serba salah sempat jua Muslihah menghadiahkan senyuman tipis. Suara Tuan Haji Mokhsin yang kedengaran sendu itu membasahkan hati Muslihah. Saat dia diingatkan supaya menjadi isteri solehah, Muslihah menanam tekad di dalam hati bahawa dia akan berusaha untuk membahagiakan suaminya.

            “Wahai Al-Hussain bin Abdullah, aku nikahkan dikau dengan puteriku, Muslihah binti Karim dengan maharnya bacaan hafazan surah Ar-Rahman.”

            “Aku terima nikahnya dengan mahar yang tersebut.”

            “Sah?”

            “Sah!”

            “Sah!”

            “Sah!”

            “Alhamdulillah…” Encik Karim meraup wajahnya dengan penuh kesyukuran.

*****

            Rabi’atul Adawiyah mendekati Muslihah. Ada satu persolan yang sedang berlegar-legar di kepalanya ketika itu.

            “Muslihah, boleh saya bertanya sesuatu?”

            “Silakan…”

            Sebelum mula bertanya, Rabi’atul Adawiyah menarik nafas dalam-dalam.

            “Tadi, selepas kita selesai solat Maghrib, saya mendengar Doktor Hussain membaca Al-Quran. Sebelum itu, saya mohon maaf andai soalan saya ini mengecilkan hati saudari. Tadi saya dapati bacaan Doktor Hussain banyak yang silap. Tajwidnya terabai, makhrajnya tidak tepat. Patutlah tadi dia tidak menjadi imam solat kita. Saya hendak tahu, siapa suami saudari itu? Saya tidak mahu berburuk sangka sebab itu saya bertanya sendiri kepada saudari. Sebagai seorang guru agama, layakkan saudari berdamping dengan suami yang masih merangkak  membaca Al-Quran? Saya jadi ragu-ragu.”

            “Dia hanya seorang lelaki mukallaf yang biasa-biasa sahaja tetapi kekurangannya itulah yang menyebabkan saya jatuh cinta,” terang Muslihah dengan tenang.

            “Saya tidak faham. Boleh saudari terangkan? Apa yang saya faham, sebuah perkahwinan tidak terbina hanya dengan cinta. Yakin sungguhkah saudari dengan pilihan saudari ini? Maaf cakap, saya rasa Fakhir jauh lebih hebat dari segi agama. Saya tidak berniat hendak membandingkan mereka cuma saya mahukan yang terbaik untuk sahabat saya.”

            Muslihah menggenggam tangan Rabi’atul Adawiyah. Matanya mencari sinar keikhlasan dalam mata sahabatnya itu; yang sentiasa di sisinya saat susah dan senang. Sehingga saat ini, setelah dia bergelar seorang isteri, Rabi’atul Adawiyah masih menemaninya malam ini atas permintaan Muslihah sendiri.

            “Ingat lagi semasa Fakh… eh, semasa saya terhantuk kerusi hingga kepala saya terpaksa dijahit dua tahun lepas?” Muslihah berdehem membetulkan suara. Dalam hati, dia mengecapkan kesyukuran kerana tidak tersasul memberitahu Rabi’atul Adawiyah yang kejadian terhantuk di kerusi itu adalah akibat perbuatan Fakhir. Muslihah tidak sanggup membuka aib Fakhir. Sehingga kini rahsia kejadian itu tersimpan kemas dalam kalangan keluarganya sahaja.

            “Ya, saya masih ingat.”

            “Abang Mujahid membawa saya ke klinik Doktor Hussain. Ketika itu sudah jauh malam, klinik pun sunyi. Abang Mujahid terus meluru ke dalam bilik Doktor Hussain. Alhamdulillah, dia tidak marah bahkan dia yang terburu-buru mendapatkan saya dan mengarahkan abang membaringkan saya di atas katil rawatan. Saudari tahu, pada ketika itu sebenarnya Doktor Hussain sedang membaca buku Iqra’ jilid keempat. Dia sedang belajar mengaji.”

            Jeda seketika. Rabi’atul Adawiyah masih khusyuk mendengar cerita Muslihah.

