6
Jalan Keranji, Sibu (14
Mac 2013)
Dear Diary,
Kadang-kadang aku bertanya
sendiri, untuk apa kami pertahankan hubungan ini? Bukan sekali dua hati aku
bertanya. Jawapan untuk soalan itu tiada padaku. Tapi kalau ditanya adakah aku
masih mencintai dia, dengan yakin aku boleh menjawab ‘TIDAK’.
Mengapa bukan dia yang aku
rindui sedangkan diriku telah terikat pada janji? Hati ini, apa mahunya? Miji
bukan lagi orang yang aku ingati, bukan lagi yang aku tunggu-tunggu kehadiran
sms dan panggilannya. Bahkan aku boleh melalui beberapa hari tanpa ralat walau
tak mendengar suaranya. Curangkah aku?
Di saat aku tak mahu
dituduh sebagai pengkhianat cinta, aku cuba untuk mencari salah Miji. Tiada!
Ya, Miji tidak bersalah. Dia baik. Dia masih menjaga hubungan kami seperti
dulu. Malahan dia baik dengan keluargaku. Lalu apa yang menyebabkan hati aku
berbolak-balik?
Jari-jari Suriya berhenti
dari menulis apabila terdengar deheman yang sengaja dibuat-buat berdekatan
dengannya. Tanpa menoleh, dia tahu Adilah sudah sampai. Adilah merupakan rakan
sebiliknya di rumah sewa itu. Sebentar tadi dia keluar untuk membeli nasi lemak
malam.
Suriya mengangkat tangan
kirinya untuk melihat masa pada jam tangan digital di pergelangan tangan
kurusnya itu.
“Dua puluh satu minit
empat puluh lapan saat. Berlaku sedikit kemerosotan dari catatan yang lepas.
Kenapa lambat, Cik Adilah?” usik Suriya pada temannya itu.
Adilah tersengih. Suriya
memang memahami perangainya. Tanpa dipesan, Suriya sudah siap merakam tempoh
perjalanannya. Seperti biasa, jika Adilah keluar ke mana-mana, dia akan meminta
Suriya merekodkan masa yang dia gunakan. Dia gembira jika dapat memecahkan
rekod catatan masanya sendiri.
“Tiga minit masa
kecederaan. Kalau tak aku dah boleh pecah rekod sebelum ini,” sahut Adilah
sambil meletakkan bungkusan nasi lemak malam kegemaran mereka berdua di atas
meja tulis yang dikongsi bersama.. Dia menarik sebuah lagi kerusi lalu duduk
bersebelahan Suriya.
“Masa kecederaan konon.
Kau jatuh longkang ke tadi?” Suriya terus mengusik. Diari di atas meja itu
ditutupnya. Dia tidak mahu Adilah curi-curi membaca luahan perasaannya.
“Amboi, sesedap rasa mengata
aku jatuh longkang! Ini semua sepupu kau punya pasal!” rungut Adilah tak
pasal-pasal. Marahkan mulut Azmeer, telinga Suriya dibakarnya.
Suriya tersenyum geli
hati. ‘Mesti Adilah terserempak dengan Azmeer tadi,’ fikir Suriya. “Sempat lagi
nak dating. Sebab tu lambat!” kutuk
Suriya. “Tapi cukup ke tiga minit tu?”
Adilah menjeling Suriya
dengan geram. “Tak ada maknalah nak dating dengan dia!”
“Apa yang berlaku? Oh, maksud
aku, apa yang dia buat sampai kau marah-marah macam ni?”
“Dia berkeras nak bayarkan
nasi lemak tu. Aku tak mahu. Aku sendiri ada duit,” jawab Adilah tegas.
“Alah, bayar nasi lemak
saja, kan? Bukan masalah besar. Aku lagi seronok kalau Azmeer bayar. Selamat
duit aku,” balas Suriya. Dia tahu sebenarnya kehadiran Azmeer bukan sekadar mahu
membayar nasi lemak itu. Yang Azmeer mahukan ialah hati Adilah. “Kenapa kau tak
mahu beri dia peluang?”
“Kerana aku tak mahu
beri dia harapan,” jawab Adilah selamba.
“Kenapa kau tak mahu
beri dia harapan?” Suriya terus mencabar.
“Kerana aku tak mahu dia
terus menanti buah yang tak gugur macam Mohamad Tarmizi!” Adilah geram! Dia
tahu niat Suriya yang mahu dia bahagia. Tetapi apa guna kalau dirinya sendiri
memendam rasa?
Suriya cuba bertenang.
Jantungnya rasa mahu terkeluar bukan kerana suara Adilah yang meninggi tetapi
nama yang disebut Adilah itu umpama menyentak segenap perasaan yang menghuni
dalam dirinya. Mohamad Tarmizi, cinta pertama yang kian sirna… “We are talking about you and Azmeer.
Kenapa menyimpang pula ni?” dia melontar suara dalam getaran.
“Itu subtopik dan jangan
lupa, there’s a connection,” gurau
Adilah. Dia bersalah pada Suriya jadi dia yang harus betulkan keadaan. “Seriously, darling. Aku tak mahu Azmeer
terus menunggu aku sedangkan aku tak rasa apa-apa pada dia. Aku nampak
penderitaan kau untuk terus bersama Miji. Kau paksa diri untuk terus cintakan
dia. Kau dan dia sama-sama tak bahagia. Perlukah aku buat kesilapan yang sama?”
