Lenaku
terganggu dek haruman lavender yang dibawa tubuh Qaisy dari bilik mandi. Krim mandian
Palmolive itu baru aku beli dua hari yang lepas. Qaisy sangat faham kegilaan
aku terhadap shower cream. Hampir setiap kali keluar membeli-belah, pasti aku
akan menyambar krim mandian yang aku berkenan. Nasib baik kulit aku ini bukan
jenis yang sensitif, jadi aku boleh menggunakan mana-mana jenama sabun mandi.
Dia
yang sedang membelek-belek wajah pada cermin meja solek membelakangkan aku yang
sedang berbaring. Dari pantulan cermin, aku lihat wajahnya yang menahan
senyuman. Nak kontrol macho lah tu!
“Apa
tengok-tengok? Ada hutang?” sergah Qaisy.
“Qaisy
tahulah muka Qaisy ni handsome tapi
tak payahlah nak ditenung sangat. Esok dah puasa, naya karang,” sambung Qaisy
lagi. Dia memang gila. Asyik ‘itu’ saja yang dia ingat.
“Laila
bukan tengok muka Qaisylah. Laila tengok perut Qaisy yang makin sihat tu,”
sanggahku. Sejak aku mengandung tiga bulan lepas, dia pun sibuk nak besarkan
perut juga. Adoyai…
“Alah,
sikit saja ni. Bulan puasa ni Qaisy kuruslah balik. Lagipun tak seronok tengok
Laila gemuk sorang-sorang. Ini baru dikatakan sehidup-semati, segemuk-sekurus.”
Entah
apa-apa si Qaisy ni! DBP, sila maafkan bahasa suami saya yang tak semenggah
ini. Adakah patut elok-elok orang dulu buat pepatah sehidup semati tapi
dirosakkannya dengan pepatah ciptaan sendiri. Padanlah SPM dulu dia tak dapat
A1 untuk matapelajaran Bahasa Melayu.
Katil
bergegar sesaat tika Qaisy melabuhkan tubuh di sebelah kananku. Terasa sejuk
kulitnya tersentuh lenganku. Qaisy memang selalu mandi lewat malam begini. Kerjanya
yang tidak tentu masa membuatkan jadual hidupnya juga tidak seperti manusia
lain. Aku pun tak tahu sama ada suamiku sudah makan malam atau belum.
“Laila
pergi terawih tadi?” soal Qaisy setelah dia menyelimutkan diri dalam gebar yang
dikongsi bersamaku.
“Tak.”
Qaisy
menoleh. “Kenapa tak pergi?” soal dia lagi.
“Laila
tak larat. Selalu nak muntah,” jawabku sambil tersengih. Tak perlu dibuat ‘lying test’ atas kerusi elektrik, Qaisy
tahu aku sengaja mencipta alasan. Sebenarnya aku malas!
“Terawih
ni dalam bulan Ramadhan saja, tau. Rugi kalau terlepas. Kalau Laila tak larat
nak berjemaah di surau, Laila boleh buat seorang di rumah. Buat perlahan-lahan.
Berhenti rehat sekejap lepas dah buat empat rakaat. Kemudian sambung lagi.”
Qaisy memulakan ceramahnya.
Aku
angguk-angguk tanda faham. Qaisy tarik aku ke dalam pelukan. Rambutku dibelai
dengan penuh kasih.
“Lain
kali jangan sengaja tinggalkan solat terawih. Tak ada jaminan yang kita akan
jumpa bulan Ramadhan lagi tahun hadapan. Ingat tu!”
“Sahur
nanti Qaisy nak makan apa?” Dengan baik hatinya aku bertanya. Aku ni memang
jarang memasak. Suami aku kan jarang ada di rumah.
“Ermm…”
“Eh,
maggi kari yang Laila pesan ada beli tak?” tiba-tiba aku teringat yang aku ada
pesan Qaisy untuk belikan maggi sebelum dia bertolak pergi kerja siang tadi.
“Err…lupalah
yang…” sahut Qaisy.
