Aku
dengar dia berhelo-helo. Telefon bimbit masih terlekap di telinga aku, jadi
suaranya memang jelas kedengaran.
“Abang…”
seru Aina Basyirah di hujung talian. Akhirnya… Empangan tubir mataku tak mampu
lagi bertahan. Air mata lelaki mengalir perlahan.
“Abang
okey?” Aku ketap bibir dengan kuat bila dengar pertanyaan Aina Basyirah. Aku
tidak mahu senduku terlepas keluar. Aku sangat-sangat tak okey!
Di
atas sofa yang aku duduki sekarang ini, aku peluk lutut. Wajah aku benamkan di
atas lutut yang telah aku tegakkan. Tengah malam, aku biarkan ruang tamu rumah
bujang aku gelap tanpa satu pun lampu yang terpasang. Gelap. Segelap hati aku
sekarang. Aku terus menahan tangisan tanpa bersuara sedangkan Aina Basyirah
masih di talian.
“Abang,
kalau nak menangis, lepaskan saja. Ann pinjamkan bahu Ann untuk abang.” Di
sana, jauh di seberang lautan, Aina Basyirah cuba mententeramkan aku.
“Apa
salah abang?” terlontar sahaja soalan itu, aku terus teresak. Tidak aku
hiraukan lagi ego aku sebagai seorang lelaki. Aku juga manusia biasa.
Diciptakan bersama perasaan dan nafsu. Aku tahu air mata aku sepatutnya
mengalir demi mengenang Yang Maha Kuasa, demi cinta kepada-Nya juga kepada
Rasulullah. Tetapi saat ini, aku menangis kerana seorang wanita. Diulangi, AKU
MENANGIS KERANA SEORANG WANITA!
Wanita
itu, yang membuatkan aku menangis, Nurfatin namanya. Hendak kupuji wajahnya
namun tiada apa yang mampu aku gambarkan. Dia terlalu cantik di mataku hingga
tiada satu pun yang boleh aku bandingkan untuk menggambarkan indah figura
seorang insan bernama Nurfatin. Lenggok suaranya manja semulajadi; tidak
dibuat-buat. Terpandang sekali pasti rasa nak pandang lagi. Segala-gala tentang
Nurfatin itu indah belaka. Itu dulu tapi kini, “Kenapa dia tinggalkan abang,
Ann?”
Aku
dengar Aina Basyirah mengeluh. “Ann tak tahu apa-apa. Sebagai kawan baik Atin,
dia memang selalu kongsi cerita pada Ann dan Liza. Kisah abang dengan dia semua
kami tahu. Tapi kali ini, Atin betul-betul rahsiakan. Tak sekalipun dia buka
mulut walau dipaksa oleh Ann dan Liza. Kami tak tahu kenapa dia tinggalkan
abang.”
Itu
yang aku tidak faham. Perginya Nurfatin tiba-tiba sahaja. Macam ribut yang
melanda Pulau Pinang. Tanpa amaran. Aku ditinggalkan hanya dengan secebis pesanan
ringkas. Lepas itu nombor itu terus tidak dapat dihubungi. Menurut kata wanita
paling malang di dunia, “Maaf, nombor yang anda dail tiada dalam perkhidmatan.”
Profil facebook nya pun tidak dapat aku buka. Barangkali nama aku telah diblock. Perlukah aku tempah tiket kapal
terbang menuju ke Pulau Pinang untuk mendapatkan penjelasan?
“Siapa
lelaki itu?” soalku pada Aina Basyirah dalam sedu-sedan. Aku ingin tahu perihal lelaki lain yang telah
membuatkan Nurfatin meninggalkan aku.
Tidak
aku nafikan, Nurfatin senang sahaja mencari pengganti aku. Bahkan selama ini aku
tahu bahawasanya, untuk memiliki dia, aku menghadapi banyak saingan. Dia
cantik. Dia baik. Wajahnya mulus tanpa cela. Bicaranya sopan dan teratur.
Maklum, dia dari keturunan yang baik-baik. Ibubapa pasti berkenan kalau
diperkenalkan Nurfatin sebagai bakal menantu. Bukan hanya fizikalnya yang
menarik tetapi peribadi yang terpuji itu yang membuatkan dia sangat istimewa.
“Err…”
Aina Basyirah teragak-agak.
“Cakaplah!”
tengkingku. Aku tidak mampu lagi bersabar. Aku rasa memang Aina Basyirah tahu
tapi dia sengaja hendak rahsiakan daripada aku.
“Tak
tahu,” balas Aina Basyirah. “Abang, kalau Ann tahu pasti Ann akan bagitahu
abang. Abang kawan Ann. Ann sayang abang macam Ann sayang Atin.”
Aku
terdiam semula. Tangisan sudah reda tapi sakit di hatiku entah bila akan
sembuh. Adakah aku terlalu terpengaruh dengan kata-kata orang yang cinta
pertama itu memang susah untuk dilupakan? Dengan telefon yang masih bersambung
talian dengan Aina Basyirah, aku merenung ke dalam diri. Mencari salahku waktu bercinta
dengannya. Apa yang aku telah lakukan dan apa yang aku tak buat untuk dia?
“Err…abang
tak cuba tanya Liza?” cadang Aina Basyirah.
“Tanya
dia buat apa? Ann tahu dia yang jadi pengapit Atin, kan? Sama saja.
Pengkhianat!”
Ya,
aku tahu Nursaliza yang jadi pengapit persandingan Nurfatin siang tadi. Aku
nampak gambar yang dipost oleh rakannya dalam facebook. Hati aku yang sudah
sedia hancur, terus dicincang-cincang lumat oleh Nursaliza. Barangkali Aina
Basyirah belum puas hati. Dia mahu masakkan hati aku yang dah lumat ini menjadi
kuah spaghetti. Baru lengkap kemusnahan yang aku alami.
“Gadis
tiga serangkai!” usik aku suatu masa dahulu. Saat itu aku baru mengenali
Nurfatin di ruang siber. Asal aku post
apa-apa sahaja di layar facebook, pasti ada nama mereka bertiga yang komen pada
posting aku itu. Bermula sebagai
kenalan biasa, kudekati diri Nurfatin dengan lebih intim. Hatiku berkata dialah
soulmate aku.
“Tak
baik abang tuduh Liza macam itu. Mungkin dia sendiri serba salah. Lagipun dia
kenal Atin lebih dulu dari kenal abang. Pasti kalau ada apa-apa yang berlaku,
dia akan bersama Atin, menyebelahi Atin. Ann sendiri pun bingung,” Aina
Basyirah tarik nafas panjang. “Abang, kalau abang betul sayangkan Atin,
doakanlah kebahagiaan dia. Biar dengan siapa pun dia berjodoh. Abang kena terima
qada’ dan qadar. Tak salah abang bersedih tapi jangan sampai abang hancurkan
hidup abang.”
No comments:
Post a Comment