NOVEL SAAT KAU HADIR
KARYA LAILA KAMILIA (TERBITAN ALAF21 TAHUN 2008)
Permulaan novel ini membuatkan saya tersenyum
(tersengih?) seorang diri. Kisah pertemuan pertama Eliana dengan Amri yang lucu
yang membawa ke beberapa detik pertemuan lain yang ‘manis’. Dendam ‘pecah telur’
yang dilancarkan oleh Eliana mengakibatkan dirinya sendiri termalu. Walaupun gagal
melunaskan dendam ‘pecah telur’nya itu, namun dendam itu tidak terlerai begitu
sahaja.
Saat yang ditunggu oleh Amri tiba juga. Setelah sekian
lama memendam hasrat untuk mendapatkan nama Eliana akhirnya berakhir. Perhubungan
yang semakin rapat tatkala bekerjasama dalam menjayakan Program Anak Angkat Bumi
Kenyalang mejmbuka peluang kepada Eliana dan Amri untuk saling mengenali. Pada saat
inilah Eliana mengambil kesempatan untuk melancarkan serangan ‘pecah telur’!
hati yang telah terbuka sedikit untuk menerima Amri dalam hidupnya kembali
tertutup setelah helah licik Amri dapat dikesan oleh Eliana. Ingat mudah sangat
nak dapatkan hati Eliana? Amri silap besar. Dengan bermacam pujukan, Eliana
akhirnya mengaku yang dia sendiri tidak boleh hidup tanpa Amri. Kalau sudah
cinta, bau telur pun wangi!
Bahagia yang diimpikan tidak berkekalan. Setelah tujuh
tahun menjalin hubungan, terjadi peristiwa yang menyebabkan benci Eliana kepada
Amri tidak terhingga! Rasa kosong itu diisi oleh kehadiran Dalton yang pada
mulanya dianggap sebagai sahabat sahaja. Setelah mengetahui kebenaran tentang
diri Dalton, Eliana bertindak menjauhkan diri. Dalton nanar sendiri. Namun,
hubungan yang rapat dengan ibu Eliana membuka peluang untuk merapati gadis itu.
Impian ibunya untuk bermenantukan Imran Syakir, jiran
sebelah rumah itu membuatkan Eliana serba salah. Selama bertahun-tahun dia
menjauhkan diri daripada ibu tersayang kerana berkecil hati dengan tindakan
ibunya yang membiarkan dia dibesarkan oleh nenek di kampung menerbitkan rasa
bersalah di hati Eliana. Dia mahu membahagiakan ibu yang telah dia sisihkan
sejak kecil lagi. Tetapi bagaimana dengan rasa cinta terhadap Amri yang belum
pudar?
Eliana nekad! Demi kasih pada ibu, dia bersedia menerima
jejaka sebelah rumah.
‘Imran memegang sebuah bingkai gambar sambil tersenyum
padanya. Dia merenung wajah Amri yang mengharap. Dia memandang wajah Imran yang
mendambakan kehadirannya. Eliana keliru sama ada mahu ke kanan atau ke kiri.’
Siapa pilihan Eliana? Adakah dia akan memilih kasih Imran
Syakir demi membahagiakan ibunya atau adakah dia akan kembali meraih cinta Amri
yang pernah mengecewakannya? Jawapannya ada di dalam novel SAAT KAU HADIR. Bacalah
dengan jujur, kerana cinta itu hanya ada di dalam hati yang tulus untuk
mencintai!
No comments:
Post a Comment