            “Selesai melakukan jahitan di kepala saya, dia menghulur sehelai tuala untuk menutup rambut saya. Lima saat, hanya lima saat, saya memandang wajahnya dan tiba-tiba hati saya jadi sayu. Semasa dia sedang menulis perskripsi untuk saya, Abang Mujahid sempat melirik tanda namanya di atas meja. Al-Hussain bin Abdullah. Abang bertanya adakah dia seorang muallaf? Saya pun sebenarnya ingin tahu sebab saya sempat melihat dia membaca Iqra’ semasa masuk ke biliknya. Rupa-rupanya, dia memang dilahirkan sebagai seorang Islam. Dia mengaku yang selama ini dia leka, dia pernah belajar mengaji tetapi pada zaman kanak-kanaknya sahaja. Dan sekarang, dia sedang bertatih untuk membaca Al-Quran.”

            “Jadi, saudari jatuh cinta kerana kesungguhannya itu?” celah Rabi’atul Adawiyah.

            “Bukan. Saya jatuh cinta kerana tiba-tiba sahaja dia ada di hati saya. Ya, begitu sahaja. Dan di saat dia datang ke rumah dengan beraninya untuk menyunting saya, baharulah saya faham isyarat yang saya nampak sewaktu melakukan istikharah sebelum membuat keputusan memutuskan pertunangan saya dengan Fakhir dahulu.”

            Rabi’atul Adawiyah menitiskan air mata. Sekarang dia mengerti, cinta dan jodoh itu bukan perkara yang sama. Selama ini dia mendengar cerita cinta sahabatnya dengan Fakhir, dan malam ini sesungguhnya matanya telah terbuka untuk mengerti hakikat jodoh.

            “Muslihah, tolong doakan saya semoga beroleh jodoh yang terbaik juga.”
*****

           Senyuman yang terlakar di wajah Muslihah mengelirukan Al-Hussain. Senyum itu merupakan senyuman bahagia, senyuman manis yang ikhlas tetapi kenapa matanya bergenang air jernih yang bernama air mata?

            “Muslihah,” seru A-Hussain.

            “Ya, abang.”

            Al-Hussain tersenyum. “Awak senyum tetapi mata awak nampak sayu. Riak wajah awak ini mengingatkan saya pada hari pernikahan kita. Wajah beginilah uyang ditunjukkan oleh Fakhir. Dan hari ini, awak menunjukkan reaksi yang sama semasa menyaksikan pernikahan Fakhir. Apa yang sebenarnya berlaku antara kalian?”

            Air jernih yang bergenang tadi perlahan-lahan menuruni pipi mulus Muslihah.

            “Tiada apa-apa yang berlaku antara kami. Kami berdua sahabat. Senyuman ini terukir kerana kami saling merasa bahagia dengan kebahagiaan sahabat kami. Dan air mata ini pula merupakan cetusan rasa syukur kerana kami tahu sahabat kami telah bertemu jodoh. Fakhir hanya seorang sahabat, yang telah banyak mengajar saya makna kehidupan. Janganlah abang mewujudkan ruang untuk syaitan meletakkan rasa curiga di hati abang terhadp cinta saya.”

            “Insya ALLAH, abang akan jaga cinta kita. Maaf kerana abang telah tersalah anggap hubungan awak dengan Fakhir.”

*****

            Isterinya sudah tidur. Senyap-senyap, Fakhir mengeluarkan kad yang dihulur oleh Muslihah dalam walimah siang tadi.

Sahabatku,

Kita boleh memilih sesiapa sahaja untuk dicintai,

Pejuang agama, doktor, novelis… sesiapa sahaja…

Dahulu saya mengagumi Fakhir kerana kesempurnaan

yang Fakhir miliki hingga saya lupa,

Fakhir hanya manusia biasa yang tidak layak untuk dipuja.
tatkala Fakhir melakukan kesilapan,
saya tidak dapat menerimanya kerana
selama ini yang saya kagumi adalah kesempurnaan Fakhir. 

Rupanya cinta itu adalah cinta sebenar

andai kita mencintai kekurangan seseorang itu.

Soal jodoh kita pula hanya ALLAH yang akan memilih.

Dan yakinlah bahawa pilihanNya merupakan pilihan paling tepat.

Barakallahulakuma wabaraka alaikuma
Wajama’a bainakuma fil khair…
Jodoh itu cinta,
muslihah