“Mana kau tahu?” Suriya terus
menggapai diarinya.
“Aku kawan baik kau. Aku
tak perlu curi-curi baca diari kau untuk tahu apa yang ada di sini,” jawab
Adilah. Jarinya ditunjukkan tepat di dada Suriya.
Suriya mengangkat
kedua-dua belah kakinya ke atas kerusi. Kakinya ditegakkan lalu dagu ditopang
di atas lutut. Dia serba salah. Adilah bangkit merapati Suriya. Berdiri di
belakang dan terus membelai bahu sahabatnya itu.
“Aku tahu apa yang kau
rasa, Sue. Pesan aku, kalau kau mampu bahagiakan diri kau sendiri dan juga Miji
even without loving him, teruskan
saja. Tapi kalau di hati kau sudah ada orang lain, lebih baik kau berterus
terang.”
“Dah, jom makan!” teriak
Suriya tiba-tiba. Adilah menahan dada kerana terkejut dengan tindak balas
Suriya itu. ‘Kau memang sewel, Sue!’ kutuk Adilah dalam hati. Melihat senyuman
di wajah Suriya, Adilah tahu senyuman itu cuma topeng semata-mata.
Perpustakaan Majlis
Perbandaran Sibu (15 Mac 2013)
“Abang Az!” laung
Suriya.
Azmeer yang berada di
luar pagar perpustakaan terus menoleh. “Ya, Sue! Kejap, Abang Az parking motor
dulu.”
“Sue tunggu Abang Az di
pantri,” pesan Suriya.
“Okey!”
“Ada apa pagi-pagi lagi
dah panggil Abang Az?” tanpa salam, Azmeer terus menerjah Suriya yang berada di
pantri. Juga tanpa dijemput, tangannya mencapai sebiji karipap yang menjadi
sarapan harian Suriya. Walaupun hampir setiap hari makan karipap, badan Suriya
tetap juga melidi.
“Dengar cerita malam
tadi ada orang dating kat gerai nasi
lemak malam,” getus Suriya dengan lagak polis pencen. Siap bercekak pinggang!
“Dating apanya? Abang Az nak tolong bayarkan nasi lemak pun bergaduh
macam nak rebut hak penjagaan anak. Punyalah keras kepala kawan Sue tu,” Azmeer
merungut.
Suriya ketawa mengejek. “Yang
keras kepala tu jugalah Abang Az syok sangat, kan?” dia tidak berputus asa
menggiat Azmeer.
“Dah, tutup kes.
Sekarang beritahu apa yang Sue nak dari Abang Az?” malas mahu melayan usikan
Suriya, Azmeer terus menukar topik.
“Amboi, terus tutup kes!”
Suriya tidak mahu mengalah. Azmeer hanya mencebik. Dia malas mahu membuka
rahsia hati kepada sepupunya itu.
“Sebenarnya Sue nak ajak
abang balik kampung malam ni,” jawab Suriya bernada manja setelah usikannya
tidak mendapat balasan dari Azmeer.
“Okey, set. Syif habis
pukul berapa?”
“Pukul sembilan malam.
Abang Az drive, okey?”
“Yalah, anak manja Mak
Wa. Dah besar panjang masih nak cium ketiak mak. Sama macam Moon juga,” Azmeer
mencapai sebiji lagi karipap.
“Mak yang manjakan kami.
Kami tak bersalah.”
“Moon balik tak?”
tiba-tiba Azmeer teringat seorang lagi adik saudaranya.
“Tak. Alang-alang minggu
depan dia balik. Nak pergi kenduri kahwin Hazian,” terang Suriya.
“Abang Az lama dah tak
jumpa dia. Dua minggu lepas dia ada call
Abang Az. Tanya pasal Jafni,” suara Azmeer mendatar. Nyata rindunya pada
Munirah tidak mampu disembunyikan.
“Eleh, budak tu! Semua
orang dia call semata-mata nak tahu
Jafni tu dah nikah ke belum. Menyampah! Dengan Abang Ijan saja dia tak berani.
Rabu lepas dia jumpa Jafni pasal nak tukar nama rumah mereka di Samariang Aman.
Tapi biasalah budak tu degil, tak mahu sign.
Bodoh!” suara kemarahan Suriya tiba-tiba meletus. Dia bukan membenci adiknya
tetapi dia kesalkan cinta buta Munirah terhadap Jafni. Sudah terang-terang
ditinggalkan tetap jua mahu mengharap kasih.
“Jafni ada beritahu
Abang Az. Minta Abang Az pujuk Moon sign
borang tu. Malaslah Abang Az nak campur urusan mereka. Yang penting, kebajikan
Zarith Sofia terjaga,” luah Azmeer penuh perasaan. Dia sayangkan anak
saudaranya itu. Bahkan Zarith Sofia sudah dianggap seperti anak sendiri.
“Hrmm…Sue rindu Zarith,”
seru Suriya tiba-tiba.
“Abang Az rindu Sofia,”
keluh Azmeer pula.
“Zarithlah!”
“Sofialah!”
“Mak dan ayah tak suka
nama Sofia.”
“Jafni tak suka nama
Zarith.”
Kedua-duanya mengeluh.
Tanpa sengaja, hampir serentak mereka bersuara, “Kesian Moon.”
No comments:
Post a Comment