Ini
yang buat aku nak marah ni. Aku suka makan maggi bila nak bersahur. Aku tak
selera nak makan nasi pagi-pagi. Lebih-lebih lagi sejak mengandung ini perut
aku memang banyak songeh. Memilih makan sungguh. Dulu tak pulak perut aku
begini. Ish…
“Bukannya
elok sangat makan maggi ni, yang. Kesian baby nanti dia lahir tak sihat.”
Eleh,
dah lupa beli maggi yang aku pesan, Qaisy buat ceramah kesihatan pula. Ini
antara teknik menyilat yang pernah diajar di akademi RTM dulu agaknya. Apabila
dah terlupa belikan maggi untuk isteri yang tengah mengandung, sila sampaikan
pesanan seperti ini ya, tuan-tuan! Semoga kita sama-sama beroleh manfaat.
Sekian, terima kasih.
“So
sorry. Qaisy memang betul-betul lupa. Laila janganlah macam ni.” Qaisy pujuk
aku lepas aku tak layan health talk nya itu.
“Tak
apalah, tak makan maggi pun tak apa.” Rajukku berpanjangan.
“Jom
niat puasa sama-sama,” ajak Qaisy tanpa menghiraukan si mak buyung yang sedang
merajuk.
Setelah
melafazkan niat puasa dan berdoa, aku terus pejamkan mata. Aku tak sedar lagi
bila aku terlelap.
*****
Aku
pandang maggi kari yang berasap atas meja makan dengan mata yang berkaca. Qaisy
yang sengal itu tak mungkin boleh jadi seromantis ini. Sudu dan garfu yang
dihulurkan oleh Qaisy cuma mampu kupandang dengan pandangan kosong. I love you so much, sayang!
“Makanlah.
Bukan boleh masuk sendiri maggi tu. Atau Laila nak Qaisy suapkan?” Qaisy pelawa
aku untuk menikmati maggi itu sebagai juadah sahur sedangkan dia tak tahu aku
sudah kenyang dengan cintanya.
“Bila
Qaisy beli maggi ni?” aku bertanya serius. Malam tadi aku ingatkan dia
betul-betul lupa untuk belikan aku maggi.
“Sayang,
Qaisy tak pernah lupa pada sayang. Walaupun Qaisy sibuk bekerja, Qaisy tetap
ingat Laila. Sebab…” Qaisy berjeda. Dia tarik wajahku menghadap wajahnya. “Qaisy
tak ingat Laila dengan ini,” dia tunjuk kepalanya. Kemudian dia bawa jari-jemariku
ke dadanya. “Qaisy ingat Laila dengan ini.”
“Terima
kasih,” ucapku sungguh-sungguh.
“Tak
payah nak syahdu-syahdu dinihari ni. Cepat makan. Laila tak suka maggi kembang,
kan? Jadi cepat makan sebelum mi tu serap semua kuah kari yang Laila suka
sangat tu. Qaisy masak khas untuk Laila. Bukan senang nak makan masakan Qaisy.”
Kalau dah juruhebah tu juruhebah juga. Tutur katanya panjang lebar walaupun
tanpa skrip.
Kuterima
kekuranganmu
Dan
ku tak akan mengeluh
Kerna
bagiku
Engkaulah
nyawaku…
Lagu
dari radio yang terpasang macam kena pula dengan suasana ketika ini.
“Qaisy,
Laila tujukan lagu Dengarlah Bintang Hatiku ini untuk Qaisy. Laila tahu malam
tadi Qaisy tujukan lagu Iris untuk Laila, kan? Thanks for everything,” aku luah
dengan penuh perasaan. Dan dinihari ini menjadi saksi, cinta Qaisy yang terlalu
besar untuk aku. Bukan kerana semangkuk maggi tapi atas ingatan dan cinta yang
dapat aku rasa dari setiap tindak-tanduknya. Ya Tuhan, aku tak mahu kehilangan
lelaki ini!
No comments:
Post a Comment