PROLOG
Munirah
menangis teresak-esak. Wajahnya yang sembab ditelengkupkan ke atas meja.
Bahunya terhinggut-hinggut menahan sedu.
Dia
tidak sanggup lagi menghadapi kelukaan ini. Keputusan yang dibuat pula seolah-olah
mencurah garam ke atas lukanya sendiri. Pedih dan menyakitkan! Dia wanita
biasa. Tidak setabah Khadijah r.a, tidak sekuat Aishah r.a. Namun kini dia
sedar, masa depan Zarith Sofia terletak pada kemampuan dirinya untuk terus
melangkah.
Dia
mengangkat mukanya, menatap tajam skrin komputer riba berjenama Asus itu.
Jari-jemarinya menari di atas papan kekunci. Deritanya harus diakhiri. Tiada
siapa yang bersimpati lalu mengapa terus meratapi nasib diri? Dan sekarang,
Munirah akur dengan arahan mindanya; lupakan dia!
Dear
The Only Me (T.O.M),
·
Telah
kucuba membenci, namun rasa cinta semakin memekar di hati.
·
Telah
kucuba melupakan, namun memori tetap tak mahu hilang.
·
Untuk
itu, dan untuk semua masa yang telah terbuang atas hubungan yang sia-sia,
kutitipkan e-mel yang terakhir.
·
Selamat
tinggal.
Butang send diklik dengan yakin. Bersama doa yang dilafaz dalam hati,
Munirah mengharapkan ada sinar kedua buat dirinya.
Di
suatu sudut dunia…
The Only Me | Wanita dari kaca mataku
15
Mac 2013
Petua
cinta untuk hari ini:
Melepaskan orang yang kita sayang itu memang payah. Kita
sendiri yang sakit! Tapi apa guna kita bersama dia kalau kita sama-sama tak
bahagia? Ni Abang Tom nak bagi nasihat sikit; kita biarkan orang yang kita
sayang tu cari kebahagiaan sendiri, macam kita cucuk vaksin dalam badan. Sakit
woo kena cucuk…tapi! TAPI! InsyaALLAH lepas tu kita akan sihat. Jadi, bersabarlah
dengan kesakitan yang sikit tu sebab lepas tu kita akan bahagia. Kurnia dalam
samaran, maybe?
Itu je kot entry Abang Tom untuk hari ni. Abang Tom ada
banyak perkara nak settlekan. Kalau Abang Tom rajin, malam nanti Abang Tom up
entry lain.
Petua cinta lagi? Tak pastilah…sebab cinta Abang Tom
diambang kemusnahan sekarang ni…korang doakanlah yang terbaik, okey? Kalau
Abang Tom bahagia, korang jugak yang dapat manfaatnya sebab bila dah happy
mesti Abang Tom semakin rajin nak bagi korang petua cinta,kan?
P/s: jangan pernah putus asa dengan sebuah kehilangan.
Segala yang ada di muka bumi ini bukan milik kita. Mungkin Allah ambil apa yang
kita ada sebab tak sesuai dengan kita dan Dia sedang menghantar yang lebih
baik. Siapa tahu, kan?
Tata…titi…tutu…
Tanpa memeriksa untuk kali kedua,
dia klik pada perkataan ‘publish’. Entry blog yang baru selesai ditaip
terus kelihatan di ruang laman utama blog The
Only Me itu. Blog yang sudah berusia lebih tujuh tahun itu sudah mempunyai
ramai pengikut. Kegilaan ber’blogging’
sejak daripada zaman remaja terus berlarutan sehingga kini. Dan dia tahu, tiada
sebab untuk dia berhenti sekarang. Blog itu dunianya.
No comments:
Post a Comment