Munirah
3
Teratak
Sri Impian, Saratok (6 Mac 2010)
Munirah terlentang di atas
tilam. Dia termengah-mengah kerana sebentar tadi dia baru sahaja
terlompat-lompat di atas katil macam orang gila. Di dalam bilik yang dikongsi
bersama Suriya itu terdapat dua buah katil bujang. Munirah dan Suriya sering
tidur bersama di atas sebuah katil. Katil yang satu lagi dijadikan tempat
melepak atau tempat menimbunkan pakaian sementara pakaian tersebut dilipat dan
disimpan di dalam almari.
Munirah tersenyum-senyum lagi.
Di awal usia dua puluh tahun dia dipinang oleh jejaka pujaan Malaya! Siapa yang
tidak melompat kegembiraan? Nasib baik dia bersembunyi di dalam bilik sejak
kedatangan rombongan keluarga Jafni tadi. Kalaulah di hadapan ibu bapa Jafni
dia terlompat macam kanggaru, sah-sah saat itu juga pinangan dibatalkan!
Terdengar ketukan di pintu. Munirah
memeriksa keadaan dirinya sebelum membuka pintu. Manalah tahu semasa melompat
tadi ada anggota badan yang turut melayang. Setelah yakin dirinya sempurna, baru
dia melangkah ke arah pintu bilik tidur itu.
“Rombongan keluarga Jafni baru
balik. Munirah tahu, kan tujuan mereka?” Munirah mengangguk. “Mak belum beri
jawapan lagi. Mak nak tanya Munirah dulu. Mak bukan tak suka pada Jafni tapi
kita dah selalu dengar desas-desus pasal perangai Jafni. Munirah rapat dengan
dia tentu Munirah lebih kenal dia, kan? Mak serahkan keputusan ini kepada Munirah.
Tapi ingat pesan mak, jangan terlalu ikutkan hati. Fikir tentang masa depan
juga,” nasihat Puan Asmah sambil membelai rambut anak daranya. Hatinya sayu.
Rasanya baru sekejap dia membesarkan Munirah tapi kini bunga yang sedang
kembang mekar itu ingin disunting orang.
Munirah terdiam. Tidak tahu apa
yang hendak dijawab. Dia sememangnya suka dengan pinangan itu. Sangat suka!
Perasaannya ketika itu kalau boleh diukur agaknya lebih hebat daripada perasaan
Datuk Lee Chong Wei ketika berjaya mengalahkan Lin Dan dengan straight game. Tetapi dari nada suara
Puan Asmah, Munirah tahu emaknya ragu-ragu hendak menerima.
“Nanti Moon bagitahu mak,ya? Moon
nak tanya pendapat Kak Suriya, Abang Ijan dan kawan-kawan dulu,” Munirah
menggenggam tangan Puan Asmah sambil tersenyum mesra.
“Jangan lupa buat solat
istikharah. Minta petunjuk dari ALLAH,” Puan Asmah meliarkan pandangan ke
sekitar kamar beradu kedua-dua puterinya. “Lagi satu, bilik ini kemaskan sikit.
Dah nak jadi isteri orang pun bilik masih berterabur lagi.”
Munirah mengangkat dua jari
lambang ‘peace’. Selepas emaknya keluar,
dia bergegas membuka komputer ribanya. Dia ingin melaksanakan tugasan wajib
hariannya sejak berusia enam belas tahun.
Dear
The Only Me (T.O.M),
• Saya tidak tahu sama ada hari ini saya
terlebih adrenalin atau apa tetapi saya benar2 gembira. Rasa ingin tersenyum
sampai esok pagi.
• Seperti biasa, kegembiraan ini saya
kongsikan dengan awak. Tidak ada tujuan lain cuma mahu awak tahu saya sedang
gembira. (saya yakin awak tak pernah ingin tahu
)
• Jatuh cinta berjuta rasanya! Awak setuju
Tom? tentu awak lebih tahu kerana awak sering merasainya!
• Jaga diri, ya!
Taman
Puteri, Petra Jaya (8 Februari 2013)
Munirah terasa matanya memedih
dan basah. Dia mengerlipkan matanya berkali-kali lalu air jernih yang bergenang
mengalir perlahan menuruni pipinya. ‘Sampai bila harus berpaut pada kenangan?’ Munirah
memarahi dirinya. Dia harus memulakan hidup baru demi anak tercinta. Borang
permohonan dalam talian untuk menjadi pelajar pengajian jarak jauh Open
University ditatap. Dia akan memulakan langkah pertama meninggalkan kenangan
suram itu.
|
No comments:
Post a Comment