1
Aku
tahu masalah aku takkan selesai dengan hanya membelek surat khabar semalam tapi apa lagi usaha yang
boleh aku lakukan? Sejak dua bulan yang lepas aku menjadi peminat setia ruangan
iklan kerja kosong dalam semua jenis
akhbar yang dilanggan oleh majikan aku. Aku sebenarnya sedang berusaha untuk
mencari pekerjaan lain. Berakhirnya bulan ini bermakna berakhir juga kerjaya
aku di sini. Minggu ini merupakan minggu terakhir dalam bulan ini. Bererti
tinggal seminggu saja lagi.
Sedih pula rasanya nak tinggalkan Untouch Printing ini.
Untouch Printing, sebuah syarikat yang buat percetakan kad kahwin, business card, calendar dan macam-macam
lagilah. Tapi buat secara kecil-kecilan saja. Aku pun kagum juga dengan company ini sebab kecil-kecil dia pun
boleh bertahan lama. Ini yang orang kata ‘kecil-kecil cili padi’. Jangan pandang
rendah, tau.
Aku
pun dah lama jadi pembantu kat sini. Mula-mula dulu aku kerja sambilan saja
sementara tunggu result SPM. Sepanjang lima bulan itu aku rasa sangat selesa
walaupun tugasan aku merangkumi hampir semua tugas kat sini. Kerani, akauntan, secretary, minah despatch sampailah cleaner dan tea lady. Pegawai khidmat pelanggan pun aku juga. Semua post aku sapu. Yalah, company ini bukan besar mana pun.
Setakat menyewa kat tingkat dua blok kedai. Apalah sangat, kan.
Lepas tu aku pula sambung form six. Result SPM tak
bagus sangat. Itupun nasib baik aku masih ada feeling lagi nak bersekolah dan ayah aku masih nak tanggung aku.
Dengan badan dah membesar macam mak orang, bayangkan aku masih pakai uniform
sekolah. Aku sendiri nak tergelak masa mula-mula nak masuk form six. Habis saja
form six, aku tak mohon sambung
belajar atau minta kerja, terus saja kerja kat sini. Seronok punya pasal. Aku
kerja kat sini pun dah dekat tiga tahun.
Majikan
aku memang tip top. Kita orang yang
kerja kat sini tak payah nak formal-formal dengan dia. Panggil Kak Long saja
macam panggilan adik-adik dia yang selalu buat ‘lawatan sambil belajar’ kat
ofis ini. Kakitangan yang ada cuma lima orang termasuk aku. Dua orang buat design dan yang lain itu macam aku juga,
buat semua benda kat ofis ni. Kadang-kadang designer
pun tolong buat kerja kami tapi kami tak pernah tolong dia orang buat
kerja-kerja grafik tu. Tak ada ilmu dalam bidang itu.
Sambil-sambil
aku belek surat khabar ini, aku jeling-jeling juga rakan sekerja aku. Masing-masing
tunjuk muka ketat. Kak Wati dengan Kak Nor dah siap kemas-kemas meja. Wan Habib
dan Simpoy budak grafik tu duduk melangut saja. Dah tak ada apa-apa lagi nak
buat. Selesai saja last project kita
orang buat minggu lepas, Kak Long dah tak ambil sebarang tempahan lagi.
Sekarang tengah sibuk nak clear semua
urusan nak tutupkan syarikat ini. Itu pasal semua buat muka mempelam muda.
Tiba-tiba
aku terpandang Simpoy yang terangguk-angguk. Mengantuklah tu! “Sim!” jeritku
untuk mengejutkan Simpoy. Jarak tempat aku dengan Simpoy bukannya jauh,
maklumlah pejabat kecil.
Aku
senyum. Dia tak dengar pula jeritan aku sedangkan Wan Habib dah tergelak. “Wei, Simpoy!” aku jerit lagi kuat dari tadi.
Sekarang Kak Wati dengan Kak Nor pula join
Wan Habib gelak. Dan Simpoy masih angguk-angguk lagi. Nasib baik tak meleleh
air liur.
“Rain,
awak kena panggil nama penuh, baru dia bangun,” komen Wan Habib. Amboi, nak
kena panggil nama penuh! Si Wan Habib ni pula boleh bagi cadangan macam tu kat
aku. Apa pasal dia sendiri tak kejutkan Simpoy? Dia duduk sebelah saja tu.
“Sim
Poy Hiung!” aku turutkan juga cadangan tak berapa bernas Wan Habib. Memang tak
bernas sungguh! Simpoy tu tak bangun pun. Geramnya aku!
Kak
Nor lancarkan roket pemadam getah dari meja dia ke arah Simpoy. Tepat mengena
sasaran. Tapi nak tahu tak? Simpoy tetap tak bangun. Makin lena lagi mamat handsome bermata sepet tu sebab dia dah landing baik punya atas meja. Dah tak
ada lagi scene angguk-angguk,
geleng-geleng.
Kak
Wati bangun dari kerusi dia lalu berdiri menyandar kat meja aku. “Dahlah tu.
Biarlah Simpoy tidur. Bukan selalu dia dapat tidur dalam ofis. Dia nak buat
kenangan terindah lah tu. Lepas ini dah tak boleh lagi dah.” Aduhai… Kak Wati
ini buat spoil mood saja. Baru nak
gelak-gelak dia pula buat statement
penuh kesedihan.
Kak
Nor pandang aku. Aku pandang Wan Habib kat depan aku. Wan Habib pandang Kak
Wati. Tanpa sedar semua mengeluh. Terdiam seketika tapi tiba-tiba dengar bunyi
pelik. Simpoy berdengkur! Semua pakat gelak semula. Terima kasih, Simpoy! Budak
sengal ini memang selalu buat kami semua kejang perut sebab gelakkan dia. Lepas
ini mesti semua rindukan dia.
No comments:
Post a Comment